Semasa aku belajar di MRSM Balik Pulau dulu yang kita tahu memang khas untuk pelajar bumiputra, ada cadangan untuk membenarkan pelajar bukan bumiputra masuk belajar sama sebagai 'percubaan'. Seingat aku hampir semua pelajar ketika itu membantah namun mereka tetap juga masuk sebagai junior.
Lama kelamaan kami sedar bahawa mereka tidaklah sehebat yang disangka. Mereka tidak lebih dari seorang pelajar, sama seperti orang lain. Mereka tidak lebih pandai dari orang bumiputra lain secara semulajadi. Mereka berusaha sama seperti kita berusaha, mungkin ada masanya kita nampak usaha mereka lebih sedikit dari kita.
Semasa belajar di ITM dulu (sebelum tukar nama jadi UiTM), suatu perkara yang aku sedar adalah betapa terasingnya kita sebagai orang Melayu dan bumiputra dengan bangsa-bangsa lain. Kita duduk dalam dunia kita sendiri.
Sampai bila perlu kita duduk di kalangan kita, sesama kita saja? Perlu ingat, aku dari sekolah menengah hingga ke universiti belajar di institusi yang menerapkan semangat bangsa yang tinggi. Aku menangis apabila nyanyikan lagu 'Anak Kecil Main Api' dan setiap malam 31 Ogos di sekolah, kami membakar bendera Union Jack hingga ditegur oleh British Council.
Tapi aku juga mahu UiTM dan kalau boleh MRSM dibuka untuk bangsa asing TAPI, dalam jumlah yang terhad. 10% adalah jumlah yang amat kecil bagi aku.
Kenapa? Kerana sudah sampai masanya bangsa-bangsa di dunia ini tidak lagi membezakan diri mereka antara sesuatu bangsa. Malah dalam Islam sendiri, tidak adalah istilah Islam Melayu, Islam Cina, Islam India dan Islam Arab. Cuma ada Islam.
Pernah dengar cerita Malcolm X berkunjung ke Mekah? Bagaimana selepas dari itu beliau sedar bahawa perjuangan beliau selama ini yang berteraskan bangsa tidak sama sekali betul dengan ajaran Islam. Kalau dalam Islam tiada segregasi, kenapa hidup kita sebagai rakyat di negara yang kita laungkan sebagai berjaya bersatu dengan pelbagai kaum perlu dipisahkan apabila kita mahu belajar?
Aku faham orang akan berkata, banyak universiti lain yang ada yang tidak membataskan orang bukan bumiputra belajar di sana. Sepatutnya kamu perlu bertanya kembali, kalau universiti lain boleh, kenapa UiTM tidak boleh? Apa hak kita sebagai manusia di Malaysia ini hendak menghalang bangsa lain belajar bersama? Bukankah kita sama-sama bangunkan Malaysia ini sehingga menjadi apa yang ada sekarang?
Apa yang aku nampak sekarang orang melayu memang berani dan memang hebat. Lihatlah mereka bersatu padu menentang CADANGAN membenarkan 10% BUKAN BUMIPUTRA belajar di UiTM. Samada dipaksa atau ikhlas, terpulang kepada masing-masing. Tapi kalau kita boleh bersatu padu begitu, apa yang hendak kita takutkan dengan 10% bukan bumiputra lain?
Tidak takut tapi kita mempertahankan hak kita? Hak apa itu? Cuba beritahu hak apa yang kita ada kalau duit yang kita guna untuk bangunkan UiTM itu adalah duit rakyat yang bukan 100% bumiputra. Melainkan kerajaan dengan bijak asingkan duit cukai bumiputra dan dikhaskan untuk UiTM. Jadi bolehlah kita claim bahawa UiTM dibangunkan oleh duit-duit orang bumiputra saja yang telah dengan teliti diasingkan dari duit-duit orang bukan bumiputra. Baru kamu boleh kata kita ada hak. Kalau tidak, baik kita jangan cakap apa-apa.
Ini cadangan aku. Bangun sebagai sebuah bangsa dan jadikan bangsa kita bangsa yang disegani dan dihormati. Bina empayar ekonomi bumiputra yang hebat dan cemerlang dan tidak berlandaskan usaha-usaha politik sentiasa. Jadikan bangsa bumiputra sebagai bangsa contoh (role model) yang boleh bila orang lain bicara, jadikan kita sebagai petunjuk aras kehebatan sesuatu bangsa; sama seperti bangsa Korea, bangsa Jepun dan bangsa Yahudi.
Kemudian kamu bermati-matianlah pertahankan institusi kamu. Orang tidak akan persoalkan. Sama seperti orang takkan persoalkan kenapa perlu berbahasa Jepun dengan orang Jepun dan kenapa perlu berbahasa Korea dengan orang Korea. Orang takkan persoalkan.
Kenapa sekali lagi aku setuju UiTM (aku tambah MRSM) dibuka 'sedikit' kepada bukan bumiputra?
- Supaya bukan bumiputra tidak anggap kita mengamalkan diskriminasi.
- Supaya bumiputra dapat menerima persaingan sihat sebelum menghadapi dunia realiti.
- Supaya kita sebagai bangsa Melayu Islam tidak lagi mempermainkan perjuangan bangsa sebagai wadah kita, sebaliknya menjadikan Islam (yang amat-amat terbuka sifatnya) sebagai wadah perjuangan.
- Supaya kita sedar bahawa negara kita ini adalah negara yang kita kongsi bersama dengan bukan bumiputra.
- Supaya kita sedar bahawa bukan bumiputra itu sebenarnya tidak sehebat mana, malah kita boleh jadi lebih hebat lagi.
Tapi apabila bangsa asing bertanya siapakah aku, aku akan jawab
"Aku adalah bangsa Malaysia".
3 comments:
Idan, menarik posting ni. Kalau lah semua orang ada sentimen yang sama macam ni kan bagus? Lis 89119 (pembaca senyap yg sekejap ada, sekejap tak ada)
anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi di pijak milik orang
nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa diantara kita
cinta lenyap diarus zaman
indahnya bumi kita
warisan berkurun lamanya
hasil mengalir ke tangan yang lain
kitakan merintih sendiri
jangan buang waktu lagi
majulah raih semua mimpi
hapuskan sengketa teruskan usaha
kitakan gagah dinusantara
saya setuju 100%. Orang melayu selalu kata kulit putih diskriminasi terhadap kulit hitam.Orang melayu pun diskriminasi juga terhadap bukan melayu. Masa zaman Nabi Muhammad pun, baginda tidak pernah mengagungkan bangsa Arab Quraisy.
Post a Comment