28.2.10

NYC 2012 Olympic Bid

Ini video yang dihasilkan sempena permohonan bandaraya New York untuk menjadi tuan rumah sukan Olimpik 2012. Walaupun mereka gagal (Olimpik 2012 akan diadakan di London), namun video ini begitu menarik dan menyentuh perasaan.



Benar, karya seni mereka sudah jauh ke hadapan. Perkara sebegini pun boleh menyebabkan kita rasa kagum.

27.2.10

Damai

Akhirnya, aku berdamai dengan dia.

Akur dengan kehendak dan keadaan masing-masing. Faham dengan suasananya.

Begitu kehendakNya, agar masing-masing bahagia.

26.2.10

Babak Baru

Ada waktunya aku mahu kamu tahu, kalau secebis saja ruang kamu beri aku suatu ketika dulu, itu pun sudah mencukupi. Tidak perlu semua. Tidak perlu segalanya.

Tetapi kalau sekarang kamu mahu lakukan perkara yang sama, mungkin kerana kamu sudah menyedari apa yang telah berlaku, aku mohon maaf. Tidak, aku tidak perlu mohon maaf. Malah aku tidak perlu berkata apa-apa. Aku tidak akan peduli. Dulu, aku tidak ada ketegasan di dalam hati. Aku biarkan ia dibadai dalam apa jua keadaan. Itu dulu.

Susah nak rasa apa-apa sebenarnya. Mungkin seperti yang aku pernah huraikan dulu. Bila kita sampai di satu tahap, kita jadi 'biasa'. Itu yang aku rasa sekarang. Baik aku terhadap orang lain bukan dibuat-buat. Bukan lakonan penyeri suasana. Baik aku adalah baik yang aku mahu orang lain rasa. Tetapi lebih daripada itu, aku tidak boleh berikan kepada mereka. Tidak kepada sesiapa pun. Tidak kepada kamu pun, lagi.

Maka wujud aku sekarang hanya kerana aku mahu aku gembira. Aku akan gembira apabila melihat orang lain disekeliling aku gembira. Jadi baik aku kepada mereka kerana aku mahu mereka senang hati, damai dan seterusnya bahagia dalam hidup mereka.

Kamu? Kamu sekadar setitik noktah dalam cerita hidup. Aku sudah melangkaui baris cerita mengenai kamu.

Sekarang ada cerita lain yang lebih menarik untuk dilalui.

25.2.10

Makan Spageti Di The Spaghetti Farm

Aku belek-belek gambar aku rakam melalui Nokia E66. Aku sedar ada dua keping gambar yang sepatutnya aku ceritakan halnya kepada kamu dua minggu lepas lagi. Tidak mengapa, biar lambat dari tiada langsung.

Semasa aku berkeliaran di MidValley, aku terjumpa dengan sebuah restoran makanan segera berkonsep baru. Mereka menyediakan set spageti sebagai menu utama. Ada beberapa pilihan spageti dengan harga yang amat berpatutan. Semangkuk (memang ianya dihidang di dalam mangkuk) spageti berharga sekitar RM7. Cukup murah. Nama restoran tersebut adalah The Spaghetti Farm terletak di aras LG kompleks MidValley. Tidak susah mencarinya kerana ia berhampiran dengan Pizza Hut.


Aku mencuba set spageti bebola daging, semangkuk sup cendawan dan segelas air minuman. Aku sudah lupa berapa harganya (akibat sudah lama diperam simpan). Tetapi tidak lebih RM10, kalau tidak silap.



Rasa? Bolehlah. Tidak terlalu sedap dan tidak juga terlalu tidak sedap. Sekadar biasa. Kalau difikirkan balik, ianya lebih kurang sama dengan rasa spageti yang kita buat sendiri di rumah. Tetapi masih cukup mengenyangkan.

Kalau kamu tersesat di MidValley, kamu boleh cuba The Spaghetti Farm.

Jelas!

Eh, hello makcik, pakcik, datuk, nenek.

Post sebelum ini adalah post yang bersifat "membuat satu penyataan".

Tidak menimbulkan sedih, kecewa, derita, rasa nak bunuh diri, merajuk dan lain-lain yang berkaitan.

Harap maklum. Lagipun, tengok ini; :D

Hati Ini Berbatas

"Maaf. Bukan santunku terbungkam. Hanya hatiku berbatas..."

Lebih kurang maksud aku kepadanya sekarang. Walau tidak dijelas secara nyata, harap dia faham. Aku perlu lakukan untuk memudar apa jua rasa di hati. Jadi kalau dia terasa seperti tidak dipedulikan, ianya kerana sengaja aku lakukan.

Agar reda segala resah menanti jawapan darinya.
Agar luluh segala harapan yang pernah ada terhadap dirinya.

Bukan berputus asa. Cuma rasa perlu. Perlu dilakukan sekarang agar masa mendatang hidup ini lebih tenang daripada sentiasa mendesak diri untuk menyukai seseorang yang tidak pernah kembali menghargai. Anggapan aku begitu. Dia tidak pernah mahu menghargai. Jadi perlu apa lagi aku bebalkan diri untuk tunggu mengharap?

Lagipun, aku bahagia sekarang. Tenang. Hidup lebih damai dengan orang sekeliling yang sangat memahami dan mengambil berat (kamu tahu siapa kamu). Sekurang-kurangnya itu. Aku tidak perlukan dia meluahkan jiwanya. Sekadar sedikit menghargai, sudah cukup. Tetapi aku tidak pernah terima dari dia perkara itu.

Jadi ketahuilah, aku sudah berhenti daripada menunggu. Aku sudah bangun dan berlalu pergi. Aku mahu mencari daerah lain yang lebih menyenangkan aku. Aku temuinya walaupun bukan dalam keadaan yang ideal. Aku juga tidak perlu apa-apa lagi daripada dia. Cukup apa yang dia pernah berikan (jika ada). Aku tetap simpan semua itu sebagai kenangan. Tetapi sekadar itu, kenangan.

Dia juga tidak perlu mencari aku lagi ketika perlu. Berat rasa hati untuk menunaikannya. Kerana aku tidak mahu terjerumus kembali dalam ruang 'mengharap'. Dia pasti ada orang lain yang lebih sudi dan lebih ikhlas. Pergi saja di sana.

