12.12.08

Aku Tersesat Ke Tempat Lain

Siang tadi aku buka Google Maps (bukan Google Earth). Mencari-cari di mana letaknya Grand River View Hotel, Kota Bharu. Jumpa. Tepi sungai rupanya.

Kerana 21hb nanti aku perlu ke sana. Berkampung untuk 5 hari sehingga 25hb. Memang berjalan kesana kemari sekarang, hinggalah mungkin menjelang Mei nanti. Atau Jun. Atau Julai. Aku tidak tahu. Pastinya, setiap bulan ada saja destinasi yang menanti. Dengar khabar angin dari tingkat atas, selepas ini mungkin ke Labuan pula. Kata mereka, alang-alang berjalan jauh, biar jauh betul-betul jauh. Kalau begitu, mahu saja aku cadangkan ke Santiago, Chile. :-D

Bukan jalan bermain-main dan mencari barang murah di Pasar Siti Khadijah. Atau mana-mana saja pasar yang selalu diserbu pelancong (anehnya semasa di Kuala Terengganu tempohari, aku tidak pun ke Pasar Payang... Oh, aku lelaki. Patutlah). Ada kerja yang perlu diselesaikan. Dengar khabarnya nanti, Bos Besar ingin turun padang melihat gelagat anak-anak buahnya memerah otak menyediakan karangan indah untuk beliau persembahankan sebagai bukti kehebatan organisasinya nanti, hingga sudi sang pemerintah mengiktiraf sebagai yang terbaik. Kami yang duduk di belakang ini nanti, tumpang gembira kecil sajalah.

Kalau di syarikat swasta, sudah lama naik pangkat dan naik gaji. Ini kerja kerajaan, setakat mana sangat kamu akan dihargai nanti? Anugerah Khidmat Cemerlang setakat terima sijil dan duit RM1,000 bersama foto kamu terima sijil dari pak menteri (foto yang tidak pernah cantik dan tidak pernah elok - berapa mereka bayar juru foto palsu tersebut?). Lain? Ada yang lain ke?

Jadi sahabat, kamu fikirlah betul-betul. Bukan hendak mengampu Bos kerana takkan berbaloi dengan penat jerih yang dicurahkan. Bukan juga mencari nama; lama-lama nanti orang akan lupa juga. Ini semua kerana sepotong ayat yang aku cukup benci;

"Saya yang menurut perintah."

Ya, betul. Aku tidak pernah suka dengan ayat itu. Aku tahu, ini tidak lebih dari propaganda sang pegawai-pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dulu-dulu yang cuba menakut-nakutkan anak buah mereka tentang pentingnya menerima apa saja arahan. Maka diwujudkanlah 'tag-line' biadap seperti begitu.

Kamu fikir yang disuruh turut perintah itu apa? Anjing? Kucing? Burung Kakak Tua? Mereka pun selalunya melawan juga cakap tuan mereka.

Eh, aku sebenarnya tidak marah sekarang. Bukan emosional. Tetapi cuba menjadi rasional. Sepatutnya ayat sebegitu tidak patut ada di awal-awal lagi. Ianya bagi aku ayat biadap dan menghina. Tidak lebih seperti mengesahkan sistem kasta yang wujud dalam perkhidmatan awam di Malaysia. Kerana perkataan "turut" yang digunakan itu seperti kamu tiada pilihan lain selain akur 100%. Juga perkataan "perintah" itu seperti yang sepatutnya timbul di zaman penjajah dulu-dulu saja.

Pada aku, perkataan yang sedikit sesuai ialah,

"Saya akan sama-sama menjalankan tugas."

"Lets work together."

Apa saja yang tidak menunjukkan batasan kasta.

Kamu tahu apa yang selalu aku dengar apabila sang pegawai-pegawai ini berkata-kata perihal orang bawahan mereka?

Hukuman. Denda. Arahan. Perintah. Saranan. Teguran.

Perkataan negatif yang sepatutnya tidak digunakan lagi dalam era manusia diajar mengenai konsep kerja berpasukan (team building). Dalam era manusia diterapkan dengan program penerapan nilai-nilai murni. Dalam era manusia dipujuk untuk mewujudkan toleransi antara satu sama lain.

Namun, dalam perkhidmatan awam, masih ada manusia yang fikir, orang bawahan mereka adalah alat semata-mata. Alat yang mereka boleh guna sesuka hati kerana mereka sentiasa "mengingatkan" orang bawahan mereka tentang ayat ini,

"Saya yang menurut perintah."

Siapa yang cipta ayat ini, aku fikir wajar saja dipenjara. Atau lebih kejam, setiap orang bawahan dalam perkhidmatan awam wajib tempeleng muka dia sekali. Sebab itu, buatlah apa pun program dan kaedah untuk meningkatkan prestasi kerja orang bawahan dalam perkhidmatan awam, ianya takkan berjaya. Selagi ada "peringatan" mengenai ayat tersebut, selagi itu orang bawahan akan merasa rendah diri dan serba kekurangan. Inferiority Complex, agaknya.

Ya, betul. Ayat itu sebenarnya tidak membantu memperbetulkan suasana kerja. Malah orang bawahan (yang kamu selalu lihat di kaunter dengan muka penuh masam dan garang) akan sentiasa tertekan dengan ayat sebegitu. Mereka buat kerja bukan kerana suka dan ikhlas, tetapi kerana di"perintah". Sama macam...

Oh, kamu boleh andaikan... cuba sikit. Sama macam apa?

Ya. Hamba Abdi. Kuli. Pecacai.

Tidak percaya? Tidak mengapa. Mungkin kamu boleh buat begini (kalau kamu bos di bahagian kamu). Dalam mesyuarat, cuba cakap,

Bulan ini kamu beritahu,

"Anda semua perlu buat kerja yang diarahkan ini."

Tengok reaksi muka mereka.

Bulan depan pula, kamu cuba cakap begini,

"Baiklah, mari kita sama-sama lakukan tugas ini."

Lepas tu tengok bagaimana reaksi mereka.

Kalau kamu masih kata sama, kamu tidak layak jadi bos. Kamu tidak pandai menilai. Atau orang bawahan kamu sebenarnya robot-robot Asimo keluaran Honda (yang amat cute... Tanya, kenapa robot Asimo keluaran Honda dibuat dengan saiz, warna, muka dan lain-lain sifatnya begitu? Jawab.).

Sebenarnya aku sudah meleret dari tujuan sebenar aku menulis. Tidak mengapalah. Ingat, bukan mengkritik, cuma ingin merungkai realiti.


1 comment:

aliah yaacob said...

Manusia selalu memandang pd status. Hidup bgai roda smpi mreka telupa mreka berada dimana. Tag line tu mmg patut dimansuhkan. Gantikan dgn yg lebih motivated.

Post a Comment