2.30 pagi dan masih berjaga. Mata sudah terasa berat tetapi hati masih mendesak untuk terus membuka luas kelopak mata ini.
Tidak ada apa yang merunsingkan fikiran. Hati begitu tenang, jiwa begitu damai. Kasih sentiasa di hati, hidup sentiasa bahagia. InshaAllah.
Aku mengingatkan diri ini bahawa masa untuk bersendirian sudah tidak lama tinggal. Kelak tidak ada lagi sunyi hendak diadu di sini. Tidak ada lagi baris-baris kata menceritakan perilaku seorang diri seperti yang sering berlaku dulu.
Aku perlu belajar hadapi sesak manusia di Jalan Masjid India sebanyak empat kali dalam sebulan. Aku perlu belajar apabila memesan makanan, pastikan ianya pedas dan cukup masinnya. Aku perlu belajar untuk beli apa yang perlu dan kalau ianya tidak perlu, jangan beli. Aku perlu belajar mengenali sanak saudara yang dekat dan jauh supaya silaturrahim sentiasa terikat mesra.
Banyak yang aku perlu belajar. Banyak yang aku perlu buang perangai tidak baik dan gantikan dengan perangai baik.
Tidak ada persoalan untuk apa semua ini. Kamu sendiri sudah tahu.
Hari ini, genap tiga bulan aku mengenali Zura. Bila berbual di telefon (bergayut) lewat malam tadi, kami sedar ianya baru tiga bulan tetapi suasananya seperti sudah tiga tahun. Seperti sudah terlalu lama mengenali Zura. Maka apa saja langkah yang sedang berlaku, dirasakan ianya seperti rutin hidup bersama selama ini. Ianya membuat aku tersenyum.
Bertahun aku mencari (dan letih mencari), tiga bulan selepas mengenali Zura, ianya dirasakan begitu berbaloi!
1 comment:
It seems like you finally found your "Autumn".
All the best to both of you.
Post a Comment