Aku pasti dia sedar perubahan ini. Sehari demi sehari pasti akan membuat dia tertanya-tanya. Itupun kalau dia mahu membiarkan diri untuk mempedulikan aku. Aku mahu dia tahu, apa jua cara untuk dia bermesra selepas ini, hanya sejuk beku yang diterimanya nanti. Bukan tiada simpati. Aku desak diri sendiri untuk berbuat begitu. Desak. Ianya adalah paksaan. Harap dia faham kenyataan itu. Harap dia sedar, kerana tidak pedulinya itu, ada hati yang terluka.

Aku juga mahu agar dia tidak datang memohon kemaafan. Aku sudah lama memaafkannya. Lama sebelum terdetik di hati kalau ada salah darinya.

Baris-baris kata ini ditulis bukan dalam keadaan aku kecewa, berduka atau marah. Aku menulis ini dalam keadaan amat tenang, amat damai dan selesa. Selesa dengan apa yang sedang aku lalui. Tetapi kerana aku dapat rasakan sesuatu yang terdetik di hatinya, maka aku letakkan nota ini di sini. Kalau dia tidak baca, ada kawannya yang ada membaca. Kalau dia tidak tahu, mungkin ada kawannya yang akan memberitahu. Kalau mereka diamkan saja, fahami ini; aku tidak kisah.

Sebesar debu pun harapan yang ada, aku mahu ianya terbang pergi. Terbang jauh melewati pelangi mimpinya. Aku sudah berjalan pergi, jauh.

24.2.10

Bintang Di Surga



Bintang Di Surga - Peterpan

Masih ku merasa angkuh
Terbang kenanganku jauh
Langit kan menangkapku
Walau kan terjatuh

Dan bila semua tercipta
Hanya untukku merasakan
Semua yang tercipta
Hampa hidup terasa

Lelah tatapku mencari
Arti untukku membagi
Menemani langkahku
Namun tak berarti

Dan bila semua tercipta
Tanpa harus ku merasakan
Cinta yang tersisa
Hampa hidup terasa

Bagai bintang di surga
Dan seluruh warna
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata

Oh bintang di surga
Berikan cerita
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata

====

Semua senjata dalam video muzik ini adalah Airsoft. Menarik. Sebuah lagu yang menarik. Mungkin kerana aku boleh nyanyikannya. Hehe.

1,103,760,000 Detik

Selama itu sudah aku hidup hingga saat potret ini dirakam.





Hidup sebenarnya sungguh indah.

P/S: Terima kasih kamu atas rakaman potret yang cukup cantik ini.

23.2.10

Kita Buka Ruang Sembunyi

Ada waktu kamu mahu menduga, seperti kamu tahu hidup ini bagaimana untuk semua orang. Kamu yakin telahan kamu itu betul kerana segala ilmu yang kamu pelajari itu menjerumuskan keputusannya di situ. Hidup, bagi kamu adalah tafsiran dan gambaran yang di dalam buku psikologi dan perbandingan sifat manusia.


Seperti juga kamu cuba nilai atau tafsir tunggul kayu di tepian laut ini. Kamu andaikan segalanya; dari mana asal, kenapa di situ dan mengapa akhir hidupnya begitu. Sedang tunggul kalau tidak dilihat kita, ianya mungkin terus reput menjadi khazanah bumi.

Kita sebagai manusia, seringnya hanya menafsir apa yang ada di permukaan watak dan sifat orang lain. Hati dan budinya, kita tidak mungkin tahu sepenuhnya. Jiwa dan perasaannya, kita hanya boleh andaikan, sama seperti kita luahkan cinta, luahkan marah dan luahkan kecewa. Kita andaikan cinta, marah dan kecewa itu sebegitu rupa. Kalau kita tabirkan keadaan itu dengan sedikit senyuman, pasti tiada siapa yang sedar bezanya. Melainkan ianya dikongsi bersama.

Maka si gadis berjalan berseorangan ini kamu mahu tafsirkan bagaimana? Sedang membawa hati yang kecewa? Sedang menyurusi tepian pantai mencari tenang atau sedang mencari jalan pulang?



Kalau kamu lihat wajahnya, kamu tidak nampak sepi dan sedih hidupnya. Kamu akan nampak gembira dan damai hidupnya. Manusia, sebagai makhluk, begitu berjaya mengongkongi naluri orang lain daripada memahaminya. Kita tidak mahu orang tahu kita bersedih. Kerana mungkin kita tidak mahu dibebankan dengan kata-kata nasihat atau pujuk rayu. Kita tidak mahu orang tahu kita kecewa, kerana mungkin kita tidak mahu orang cuba mendendangkan lagu ceria mengajak kita kembali bahagia.

Ada manusia begitu. Menyembunyikan wajah sebenarnya kehidupan. Dia juga begitu, mungkin. Bila bertemu, kami jadi sahabat paling ideal. Bercerita mengenai kehidupan bagai dunia tiada penghujung.

Kamu yang masih menafsir, berhenti. Aku rakamkan suasana di atas dalam keadaan si gadis begitu damai dan bahagia menyusuri tepian laut. Kami berjalan ke arah taman laut kami. Hidup lebih damai jika kita memahami rupa sebenarnya orang yang dihargai.



Ini taman laut kami. Bertepian batu, direndangi pohon dan berlantaikan pasir. Duduk berbicara tentang kehidupan, membuka topeng muka lakonan jiwa. Bercerita waktu bahagia dan sedih. Kamu sedar, sahabat sebegitu sukar dicari merata. Hanya ada seketika. Kamu perlu hargainya, selagi ada.

Fahami semua ini, kamu akan bahagia juga.

22.2.10

Taman Laut Mu

Ke mana aku siang tadi?

Sini.

Tapi aku bukan berseorangan.
























Ya, Fort Supai atau Kota Kuala Linggi. Bukan destinasi sebenar. Kebetulan merayau-rayau tanpa arah, menemukan kami tempat yang begitu menarik ini.

Oh, tidak perlu kamu fikir siapa dia.

Hadiah & Ucapan

Hadiah paling menarik aku terima hari ini adalah set pen jenama Parker IM Laque Black GT.


Aku bertanyakan dia, kenapa hadiahkan pen mahal ini. Jawabnya kerana aku bekerja di pejabat dan pen adalah hadiah paling molek untuk diberikan.

Aku tersenyum. Di dalam KFC nun di ceruk bandar (kamu tidak perlu tahu), aku membuka dan melihat. Aku terkesima. Belum pernah ada orang yang menghadiahkan pen sebegini cantik. Aku amat menghargainya.

Aku beritahu bahawa pen ini akan disimpan sebaiknya. Mungkin dia tidak tahu, 99% kerja yang aku lakukan memerlukan aku menggunakan komputer. Jadi pen adalah perkara yang amat tidak signifikan dengan kerja aku sekarang. Aku beritahunya bahawa, kalau aku pegawai atasan, mungkin aku akan lebih menggunakan pen ini.

"Jadi, saya doakan supaya awak suatu hari nanti akan menjadi pegawai atasan..."

Amin...

Aku sudah duga dia akan berikan hadiah sebegini. Aku berkeras sebelum ini untuk tidak mahu menerima apa-apa hadiah. Malah dari sesiapa pun, aku tidak mahu. Aku juga kalau boleh mahu agar tiada sesiapa yang mengirimkan ucapan. Cukup sekadar ingat.

Kamu fikir manusia mahu peduli rengekan aku?

Apa pun jua, terima kasih kepada kamu semua, aku amat menghargainya. Terima kasih kepada dia atas segalanya. Aku paling menghargainya.

Menghias Alam



Alam ini perhiasan diri. Memberi corak dan makna kehidupan kepada manusia.
Kita umpama pelukis, mengisi ruang mengikut acuan kehendak kita.
Tuhan penentu segalanya.

Kalau kamu duduk di tempat aku, melihat alam melalui anak mata aku dua biji (yang rabun warna), kamu lihat alam lebih luas dan lebih bermakna. Kamu jadi begitu sensitif mengenainya. Kamu cuba rakam suasananya sebelum kamu terlupa, atau ianya lenyap ditelan perubahan.

Mari, temankan aku mencari damai.

35

Aku sudah 35, yay!

Sejak dari tadi, sebelum 22hb pun lagi, aku terima ucapan dari ramai orang. Terima kasih aku ucapkan. Mungkin mereka berlumba-lumba untuk jadi yang pertama ucapkan.

Kalau aku, lain pula sifatnya. Aku mahu jadi orang paling akhir di hari lahir seseorang untuk aku ucapkan selamat hari lahir kepadanya. Bukan belated, kerana ianya sudah lewat sehari. Tetapi pada hari lahirnya sendiri, cuma di saat-saat akhir sebelum berlaku belated.

Kenapa ya?

Aku tiada alasan kenapa. Tetapi mungkin aku fikir begini (masih memberi alasan walaupun bodoh),

"Aku mahu jadi yang terakhir ucapkan selamat hari lahir kepada kamu supaya kamu ingat, di kala orang lain sudah mula melupakannya, aku masih ingat walaupun di saat-saat akhir sebelum ianya berlalu"

Hahaha. Poyo, aku tahu. Tapi betul juga kan?

21.2.10

34 Tahun, 363 Hari

Menjelang 35, raut wajah semakin tua, rambut semakin banyak yang putih, jiwa semakin lesu, ingatan semakin pudar, mata semakin rabun, badan semakin sengal dan segala yang muda dulu, semakin dimamah usia.







Bukanlah terlalu tua semuanya. Jiwa aku 100% masih dirasakan begitu muda.

Moga hari-hari yang mendatang lebih mendamaikan hidup ini. Terima kasih kamu yang sentiasa berada di sisi. Aku amat menghargainya.

Port Dickson

Siang Sabtu semalam aku ke Port Dickson, ada urusan. Petang sebelum balik, aku sempat singgah dan bersantai di tepian pantai sambil merakamkan suasana sekitarnya. Port Dickson siang tadi amat panas. Tapi di tepian pantainya, bayu yang bertiup berselang-seli membawa udara panas dan sejuk membadai tubuh.















Sungguh damai sebenarnya suasana. Kadang-kadang, jauh dari rutin harian, tempat sebegini adalah penyegar jiwa yang lesu.

20.2.10

Siapa Sangka Datang Ceria Dari Entah Sudut Mana

Kalau kamu rasa gembira, tepuk tangan!

Heh.

Tidak sampai begitu sekali. Tetapi ada kalanya gembira itu datang tanpa kamu sedari. Tadi aku gembira. Kalau hendak dirungkaikan, gembira aku cukup menghilangkan lesu hidup aku setakat ini, di tahun ini.

Aku teringat seorang pekerja restoran A&W di Kinrara. Dia menerima tempahan makanan di kaunter dengan suara yang amat ceria. Cara dia bercakap juga ceria dan pasti membuat diri kamu juga turut ceria.

Aku juga teringatkan seorang imam di Masjid Besi. Kalau dia membacakan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat, suara merdu mengalunkan ayat suci al-Quran begitu menyentuh jiwa. Kamu berbaur rasa tenang, syahdu dan gembira dalam masa yang sama.

Tadi, apabila berbual-bual melalui webcam dengan seseorang (kenalan baru), hati berasa sangat ceria walau hanya aku dapat mendengar suaranya dan dia cuma dapat membaca tulisan aku. Tapi memek muka dan keceriaan wajahnya membuatkan aku sendiri dijangkiti penyakit ceria yang sama.

Kamu tidak boleh beli saat-saat sebegitu. Kamu boleh hargainya. Malam ini akan aku hargai.

P/S: Kamu membaca blog ini, jadi saya ucapkan terima kasih atas keceriaan kamu tadi. Saya amat menghargainya.

19.2.10

Menghurai Kata

Ada waktunya, kalau kamu tiada apa yang menarik hendak diperkatakan, diam saja. Seperti kelmarin dan semalam, aku tiada cerita untuk kamu. Lalu aku diam.

Dalam masa yang sama, aku mendengar cerita-cerita menarik dari orang lain. Aku bayangkan hidup yang dilaluinya. Aku selami setiap baris kata yang dituturnya. Ada orang yang cuma mahu mengadu. Cuma mahu bercerita kepada orang yang sudi mendengar. Aku orang yang sudi mendengar itu.

Kelebihan orang lain, tutur kata mereka menjadi perhatian. Apa yang disuarakan, penuh emosi dan penjelasan. Aku tidak mampu begitu. Aku lebih selesa berada di ruang ini, menyuarakan kata pada setiap baris yang ditulis. Kamu yang menjadi 'pendengar'.

Jadi baris-baris tulisan ini adalah ganti suara aku yang tidak pandai mengungkap kata. Aku menulis lebih baik daripada aku bercakap, mungkin. Aku menulis blog ini sejak 2004 (secara aktif) lalu, aku sedari aku begitu selesa dengannya. Hakikatnya, aku hadapi masalah untuk menyiapkan satu muka surat novel yang sedang aku hasilkan.

Begitu sukar rasanya hendak menulis novel. Novel yang orang mahu baca. Aku perlu selami setiap watak yang aku bina. Setiap babak yang digambarkan, aku perlu jelaskan dalam imaginasi. Ianya perlu realistik supaya apabila orang lain yang membaca, mereka juga seperti berada di tempat itu, ketika itu.

Sini aku boleh santai, berkata apa saja. Tanpa peduli. Kamu mahu baca novel yang bersifat seperti penulisan di blog ini?

16.2.10

Jauh Perjalanan Pulang

Sudah aku katakan dalam Twitter (lihat sebelah kiri tepi blog ini), balik ke Putrajaya siang tadi, aku mahu lalui jalan paling jauh dan paling lengang.


Separuh daripada perjalanan tadi memang selesa. Jalan lengang, sekali sekala baru ada kereta lain. Jalan dari Kuala Kangsar ke Manong seperti gambar di atas siang tadi memang amat mengasyikkan. Aku tahu, kereta aku juga sukakan jalan sebegini. Aku tidak akan memandu laju, dan alunan jalannya lebih membuai.


Tiba di pekan Bruas, keadaan jalan masih selesa. Namun belok saja ke kiri dari arah ini, jalannya amat teruk (sejak dari dulu begitu) dan keadaan sudah semakin sesak.


Aku singgah di Lumut, bertemu Asyikin. Agak ralat, aku tidak sempat bertemu suaminya, Alvin yang masih di atas kapal (perang). Jadi kami berbual sambil menjamah spageti yang sedap. Bertanyakan keadaan hidup dan kerja. Mengeluhkan keadaan kerja (hidup sentiasa damai). Sejam kemudian, aku meneruskan perjalanan pulang.


Singgah di sebuah masjid di Lekir (nama tempat), aku tertarik dengan sebuah tugu peringatan yang dibina di tepi dinding masjid, mengingatkan kita mengenai tarikh kemerdekaan negara. Gambarnya ada di dalam koleksi picasaweb. Bertulis jawi, aku masih belum sempat membacanya.


Sepanjang jalan dari Manjung ke Sabak Bernam, kenderaan begitu banyak, hingga terjadi kesesakan di atas jalan berhampiran jambatan (sudah lupa nama jambatan tersebut) menuju ke persimpangan Teluk Intan dan Bagan Datoh. Setelah beberapa ketika, barulah polis datang mengawal.

Kemudian aku berhenti solat di sebuah masjid di Tanjung Karang. Kalau tidak silap, kawasan Sungai Nipah. Entah kenapa aku tidak rakam nama tempatnya. Aku sedari, di belakang masjid, ada sawah padi terbentang luas. Tetapi seperti kata seorang sahabat, padi sudah dipotong. Jadi, jelapang padi hanya tinggal tanah dan sisa batang padi. Aku sempat rakamkan pelangi yang terjadi ketika hujan sedang turun. Kamu nampak?



Sebelum aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah, aku menghampiri sawah padi dan merakamkan suasananya. Walaupun tiada pokok padi yang menguning, tetapi latar potret masih cantik untuk dirakam.

Begitulah keadaan aku siang tadi. Mencari jalan paling jauh untuk pulang. Sembilan jam lamanya aku di atas jalan raya. Tetapi kepuasan tetap ada. Aku akan kembali ke kawasan Sabak Bernam - Kuala Selangor. Ada banyak perkara yang menarik untuk dirakam melalui lensa kamera. Walaupun masih rosak, tetapi masih boleh digunakan sekadar mampu.

Kamu jangan cemburu waktu-waktu begini. Kamu juga boleh laluinya. Kalau biasa kita bergerak dari A ke B, sekali sekala, kita menyimpang ke C, D dan E sebelum sampai di titik B. Lihat suasananya, bagaimana. Dunia ini sungguh indah dicipta Tuhan.

Kuala Kangsar, Waktu Malam

Dulu, aku pernah janjikan dengan seorang sahabat yang aku akan rakamkan suasana malam di bulatan Jam Besar, Kuala Kangsar. Ira, janji sudah ditunaikan. Maaf, agak terlewat. Juga, gambar tidak banyak sebab aku lupa bawa tripod. Terpaksa letak atas simen saja.


Jam Besar Kuala Kangsar yang amat popular. Seingat aku, dulu tidak ada kubah di atas jam tersebut. Mungkin mereka letak untuk menunjukkan betapa 'Islam'nya Bandar Kuala Kangsar. Aku harap, suatu hari nanti ada orang yang berani turunkan kubah tersebut. Bukan aku tidak suka, tetapi agak janggal. Tetapi waktu malam di sini memang sangat cantik. Aku lihat orang duduk berehat di tepian taman yang dibina berhampiran Jam Besar. Usaha yang baik, kecuali...


Apa motif letak A4-Skyhawk di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar, berhampiran Jam Besar? Tolong beritahu aku, mana lapangan terbang di Kuala Kangsar? Paling jelas, Kuala Kangsar ada kem askar yang besar seperti Taiping atau Port Dickson atau Butterworth? Bukan saja di sini, tepian Jam Besar, malah ada beberapa tempat lagi yang dihias dengan kenderaan tentera. Aku tidak faham motif dan kesesuainya dengan bandar Kuala Kangsar. Bukan aku tidak suka. Okay, memang aku tidak suka. Carilah idea lain. Seni kraftangan banyak di Kuala Kangsar. jadikan saja arca yang berskala besar. Memang sudah ada tetapi langsung tidak menarik. Cari artis seni arca untuk menzahirkan karya seni yang lebih menarik, sesuai dengan martabat Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja. A4-Skyhawk tidak sepatutnya berada di Kuala Kangsar. Muktamad.



Bangunan ini adalah Pavilion. Ianya dibina semasa zaman British. Aku sudah lupa fungsinya. Mungkin tempat bersuka ria. Tetapi amat jarang orang mengunjunginya. Walaupun sudah dipulihara, tetapi promosi mengenai tiada langsung. Malah, ianya terbiar seperti tunggul tanpa ada apa-apa usaha untuk menggalakkan orang mengunjunginya. Dari sini, orang ramai akan nampak jelas kolej terulung di Malaysia, Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Oh, lagi satu, tukar balik Kelab Golf di atas tapak padang polo menjadi padang awam! Apa bodoh sangat manusia terlalu pentingkan orang atasan hingga abaikan orang bawahan yang mengundi kamu? Suruh anak-anak muda ini melepak di stesen bas atau merempit di jalanraya, begitu? Padang polo yang besar itu kamu jadikan padang golf untuk kamu bermain permainan paling bodoh dalam dunia. Oh, jangan marah sangat. Ahli politik sekarang suka saman.

Raziq & Motor Barunya

Anak saudara aku seorang ini sudah berusia 3 tahun 4 bulan. Tok Wan hadiahkan dia sebuah motosikal berkuasa elektrik. Sungguh gembira Raziq. Kemana saja di dalam rumah, dia akan menunggang motosikal tersebut.


Memeriksa lampu.


Minta Opah ikat baju di leher. Mahu jadi superhero gayanya.


Apa-apa pun, makan gula-gula dulu. Masam!


Aku tanya, bagaiamana Ultraman Tiga beraksi. Raziq tunjukkan gayanya. Begini!


Bagaimana Ultraman Dyna pula? Begini!

Okay. Sambung meronda di dalam rumah dengan motosikal.

14.2.10

Berkongsi Suasana

Aku memang begini. Merancang untuk balik ke Kuala Kangsar semalam, hari ini baru aku balik. Merancang untuk bergerak awal pagi, jam 11.30 pagi baru keluar rumah. Sekarang masih di sekitar lembah Klang, duduk di McD, makan dan menulis ini.

Aku bukan jenis yang suka mendesak diri, terburu-buru. Bergerak perlahan, kadang-kadang terlalu perlahan untuk kebaikan aku sendiri. Kamu tidak dapat cari ketenangan sebegini. Melihat manusia datang dan pergi, bergerak sepantas mungkin menuju destinasi. Tidak ramai yang mahu menikmati masa begini.

Aku tidak peduli apa yang kamu fikirkan. Ada kalanya, jika kamu terlalu mengejar sesuatu, kamu terjatuh dan begitu kecewa. Ada juga ketika, keadaan berlalu pergi kerana kamu lambat bertindak, seperti aku.

Penyesalan? Aku tidak miliki satu pun. Tidak lagi sekarang. Aku sedar aku boleh untuk tidak memiliki apa-apa dan masih bahagia. Aku rakamkan suasananya dan kamu sendiri pernah melihatnya. Aku pasti ketika itu, kamu akan berkata sendiri,

"Bagusnya kalau aku juga berada di situ."

Datanglah. Kamu sentiasa dialu-alukan.

Tempoh

Saya mungkin tidak sempurna buat kamu.
Tiada yang diingini sifatnya.
Atau hanya sekadar seorang sahabat, keadaannya.
Saya mungkin tidak dipandang sebelah mata pun, cirinya.
Atau hanya bila mendesak, saya dicari.

Tetapi apa jua pun, Saya mahu kamu tahu cuma satu.
Sejak 3 tahun dulu, saya letak kamu di paling atas dalam hati ini.
Mahu saja saya tunggu 3 atau 10 tahun lagi.
Tetapi apa guna kalau sekadar tunggu mengharap.

Maka, detik ini saya berkata, suka saya ada tempohnya.
Kalau benar hati kamu masih tidak mahu terima, tidak mengapa.
Mungkin Tuhan berkata ini bukan jalannya.

Cuma sekadar ini saja di hari begini.
Moga hidup kamu sentiasa indah bahagia.
Doa saya, agar hidup kamu lebih ceria selepas ini, walau ada atau tiada saya.

Hati Yang Gelap

Hati manusia ini seperti sesuatu yang gelap. Semakin tidak kamu peduli, semakin terpinggir ia. Maka akhirnya ia menjadi takut untuk menghadapi realiti.

Lebih kerap hati dikecewakan, maka lebih gelaplah suasananya.

Kamu tidak mahu ada hati sebegitu. Ianya seperti berada di dalam vorteks; semakin lama ianya semakin menelan kamu lebih dalam. Hingga akhirnya, apa yang menerangi hati kamu adalah semata-mata khayalan. Khalayan masa lalu di waktu ianya bahagia. Kamu sentiasa mahu pergi ke tempat itu. Sentiasa dambakan suasana bahagia dulu.

Dulu.

Sewaktu kamu tidak terasa kompleksnya hidup dengan segala kerunsingan dan racauan. Ketika itu kamu hanya tahu satu perkara; hidup adalah indah. Hingga tiba saat kamu rebah.

Ada yang bangun semula dan kembali berdiri.
Ada yang bangun semula dan kembali merangkak.
Ada yang bangun semula dan kembali duduk.
Ada yang bangun semula dan kembali rebah.

Kemudian rebah lagi. Rebah lagi dan seterusnya hingga kamu tidak tahu bila kali terakhir kamu dapat melihat dunia di sudut yang lebih tinggi. Kerana dalam keadaan rebah itu, ianya menjadi normal, menjadi biasa untuk kamu.

