Kelmarin aku pasangkan langsir baru di jendela. Aku juga beli rak menggantung tuala (yang selama ini aku gantung di jendela) dan rak menyangkut baju. Aku juga telah makan 6 ketul donut Big Apple semalam setelah aku makan 3 ketul donut yang sama kelmarin. Memang aku cari penyakit agaknya.
Kalau hendak diikutkan hati, aku mahu membeli sebuah gitar akustik. Aku mahu belajar main gitar hingga aku boleh menghasilkan lagu melaluinya. Kemudian aku terlihat piano. Menarik juga. Berlajar main piano tidaklah susah. Aku pernah belajar sedikit-sedikit dulu semasa di MRSM BP dengan piano di dewan. Tetapi tidak sampai tahap berani untuk bermain di hadapan orang ramai seperti yang Azrul Hanidy lakukan. Kamu masih ingat?
Namun, piano agak mahal harganya dan besar saiz. Jadi aku fikir aku akan beli gitar saja nanti. Kemudian aku teringatkan biola ayah (mungkin bukan ayah punya) di bawah katil di kampung. Tiada tali dan penggeseknya juga sudah hilang. Menarik juga kalau aku cuba baikinya. Nanti aku balik kekampung, akan aku tanya di mana biola itu sekarang.
Seterusnya novel. Ahh... novel. Bila lagi hendak aku teruskan perkara ini. Kamu tahu, jalan ceritanya sudah ada tertanam dalam benak otak ini. Kesana kemari dan setiap hari ada saja yang boleh aku tambah. Cuma aku ada sedikit masalah. Aku fikir dalam menulis novel, ayat pertama yang membuka cerita mestilah bombastik atau sekurang-kurangnya begitu menarik menyebabkan orang mahu terus membaca. Aku belum jumpa ayat tersebut. Atau mungkin sebenarnya tidak perlu sampai begitu sekali?
Bagi orang yang bercita-cita hendak menulis novel, aku bukanlah seorang pembaca novel. Malah sebuah novel yang aku baca baru-baru ini aku tinggalkan di permulaan jalan lagi. Peliknya membaca novel sekitar tahun 60an. Apatah lagi dengan susunan ayat yang pelik dan berjela-jela. Hendak aku baca novel moden, aku tak fikir aku sanggup. Agaknya aku mahu lari dari cliche dan aku tidak mahu terpengaruh dengan gaya penulisan dan jalan cerita mereka. Jadi sekurang-kurangnya bila orang baca nanti dan bila orang berkata,
"Dan, gaya penulisan engkau macam si polan, si polan..."
"Ye ke? Aku tidak pernah baca novel mereka. Aku tidak pernah baca novel sejak 5 tahun lalu."
"Betul ke ni?"
Mungkin agak menarik untuk melihat mereka terkejut ketika itu. Hehehe...
Kemudian mengenai kerjaya. Sebenarnya bodoh juga aku ni. Sepatutnya aku tidak melengahkan masa untuk mengambil ujian dan temuduga naik pangkat. Kalau aku laluinya tahun ini, aku sudah naik pangkat pun. Sekarang aku beri alasan yang aku akan lalukannya tahun hadapan. Kamu fikir aku akan buat? Lalu aku beri alasan; banyak kerja, sibuk, tidak tahu ada periksa dan lain-lain lagi. Orang lain yang seangkatan atau lebih junior dari aku sudah ambil periksa dan sudah lalui temuduga dan ada antara mereka yang telah berjaya. Tidak mustahil ada antara mereka yang akan jadi ketua aku nanti. Apa agaknya aku rasa ketika itu ya?
Dalam pada itu, kerja aku memang sebenarnya semakin sibuk. AKPM akan menjelma tahun depan. Laporan tahunan perlu aku siapkan sebelum Mac dan segala macam kerja lain yang perlu aku selesaikan segera. Entahlah. Kadang-kadang aku fikir tidak logik juga kerja aku ini. Bukan urus niaga utama organisasi aku tapi sibuknya Tuhan saja yang tahu. Dan yang memerlukan kreativiti. Amat penat tau tak. Penat hendak fikir konsep dan segalanya sekiranya kamu sekadar belajar semua itu melalui buku dan pengalaman sendiri.
Aku akan lama di bahagian aku sekarang. Itu pasti. Selagi aku belum temui orang yang boleh buat kerja seperti yang aku buat sekarang, jangan harap aku akan kemana. Malah kalau naik pangkat sekalipun nanti, tempatnya tetap sama. Lakukan kerja yang sama. Nasib juga sebab sekarang aku masih sukakan dengan kerja yang aku lakukan ini. Tiba masa aku fikir aku tidak boleh pergi lebih jauh lagi, waktu itu baru aku fikir aku akan minta tukar ke bahagian lain. Orang kata aku rugi sebab aku tidak bekerja di bahagian yang melibatkan urus niaga utama. Banyak yang aku tidak tahu mengenai proses urus niaga. Maaf, betul dan tidak. Betul banyak yang aku tidak tahu. Tapi tidak, aku takkan tidak tahu selamanya. Aku akan belajar dan akan aku akan usaha sehingga aku mahir dengan apa yang aku hadapi. Aku bukan tunggul kayu.
Akhirnya, mengenai hidup ini. Mungkin dalam beberapa catatan lepas aku cerita gembira hidup ini kerana seseorang. Ya, betul ada seseorang itu. Tetapi tidak, masih belum ada apa-apa yang berlaku. Jadi, biarkan dulu. Kalau ada seribu orang kata aku rugi dan akan menyesal nanti, biar juga. Seribu orang itu tidak faham keadaan sebenar.
Tahun baru aku memang bermula agak awal. Tiada azam. Aku tidak pernah berazam kerana aku tahu aku takkan boleh menunaikan azam tersebut. Jadi aku teruskan saja hidup aku seperti mana yang telah aku lalui sejak 33 tahun lalu. InsyaAllah, apa yang mendatang, akan aku tempuhi dengan sabar. Jangan kamu risau, okay.
Selamat Menyambut Tahun Baru. Semoga damai hati dan hidupmu sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment