16.12.08

Diskriminasi Kerja Kerajaan? Ye Ke?

Kalau blog ini popular dan dibaca oleh ramai orang, artikel yang hendak aku bentangkan ini pasti mendapat respon panas.

Mengenai bukan melayu di dalam perkhidmatan awam. Pandangan aku sendiri.

Selalu aku baca di blog dan media mengenai kurangnya orang bukan melayu di dalam perkhidmatan awam. Atau ada yang lebih lantang mengatakan peluang orang bukan melayu dalam perkhidmatan awam amat terbatas dan kalau ada yang berkhidmat, peluang mereka untuk meningkat juga amat terbatas.

Realitinya memang benar terlalu sedikit bukan melayu (secara umumnya melayu disini merujuk kepada bumiputra) dalam perkhidmatan awam dan ianya agak mengecewakan. Kerana kalau hendak dibuat batu aras persaingan mutu kerja antara melayu dan bukan melayu, maka susah hendak dilakukan. Kita tidak boleh bandingkan mutu kerja dalam perkhidmatan awam dengan sektor swasta. Matlamat akhirnya tidak sama.

Jadi bagaimana hendak kita kata bukan melayu lebih bagus menjalankan tugas berbanding dengan melayu? Di luar sana dalam sektor awam, mungkin mereka boleh sahkan dengan data dan fakta. Tapi dalam perkhidmatan awam, agak sukar hendak melakukannya.

Aku tidak mahu ceritakan mengenai itu semua. Aku mahu ceritakan pengalaman bekerja dengan bukan melayu di pejabat, sehingga setakat ini. Pertama, seorang bos lelaki berketurunan cina. Masih muda dan amat peramah orangnya. Bahasa Malaysia beliau tidaklah sempurna dan aku masih belum pernah dengar dia berbicara dalam bahasa Inggeris. Mungkin orang lain pernah dengar. Dari pemerhatian aku, beliau amat rajin dan cepat membuat keputusan. Bukanlah relentless atau bekerja macam robot. Masih ada masa untuk beliau bergurau dan ada kalanya datang kepada aku untuk bertanyakan pendapat dan meminta pertolongan. Datang sendiri, bukan melalui orang lain (aku tak boleh kata semua bos melayu berbuat begitu).

Kedua, seorang kerani pangkat tinggi juga berbangsa cina. Seorang perempuan. Juga amat rajin, jarang sekali aku lihat beliau balik tepat jam 5 petang. 6.30 petang masih di pejabat. Bicara dalam bahasa Malaysia amat fasih hingga kadang-kadang orang mungkin tersalah sangka mengenai bangsa beliau. Tidak ada ego dalam diri beliau.

Ketiga, seorang pegawai perempuan berbangsa india. Peramah dan amat baik dengan aku. Selalu aku berbicara dengan beliau dalam bahasa Inggeris walau kadang-kadang dia berbicara dalam bahasa Malaysia dengan aku. Aku sengaja. Aku mahu praktis bahasa Inggeris aku dan aku tahu beliau boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Juga tidak ada ego dalam dirinya. Selalu datang terus kepada aku sekiranya mahu bantuan melakukan sesuatu. Pandai berdiplomasi walau ada kalanya masih terpengaruh dengan "semangat pegawai" di kalangan rakan-rakan beliau.

Aku kenali ketiga-tiga watak ini sejak beberapa lama. Satu persamaan antara mereka, penguasaan bahasa Malaysia mereka adalah baik. Lancar dan jelas. Aku rasa itu kriteria penting untuk bertugas dalam perkhidmatan awam. Kamu tidak boleh desak orang lain berbahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil dalam perkhidmatan awam kerana bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi. Aku fikir pertamanya, bahasa Malaysia adalah bahasa penting dalam perkhidmatan awam. Apa jua orang lain fikir mengenainya, selagi bahasa Malaysia itu bahasa rasmi negara, selagi itu ianya akan dipergunakan seluasnya dalam perkhidmatan awam. Tiada alasan.

Malah, sepatutnya menjadi wajib kepada orang ramai yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan untuk berbahasa Malaysia terutama orang yang datang itu adalah warganegara Malaysia. Tiada sebab hendak mereka kata mereka tidak tahu berbahasa Malaysia.

Berbalik kepada ketiga-tiga watak bukan melayu ini. Mereka berpangkat atasan. Bukan kerani biasa. Malah bos yang merupakan watak pertama tadi sebenarnya meningkat naik menjadi bos dalam masa yang amat singkat. Tidak sampai dua tahun beliau di pejabat ini, beliau sudah dilantik menjadi bos di sebuah bahagian yang amat penting. Kalau orang kata ada diskriminasi, aku masih belum nampak.