Bermula saat itu, untuk bangun kembali adalah terlalu sukar. Kamu perlu bebalkan diri dan pelajari semula apa yang sudah kamu lupa, dan ianya amat perit untuk kamu terima. Orang lain tunjukkan itu dan ini supaya boleh kamu kembali sekurang-kurangnya berdiri. Kamu tahu ianya sukar. Terlalu sukar kerana kamu tidak faham realitinya bagaimana.

Hanya ada dua pilihan.

Sama ada kamu terus biarkan diri rebah dan menyembah bumi, berhenti berharap. Atau, kamu bangun.

Sedar, tiada apa selepas itu. Sekadar bangun.

Hati manusia ini sesungguhnya adalah suatu tempat yang amat gelap. Bila tiba masanya, kamu menjadi terlalu selesa di situ. Tiada siapa yang nampak kamu berteleku, memohon kudrat untuk kembali berdiri.

Akhirnya kamu terpinggir kerananya.

13.2.10

Informasi : Apa Piihan Kamu?

Seperti yang aku bicarakan sebelum ini mengenai peranan media sebagai agen propaganda, kamu pembaca sebenarnya berhak memilih untuk percaya apa saja. Itu pilihan kamu. Kalau kamu hanya mahu membaca Utusan Malaysia dan mempercayai segala yang ditulis di dalamnya, itu pilihan kamu. Begitu juga jika kamu hanya membaca Harakah/HarakahDaily, New Straits Times, Suara Keadilan dan lain-lain sumber berita. Pilihan kamu untuk percaya.

Cuma kadang-kadang aku kecewa dengan 'kemalasan' orang kita untuk pergi lebih jauh sikit, iaitu berfikir. Sering aku lihat, mereka baca dan terus percaya. Maka apa saja yang terhidang di hadapan mereka, mereka percaya itulah kebenaran 100%. Kalau orang hidang buah plastik, mereka masih percaya ianya buah kerana mereka sebenarnya percaya sumbernya. Itu saja. Mereka memilih untuk tidak mahu bersusah payah berfikir atau membuat kajian sama ada sumber berita itu adalah sumber yang betul dan tepat atau tidak.

Penyakit orang kita adalah kerana terlalu taksub dengan berpolitik. Kita juga terlalu taksub dengan ahli politik. Anehnya, ahli politik itu dipilih oleh kita sendiri. Apabila mereka menjadi wakil kita, sifatnya sudah berubah selepas itu. Mereka seperti menjadi dewa/Tuhan yang disembah dan dipercayai bulat-bulat apa saja yang keluar dari mulut wakil mereka ini.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami. Orang kita (melayu terutamanya) sejak sekian lama diresapi dengan pengaruh dan adat beraja. Ada ketua yang sering disifat "maha" segalanya sehingga hampir menyampai sifat-sifat Tuhan. Sekarang ini saja kita sedikit berlapis untuk tidak dilihat terlalu taksub. Aku bukan anti-Raja. Aku fikir Raja adalah institusi tradisi Melayu yang perlu dikekalkan. Ianya mencerminkan adat dan budaya asli kita. Tetapi ianya sekadar itu, tradisi. Kita sebenarnya perlu bergerak melepasi konsep taksub kepada pemimpin ini. Kerana selagi kita masih begitu, selagi itu kita sebagai kaum tidak akan kemana-mana. Sebaliknya pemimpin, baik yang wujud secara tradisi atau dipilih melalui proses pilihanraya akan terus berkuasa dan menentukan hala tuju hidup kita.

Tetapi aku tidak mahu menulis mengenai mereka, pemimpin. Aku mahu menulis mengenai kebebalan kita sebagai manusia yang tidak mahu berfikir lebih jauh apabila dihidangkan dengan sesuatu berita/informasi. Pernah ada orang bertanya kepada aku, kenapa aku sangat berminat membaca Wikipedia dan bagaimana menggunakan Wikipedia. Perlu aku ingatkan bahawa Wikipedia adalah sumber maklumat terbuka yang ditulis secara kasual oleh ramai orang. Jadi sumber ilmunya agak diragui kebenarannya. Tetapi kita masih boleh menggunakan Wikipedia sebagai sumber pantas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu perkara. Kamu mahu tahu bagaimana evolusi manusia mempercayai dunia ini bulat, rujuk situ. Bukan sekadar memberi jawapan bahawa Islam sudah tahu lama mengenainya. Aku pun boleh berkata begitu.

Ianya berkait dengan memperolehi sumber maklumat ekstra dari sumber yang sedia ada. Supaya kita lebih sedar dan terbuka. Supaya kita menjadi manusia seperti yang disarankan oleh Tuhan melalui ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Bacalah!

Kalau kamu sendiri sering berkata bahawa otak manusia ini jauh lebih hebat daripada super-komputer, kenapa kamu tidak gunakan sepenuhnya? Gunakanlah untuk kebaikan. Cari ilmu selagi boleh. Jangan sekadar percaya apa yang orang lain beritahu kamu. Jangan hanya mahu dengar dari satu sumber. Dalam Islam sendiri pun kita sering ungkitkan, kalau tiada dalam al-Quran, rujuk Hadith, tiada dalam Hadith, rujuk sumber lain dan lain lagi...

Sikap kita yang hanya mahu percaya satu sumber bulat-bulat kemudian sebarkan kepada orang lain kononnya sumber itu sumber paling tepat dan betul tidak ubah seperti kita menyebarkan fitnah dan dusta.

"Kira aku okay la. Aku beli Utusan, Berita Harian, Metro dan Kosmo. Semua cakap benda yang sama mengenainya."

Seperti yang aku kata, itu pilihan kamu. Kalau kamu rujuk dengan lebih mendalam, kamu sekadar membaca dua akhbar dan ianya dimiliki oleh satu organisasi politik. Kamu cuma membaca satu berita sahaja. Kemudian kamu tanya aku, apa lagi yang boleh kamu guna untuk mencari sumber rujukan.

Banyak. Paling mudah di internet. Cari di situ dan kamu dapat pelbagai berita mengenai satu perkara dari sudut pandangan yang berbeza. Kemudian, kamu berfikir dan menilainya. Belajar berfikir dan menghuraikan maksud informasi yang diberikan. Bukan sekadar terima apa yang ditulis saja.

Kita bertanggungjawab keatas ilmu yang kita terima. Kalau baik ilmu tersebut, sebarkan. Kalau buruk, diamkan. Begitu juga dengan berita dan informasi. Kalau niat kita baik, kita akan sebarkan berita yang baik. Kalau niat kita jahat, segala yang buruk mengenai sesuatu perkara atau orang lain kita akan jaja kepada semua orang. Kamu mahu jadi mana satu? Pilih sendiri. Jangan lupa, nanti ada sesi soal jawab menentukan arah tuju kamu.

12.2.10

Kereta Konsep Hibrid Proton


Wajah baru Proton! Ini adalah model konsep Proton berenjin hibrid yang direka oleh ItalDesign Giugiaro. Kalau begini arah tuju Proton, aku yakin dengan kerjasama syarikat automotif antarabangsa lain, Proton mampu melangkah lebih jauh.

Sumber : Autocar UK

Berpaling Muka Dalam Facebook

Semakin ramai pengguna dari Malaysia menyertai Facebook, semakin Facebook menjadi seperti Tagged dan Friendster; sarang budak-budak cetek akal. Dan ini membosankan aku. Maka timbul setiap hari Kumpulan (Group) yang menyatakan apa saja rasa mereka, mengikut sesedap rasa mereka sendiri.

Paling terbaru, mereka wujudkan Kumpulan "Membenci" individu atau agenda. Aku tidak tahu orang kita suka membenci sesuatu sehingga sanggup menubuh kumpulan dalam Facebook dan mengajak ramai orang menyertainya. Ramai yang turut serta. Maksudnya sekarang, boleh kita simpulkan bahawa orang kita lebih suka membenci daripada menyukai? Cuma, terma sinikal yang kita boleh guna untuk melembutkan suasana, mereka adalah orang yang menyukai untuk membenci seseorang individu atau sesuatu agenda. Nampak lebih lembut, bukan? Atau kamu sudah terlalu keliru untuk memahaminya?

Lihat, bagi aku Facebook adalah ruang yang cukup bagus jika digunakan sebagai penyambung hubungan antara manusia dengan cara yang baik. Ia adalah ruang yang tepat bagi mencari kenalan dan berhubung semula dengan kenalan lama yang mungkin sudah dilupakan dulu. Tetapi jika ianya dijadikan tempat untuk membenci atau memarahi orang lain, aku fikir kamu membazir masa menggunakan Facebook. Malah, kamu sebenarnya merosakkan 'feel' orang lain yang menggunakan Facebook.

Tetapi itu hakikat manusia. Selagi boleh, mesti mahu ada sifat untuk membenci. Ianya ada sifat yang okay untuk dimiliki dan dijaja. Kita melahirkan generasi manusia yang pemarah, berfikiran singkat dan hanya tahu meluahkan rasa tidak puas hati dengan semua perkara yang mendatang.

Tolong beritahu aku suatu perkara; dengan menyertai kumpulan 'membenci' di Facebook, adakah hidup kamu lebih sempurna atau bahagia?

11.2.10

2010 Lotus F1 Car



Spy shot kereta lumba F1 Lotus tahun 2010. Nampak cool.

Transformasi Perkhidmatan Awam; Star Rating Sebagai Justifikasi Pemberian Belanjawan

Kerajaan melalui Ketua Setiausaha Negara (KSN) sekarang sibuk kononnya menjalankan transformasi perkhidmatan awam; usaha-usaha untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih efisien, pro-aktif dan dinamik. Usaha yang baik. Harapnya bukan sekadar retorik memancing undi. Paling utama, kalau mahu membuat transformasi, ianya perlu menyeluruh, bukan sekadar mendesak penjawat awam berkhidmat lebih efisien, jujur dan mesra. Itu perkara lapuk yang sudah berkali-kali diperkatakan.

Aku fikir perkhidmatan awam perlu lebih berani berubah. Model kerja organisasi besar di luar negeri patut dijadikan contoh dan asas untuk menjana suasana dan mutu kerja yang lebih baik. Aku sebenarnya kurang menyokong pendapat bahawa model perkhidmatan awam yang terbaik dan patut diteladani adalah perkhidmatan awam Singapura. Walaupun diketahui umum perkhidmatan awam Singapura adalah paling efisien dan bermutu, tetapi ianya tidak lebih daripada 'robot-robot' yang bekerja untuk mencapai suatu matlamat. Lebih daripada itu juga, mereka dibayar jauh lebih tinggi (ada kalanya, setanding dengan agensi swasta di sana) daripada apa yang diterima oleh penjawat awam di Malaysia. Mana mungkin seseorang itu boleh bekerja dengan baik jika imbuhan motivasi kerjanya "seciput" saja.

Kita sendiri tahu, kebanyakkan agensi kerajaan adalah bersifat service oriented (berteraskan perkhidmatan) tanpa matlamat keuntungan. Maka itu masalahnya. Apabila tiada matlamat keuntungan, maka usaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan agak sukar dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Agensi tidak melihat usaha memuaskan hati pelanggan dengan memberikan perkhidmatan terbaik adalah cara bagi meningkatkan pendapatan. Kerana kerajaan sudah sediakan belanjawan untuk setiap agensi tersebut berdasarkan permohonan yang diterima daripada agensi itu sendiri. Tiada penilaian khusus dari segi kualiti perkhidmatan yang disampaikan sebagai justifikasi pemberian belanjawan.

Apa kata, selepas ini, belanjawan sesuatu agensi kerajaan diberikan berdasarkan mutu perkhidmatan yang disampaikan kepada orang ramai. Jika mutu perkhidmatan sepanjang tahun agensi A contohnya adalah cemerlang dan sering mendapat pengiktirafan (anugerah dan pujian), maka belanjawan yang diberikan ditambah sebagai bonus. Sebaliknya jika agensi B contohnya sering mendapat kritikan dan menerima reaksi negatif daripada orang ramai, maka belanjawan mereka dipotong atau dikurangkan sebagai 'denda'.

