3.3.09

Aku Perlu PDA (Rasanyalah)

Aku sedari, sudah beberapa ketika aku tidak menulis mengenai diri sendiri. Kalau ada pun dalam tulisan sebelum ini, ianya lebih bersifat kaitan saja, bukan secara langsung.

Khamis nanti, seperti biasa, aku akan ke Agrotek Resort, Hulu Langat sekali lagi. Kursus Team Building kembali untuk edisi ke-2. Menjadi urus setia kursus ini sebenarnya menarik. Ganjaran memanglah menarik tetapi yang lebih menarik adalah peluang kita untuk belajar (kalau bos besar ada) sesuatu perkara baru seperti belajar membuat penilaian dan memahami situasi atau seseorang individu. Jadi sering aku datang bukan saja sebagai seorang urus setia tetapi seorang pelajar yang sedang mendalami ilmu.

Aku fikir ada gunanya di masa akan datang sekiranya aku berpeluang untuk naik pangkat dan jadi ketua. Ilmu di kursus itu insyaAllah boleh aku guna untuk membantu tugas aku. Sebab itu aku cakap aku belum bersedia untuk memimpin. Biar orang kata aku rugi (duit la ni...), tidak mengapa. Aku lebih yakin untuk melakukan sesuatu sekiranya aku faham dan tahu apa yang aku lakukan. Bukan cara belajar sikit-sikit melalui pengalaman kerja seperti orang selalu cakap. Itu betullah. Tapi kalau kamu tidak ada ilmu asas, tidak ada gunanya juga. Apa yang kamu belajar itu tidak boleh guna untuk kebaikan sebab kamu sebenarnya tidak faham.

Kemudian, kalau mengikut kalendar di telefon (telefon bimbit aku sudah jadi kalendar...), minggu seterusnya ada bengkel AKPM di pejabat dan disusuli dengan bengkel yang sama di Sarawak. Bengkel di Sarawak itu tidak pasti memandangkan telah terjadi rombakan besar siang tadi atas tugas-tugas yang perlu dilakukan. Harapnya masih boleh berlangsung kerana aku mahu ke Serian, Sarawak untuk merakamkan potret-potret JPN Serian (yang hebat katanya...).

Nampaknya, cuma minggu terakhir Mac saja yang agak santai. Bolehlah aku balik ke kampung, insyaAllah. Lama juga tidak balik. Sejak hujung tahun lepas rasanya. Kalau emak melihat jadual anaknya seorang ini, pasti dia faham kenapa. Bukan memberi alasan, cuma keadaan yang berbatas. 

Sebenarnya, bukanlah aku tidak boleh balik ke kampung pada hujung minggu. Ada waktunya, kursus cuma habis pada hari jumaat. Sabtu dan Ahad sudah lapang. Cuma, di penghujung jumaat itu, aku sudah keletihan mental dan fizikal. Tiada berdaya untuk memandu pulang 300KM ke kampung. Akhirnya aku terdampar lena di tilam rumah pada hujung minggu merehatkan badan dan otak yang keletihan sepanjang minggu. Itu pun, kalau tiada kerja di pejabat. Selalunya, aku masih perlu ke pejabat pada hujung minggu.

Ya, aku tahu. Aku sendiri keliru. Ini kerja kerajaan, bukan kerja swasta. Kerja swasta pun tidak memaksa kamu bekerja di hujung minggu. Tidak memaksa kamu pulang dari pejabat lewat petang ahad kelmarin kerana menyiapkan kertas-kertas untuk mesyuarat esoknya. 

"Bukan engkau sorang saja yang sibuk, Dan. Orang lain pun sibuk juga. Tapi masih ada masa untuk keluarga..."

Itu yang kamu hendak cakap, bukan? Ya, kerana aku juga bukan kamu. Sifat-sifat aku juga tidak sama dengan sifat kamu. Kamu kalau hendak bandingkan diri kamu dan diri aku, kita jauh berbeza dari segi sifat dan tingkah laku. Jadi kamu jangan samakan sesiapa saja dan bandingkan sesiapa saja dengan diri kamu. Kalau kamu boleh buat, tidak semestinya orang lain boleh buat. Begitu sebaliknya. Kalau kamu masih mahu cakap,

"Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih..."

Aku boleh juga cakap, aku sudah tidak berdaya. Dan dalih-dalih aku adalah perkara yang sama sejak dulu. Bacalah sendiri blog ini dan kamu faham maksud aku.

"Itulah, pandai sangat. Orang cakap, ada saja alasannya..."

Aku tidak boleh cakap apa lagi bila aku cakap begini. Kerana apa yang dia nampak adalah negatif sepanjang masa. Jadi perlu apa lagi aku bertelagah dengan orang begini.

Andaian saja semua itu. Pasti tidak ada orang yang akan cakap begitu kepada aku. Mereka yang aku kenal adalah orang yang baik dan sentiasa memahami. InsyaAllah. Mereka ambil berat sebenarnya. Mereka sentiasa tanyakan aku (walaupun sekali sekala).

Terima kasih. Aku amat menghargainya.

Sudahlah, pergi tidur. Malam sudah amat lewat.

2 comments:

Wan08 said...

Ada orang boleh tinggalkan kerja tanpa rasa apa-apa walaupun dia tahu kerja itu perlu disiapkan mengikut jadual. Ada orang yang tidak senang perasaannya selagi kerja yang diberikan kepadanya tidak siap. Ada orang yang kepuasannya ialah, kerja yang ditugaskan disiapkan dengan memberi nilai tambah dan siap mengikut jadual. Orang sebegini, baginya wang bukan segala-galanya. Tapi orang sebegini tak ramai .....

Anonymous said...

sajer tanya..team building yang kau urus setia tu..guna service provider swasta(outsource= bayar kepada pembekal selain kos akomodasi agrotek ) ke modul dalaman jabatan kau tanpa bantuan pihak luar jabatan?(sekadar kos akomodasi agrotek)..saja nak tahu..kalau modul jabatan, cadang nak datang belajar, kalau modul swasta, tak pe lah..

Post a Comment