14.8.09

Aku Di Kutub Utara

Ya, biasanya kutub utara merujuk kepada elemen positif. Maka benar, aku sekarang berada di kutub utara! Aku buang perkara dan pemikiran negatif kerana ianya tidak menguntungkan aku, jauh sekali membantu aku menyelesaikan masalah.

Kamu tahu, masalah kebanyakkan daripada kita adalah terlalu banyak elemen negatif dalam diri mereka, terutama dari segi perbuatan dan pemikiran. Kalau perbuatan itu kita boleh nampak; membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah atau menguntungkan, atau sekadar melihat orang lain berjaya, kita langsung malas hendak bergerak atau sekurang-kurangnya mengejar peluang tersebut. Itu kita nampak, secara fizikal. Itu orang lain pun boleh nampak dan beritahu kita.

Apa yang kita tidak nampak atau jarang nampak atau langsung kita tidak sedar ianya wujud adalah pemikiran negatif dalam diri kita. Cuba kita duduk sejenak, 60 saat cukup kemudian kita kira berapa tidak boleh, tidak mahu, susahlah, payahlah, tidak mungkin, jangan, bodohlah, merepeklah dan lain-lain elemen negatif yang berlegar dalam benak kita. Banyak tak?

Takde langsung? Bagusnya. Tapi kenapa kamu masih di situ? Kalau kamu fikir apa yang kamu capai sekarang sudah mencukupi, sebenarnya fikiran sebegitu adalah fikiran negatif. Semuanya tidak pernah cukup. Kita sentiasa mahu lebih dan lebih lagi. Itu fikiran positif yang kita tidak nampak dan tidak mahu kita asah untuk menjadi kenyataan.

Kita tidak mahu berusaha untuk berfikir secara positif kerana kita takut ianya gagal untuk dicapai. Kita tidak mahu berfikir secara positif kerana kita tidak mahu melangkau ekspektasi diri kita yang kita set rendah supaya kita mudah capai. Tipikal minda kelas tiga. Oh kutuk. Ya aku kutuk. Aku tidak perlu mohon maaf kerananya.

Sampai sekarang minda aku sendiri masih di kelas ketiga. Itu realitinya. Cuma apa yang aku lakukan adalah fokuskan diri supaya sentiasa berfikiran positif dan mencari ruang untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan diri. Kalau aku sendiri tidak lakukan, siapa lagi yang akan buat untuk aku. Aku bukan Stephan Hawking, si genius. Dia yang berkerusi roda sentiasa ada orang yang memberi tumpuan terhadapnya. Aku cuma aku. Aku cuma ada aku untuk menjaga dan mengambil berat tentang diri aku. Tuhan tidak akan ubah nasib aku kalau aku sendiri tidak mahu mengubahnya.

Idan ni nak mengumpan orang join bisnes dia la ni ye.

Tidak juga. Apa yang aku tulis di sini adalah pandangan peribadi. Aku menulis berdasarkan pemerhatian. Apa yang aku lihat, orang yang berjaya adalah orang yang sering berfikiran positif. Tiada siapa yang berjaya dengan fikiran negatif. Takde. Ada ke? Kamu cuba beri aku seorang nama manusia yang berjaya dengan fikiran negatif.

Kalau mahu lalui hidup yang lebih bermakna, mulakan dengan fikiran yang positif. Kalau mahu melihat dunia dengan lebih luas dan terbuka, fikir secara positif. Kalau mahu mencapai impian yang selama ini dikejar, fikir secara positif. Kalau selama ini murung, sedih, kecewa dan tertekan, mulakan setiap hari dengan berfikiran secara positif.

Mudah, celik mata, ucap syukur kepada Tuhan. Langkah pertama setiap hari. Positif. Tetapkan matlamat diri; hari ini aku mahu jadi orang yang berjaya atau hari ini aku mahu jadi orang yang bahagia atau hari ini aku akan berjaya mengorat awek yang aku idamkan! Positif.

Kamu akan rasa ketika itu kamu berada di Kutub Utara; sejuk (cool)... Cool as in HEBAT!

No comments:

Post a Comment