Betul, tidak semua agensi boleh dinilai sebegitu rupa. Ada yang langsung tidak berurusan dengan orang awam. Kaedah lain boleh dicari sebagai pengukur pencapaian perkhidmatan mereka. Kerajaan ada menjalankan penilaian Star Rating. Gunakan Star Rating sebagai asas pertimbangan pemberian belanjawan. Lebih tinggi rating, lebih tinggi bonus belanjawan. Dengan cara ini, agensi diharap akan berlumba untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka bagi mendapatkan belanjawan yang lebih. Bonus belanjawan lebih ini boleh digunakan bagi mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan mereka.

Ianya juga mungkin boleh disalurkan terus kepada penjawat awam yang bertugas di agensi tersebut sebagai insentif terhadap mutu perkhidmatan yang mereka berikan. Bayar dalam bentuk bonus, contohnya.

Aku nampak banyak komplikasi terhadap cadangan ini. Tetapi ianya sebagai permulaan. Aku mahu Star Rating dijadikan asas pertimbangan pemberian belanjawan adalah kerana aku tidak nampak apa rasional Star Rating dibuat. Kalau setakat mahu menilai kemudian diberi 'bintang', buat apa? Agensi tersebut bukan hotel. Ianya tidak boleh membantu dalam banyak segi. Ianya sekadar pengiktirafan kerajaan terhadap kualiti agensi tersebut.

Penjawat awam juga akan lebih rasa bertanggungjawab untuk bekerja dengan lebih efisien demi mengejar 'bonus lebih'. Manusia suka bersaing. Apabila diwujudkan persaingan sebegitu, maka manusia secara automatik akan berusaha untuk melakukannya. Kalau seorang penjawat awam datang ke pejabat dan di benak otaknya tahu, dia hanya sekadar menjalankan tugas, motivasi untuk dia melakukan kerja dengan lebih berkesan dan efisien tidak ada. Sebaliknya jika dia tahu bahawa kerja yang dilakukan bakal menentukan keuntungan agensi (yang juga keuntungan dia sendiri), maka pastinya dia akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapainya.

Oh, ya. memang ekonomi mudah (simple economics).

Pasti akan timbul pelbagai masalah. Tetapi model ini boleh diperinci dan dikemaskini lagi. Banyak aspek lain perlu dilihat. Cuma, sekurang-kurangnya, orang awam dapat memberi justifikasi apabila mendapat tahu bahawa sesebuah agensi menerima contohnya, 4 bintang berbanding agensi lain yang menerima 2 bintang.

Aku akan sambung lagi nanti.

10.2.10

Media Songsang

Antara punca besar aku sudah tidak membaca surat khabar arus perdana dan mendengar berita utama di televisyen adalah kerana kebebalan laporan yang diberikan. Sikap berat sebelah (terhadap parti politik tertentu) sudah nyata. Jadi tidak perlu disebut lagi. Namakan aku media arus perdana di Malaysia ini yang bersifat non-partisan. Semuanya ada kepentingan politik tersendiri.

Ini sebenarnya mencacatkan suasana demokrasi dan kehidupan sosial di Malaysia. Apabila pengaruh media sebegini dibenarkan untuk terus wujud dan menyampaikan mesej berat sebelah kepada orang ramai atas nama sumber maklumat. Kita tidak diberi peluang untuk berfikir, sebaliknya disumbat terus menerus dengan maklumat yang mahu disampaikan walaupun ianya jelas nyata memihak. Kalau kamu perkataan yang lebih spesifik maksudnya, cuba PROPAGANDA.

Sama ada kamu baca Utusan Malaysia atau Harakah, The Star atau Rocket, apa yang kamu baca adalah propaganda politik pihak berkepentingan. Kamu tidak akan jumpa sumber informasi berita di Malaysia yang bersifat terbuka dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kalau dulu, cikgu Nik di MRSM BP pernah berkata, Yahudi menguasai dunia melalui sumber maklumat berita, maka apa yang berlaku sekarang adalah kita di Malaysia meniru apa yang kaum Yahudi lakukan. Dan kita berbangga dengannya?

"I shall tell you of William Wallace. Historians from England will say I am a liar, but history is written by those who have hanged heroes..."

Itu petikan ayat permulaan filem Braveheart, karya Mel Gibson. Apabila kita menulis berita, ianya akan menjadi sejarah dan sejarah pula adakan catatan ketamadunan manusia. Mahukah kita sebagai rakyat Malaysia dicatat dalam sejarah mengikut citarasa si pembodek dan pembohong yang bertopengkan jawatan sebagai wartawan dan pemberita?

Aku tidak minta mereka melaporkan berita mengikut kehendak aku. Tetapi sekurang-kurangnya laporkan berita yang benar dan jujur apabila melaporkannya. Bukan untuk kepentingan sesiapa pun. Bagi aku pekerjaan paling keji di Malaysia sekarang adalah ahli politik dan pemberita/wartawan (media arus perdana/media politik). Mereka adalah manipulator yang memporak perandakan cerita sebenar mengikut acuan kepentingan mereka.

Kita sebagai manusia juga berhak mendesak diberikan sumber maklumat yang tepat dan benar, tidak menyebelahi mana-mana pihak serta berfakta. Kita dianugerahkan Tuhan dengan akal fiiran supaya tahu membezakan mana yang baik, mana yang buruk. Jika kita tidak dapat membezakan baik buruk itu, rasanya amat-amat membazir akal fikiran yang ada terbeban di kepala kita.

Selagi media arus perdana dibelenggu pengaruh politik dan bersifat partisan, aku tidak akan mempedulikan mereka.

8.2.10

Ilusi

Ngarai (Canyon)?



Tidak. Sekadar lekukan kecil di permukaan bumi.

Jangan selalu percaya apa yang ada di depan mata kamu.

7.2.10

Alam

Demi Tuhan yang menjadikan seluruh alam.



Menciptakan alam ini untuk menjadi saksi kekuasaanNya.



Dan menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.



Tidakkah kamu sedar wahai manusia, apa yang ada disekeliling kamu adalah anugerah yang tidak terhingga nilainya?