Entah apa yang aku cari sebenarnya. Aku fikir aku akan temuinya tidak lama lagi namun tidak lama itu mungkin lebih lama dari yang aku sangkakan. Kemudian semakin hari aku semakin mengalami halangan mental untuk menulis dan menceritakan sesuatu di sini.
Aku mahu kurus. Itu sebenarnya mungkin. Kerana aku sudah bosan dengan gemuk dan bersusuk tidak menarik untuk aku sendiri pandang. Namun semangat untuk menguruskan badan tidak ada langsung dalam benak otak ini. Sebaliknya aku mahukan ianya kurus begitu saja tanpa aku perlu lakukan apa-apa. Mana mungkin. Aku mahu ke gimnasium dan bersenam. Alasan aku, untuk kesihatan. Itu cuma alasan kepada orang yang bertanya. Aku mahu kurus sebenarnya. Aku mahu buang 15 kilogram dari badan aku supaya aku cuma seberat 70 kilo saja. 15 kilo itu bolehkan dilakukan dalam masa 6 bulan? 5 kilo dalam masa 2 bulan atau 2 setengah kilo sebulan? atau erm... 83 gram sehari. 83 gram. Nampak dan bunyi macam sedikit. Hampir sama berat dengan sekampit Meggi atau sebungkus cip kentang. Sedang aku makan nasi, ikan, ayam, daging, sayur dan lain-lain setiap hari.
Mungkin kenapa sewaktu di MRSM Balik Pulau dahulu aku sentiasa kurus kerana makanan di Dewan Selera (DS) tidak pernah sedap dan aku aktif bersukan. Siapa yang sanggup makan ikan jaket dan cucur kodok pisang keras macam batu? Siapa sanggup makan nasi kawah setiap hari? Ayam yang di potong kecil hingga aku fikir mungkin mereka selama ini beri aku makan anak-anak ayam saja. Roti canai sejuk yang boleh dibuat piring terbang. Pengalaman makan di dewan makan sekolah berasrama penuh. Kamu yang tidak pernah alaminya memang rugi.
Setiap hari sabtu menunggu Pak Ya dengan nasi lemaknya yang semua orang pasti dia letak ganja di dalamnya agar sentiasa sedap dan laku. Kalau kamu tidak berduit ketika itu, kamu sanggup pinjam semata-mata untuk makan nasi lemak Pak Ya. Atau mungkin kalau kamu mewah sikit, boleh kamu berbelanja di kafetaria kecil, makan apa saja yang biasanya cuma cikgu-cikgu yang makan. Atau mungkin kamu terlebih kaya ketika itu, makan di gerai tepi balai Polis di pekan Balik Pulau atau mahu lebih hebat, McDonald's dan KFC di Komtar, Georgetown.
Ah, hujung minggu aku sebelum aku berpacaran dengan Renny akan pasti penuh dengan makanan-makanan yang diberi percuma samada dari secret admirer atau kakak-kakak angkat (walau aku cuma ada seorang saja ketika itu). Pernah suatu hari aku terima 2 bungkus Big Mac dalam satu masa. Cuma sebungkus Big Mac sudah kosong dimakan oleh member dorm. Biarkan. Aku masih ada lagi satu. Selepas berpacaran dengan Renny, habis semuanya hilang. Kira rugilah sikit tetapi aku tidak merungut. Aku masih kurus ketika itu, cuma 63 kilo dan makan apa saja, tidak akan menyebabkan aku gemuk.
Tadi, Aliah, rakan opis ajak aku berjogging. Katanya aku perlu berjogging setelah aku habiskan RM150 untuk membeli kasut sukan New Balance (lihat bawah). Mungkin ini yang sepatutnya aku lakukan. Ada seorang rakan opis bergurau dengan aku. Katanya untuk aku senang berjogging, perlu ada seorang wanita cantik yang berjogging di hadapan aku. Betul, tapi siapa yang sudi?
New Balance MR560SN
3 comments:
bro u ex mrsm bp thn bila? ermmmmmmmm ingat lagi ikan jaket masak merah oiiiii
Batch 89. 1989 - 1992
bukan setakat ikan jaket je.. paling tak boleh lupa bila breakfast roti canai & kuah dal, then suddenly semua kelas kosong sbb student sakit perut. yg berebut toilet pun ada.
Post a Comment