24.8.09

Tempat Berkunjung Yang Kurang Risiko H1N1 Di Kuala Lumpur

Aku tahu H1N1 sekarang menyebabkan kamu risau untuk ke sana sini dalam keadaan selesa, terutama di kompleks membeli belah yang begitu ramai pengunjung. Namun aku ada satu tempat (cukuplah satu dulu) yang kamu boleh pergi di KL tanpa kamu risau orang ramai ada di situ.

Galeri Seni Lukis Negara, Jalan Tun Razak

Awal pagi, Galeri Senilukis Negara memang sunyi. Dulu kalau pergi, kadang-kadang hanya aku seorang di dalam galeri. Kalau di galeri baru hadapan Jalan Tun Razak, kira okay sebab suasana tidak terlalu sunyi. Semasa di lokasi lama, berhadapan stesen keretapi Kuala Lumpur, ianya agak suram dan mampu meremangkan bulu roma. Kerana asal bangunan tersebut adalah sebuah hotel, Hotel Majestic, maka ruang bangunannya memanjang dari kiri ke kanan.

Setiap penghujung bangunan diletakkan arca dan ada antara arca ini adalah acra kuno suku kaum orang asli di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Apabila kamu melalui laluan sempit untuk masuk ke bilik-bilik yang sudah diubahsuai menjadi ruang galeri pameran gambar, kamu tidak dapat tidak akan terasa seperti arca-arca ini mendekati kamu.

Itu dulu, semasa di bangunan lama yang sekarang aku lihat sedang dalam proses pemuliharaan. Bangunan baru lebih luas dan selesa dengan ruang jalan menuju setiap tingkat pameran dibuat seperti muzium dan galeri seni antarabangsa lain. Laluan tiada bertangga dan naik mengelilingi ruang tengah bangunan. Sungguh selesa.

Lukisan dan karya seni yang dipamerkan adalah segar dan menguja akal fikiran kamu. Hampir semua karya di dalam galeri tersebut dihasilkan oleh karyawan Malaysia sendiri.

Kamu patut pergi sekali sekala. Atau untuk sekali.

No comments:

Post a Comment