Selesai mengenai ketiga-tiga mereka. Kemudian, dari pemerhatian aku juga, bukan melayu lebih senang di terima di Sabah dan Sarawak. Malah bukan melayu yang datang dari Sabah dan Sarawak (termasuk cina) juga lebih mudah menyerap masuk kedalam kumpulan melayu tanpa sebarang masalah. Aku fikir sifat perkauman di Sabah dan Sarawak tidak setebal di Semenanjung. Orang cina yang melapor diri untuk berkhidmat sebagai penjawat awam, kalau datang dari Sabah dan Sarawak, nampak lebih mudah mesra dan menerima kaum lain. Entah mengapa. Orang india juga begitu. Mudah menyerap dalam kumpulan melayu. Tidak kira dari mana mereka datang, orang india dilihat lebih mesra.

Setakat ini, aku tidak nampak masalah dengan bukan melayu dalam perkhidmatan awam. Peluang mereka sama saja dengan orang melayu. Aku tahu masih ada yang merungut peluang untuk bukan melayu bekerja sebagai penjawat awam amat terbatas.

Kamu buat kira-kira mudah. Contohnya, satu jabatan mahu mengambil 100 orang kakitangan baru. Jumlah yang memohon mungkin 40,000 orang (tidak mustahil). Daripada 40,000, selalu tidak lebih 5% adalah bukan melayu. Jadi cuba beritahu, bagaimana hendak bersikap sama rata sedang yang memohon terlalu sedikit. 5% daripada 40,000 adalah 2,000. Kalau short listed tinggal 4,000, takkan hendak letak 1,000 daripadanya adalah bukan melayu? Apa logiknya? 4,000 adalah 10%. Jadi logiknya, cuma layak 200 orang saja bukan melayu dalam short listed. Daripada itu, cuma nak ambil 100 orang. Jadi fikirkanlah berapa yang layak sebenarnya berdasarkan permohon yang datang memohon. Itu belum bersifat meritokrasi yang sering dilaung-laungkan oleh ramai orang.

Aku tahu, orang yang melaungkan meritokrasi ini akan suka apabila melihat kaum mereka lebih ramai atau menguasai peratusan. Bagi mereka, itulah agaknya meritokrasi. Alasannya? Pendidikan mereka lebih baik. Kelayakan mereka lebih tinggi. Betul? Pasti? Kelayakan akademik yang macamana tu? Kalau datang temuduga hendak berbicara dalam bahasa Malaysia pun susah, bagaimana hendak diterima?

Aku sebenarnya tidak kisah kalau lebih ramai orang bukan melayu bekerja dalam sektor awam. Boleh wujud persaingan yang sihat. Kalau setiap hari dikelilingi oleh orang melayu sahaja, bosan juga. Tiada keterbukaan.

Aku pernah kerja dalam organisasi yang lebih 80% kakitangannya bukan melayu. Aku tahu diskriminasi itu bagaimana. Aku tahu bagaimana dibayar dua kali ganda lebih kurang dari rakan sejawat yang sama tapi berlainan kaum walaupun aku ada kelayakan yang lebih tinggi. Aku tidak komplen. Aku tahu itu cabaran di luar sana. Nafikanlah macamana kamu hendak nafikan, aku pernah lalui.

Aku pernah hadapi temuduga dimana dua orang penemuduga bukan melayu yang menemuduga amat berpuas hati dan berjanji akan menawarkan jawatan kepada aku. Akhirnya orang lain yang dapat dan beliau bukan melayu. Alasannya, aku tidak tahan habuk. Entah bila aku cakap aku tidak tahan habuk.

Aku juga pernah bekerja dengan bos bukan melayu yang amat baik. Sentiasa menggalakkan aku bekerja dengan bersungguh dan memberi motivasi yang amat baik kepada aku. Beliau beri aku ruang untuk berdikari, bantu aku buat kertas kerja untuk dapatkan projek yang lebih lumayan.

Semua itu aku pernah alami. Luar sana amat hebat cabarannya. Tapi dalam sini, dalam perkhidmatan awam ini juga tidak kurang juga cabarannya. Cuma jangan kamu minta bukan-bukan. Seperti masuk kekandang kambing, buat cara kambing. Masuk kandang harimau, buat cara harimau. Sama saja suasananya dalam sektor awam dan sektor swasta. Tiada diskriminasi kaum, setakat yang aku lihat. Kami kerja sama-sama untuk jabatan kami. Tidak kira kamu melayu atau bukan melayu, kerja adalah kerja.

Kalau setakat hendak mengkritik tetapi tidak tahu asas dan sering bersandarkan cerita orang lain semata-mata, kamu boleh borak sorang-sorang. Kalau tidak tahu, diam. Lagi baik, cari informasi. Lepas tahu, barulah bising, kalau tak malu. 

2 comments:

kingpahat a.k.a zaimi said...

hi...
kingpahat.blogspot.com

Awang Kata said...

Tapi masih banyak kalangan anggota khidmat awam (aka) yang tidak berbahasa Melayu yang baik. Masih senang dengan bahasa pasar. Harap aka diberikan kursus komunikasi dalam erti kata bukan sekadar boleh faham tetapi 'kebiasaan yang betul' dan tidak sebaliknya.

Post a Comment