10.8.09

Dari Putrajaya Ke Broga Dan Pulang Ke Rumah

Entah apa kerja gila aku hari ini, setelah keluar dari pejabat petang tadi, aku memandu kereta tanpa arah yang jelas. Mula-mula aku ke Kampung Limau Manis, tidak jauh dari Putrajaya. Dari situ aku memandu ke kawasan kampung berhampiran; Sungai Merab Hulu dan Hilir.

Dari situ, aku ke Jenderam dan terus ke Bangi. Bangi Lama. Dari Bangi Lama aku lalui jalan kecil ke Semenyih. Mulanya fikir aku mahu terus dari Semenyih ke Seremban. Tapi bila tiba di simpang ke Broga, aku terus belok ke situ. Dalam perjalanan ke Broga, aku terserempak dengan kawasan penternakan (agaknya) arnab.

Rabbit Fun Land yang terletak berhampiran Broga tidaklah sebesar mana pun. Tiket masuk cuma RM5 (agak mahal untuk kawasan yang hanya ada arnab, kambing, kuda, monyet dan anjing di dalamnya). Aku capai kamera dan rakam aksi arnab dan haiwan sekeliling kawasan.





Ada banyak aksi arnab tetapi aku lebih tertarik dengan tiga ekor monyet yang dirantai. Kalau ikut saiz, ianya cuma anak monyet. masih kecil. Entah kenapa, hati jadi sayu. Monyet-monyet ini diikat di leher dan dirantai untuk menghadkan pergerakan mereka.









Benar manusia ini sebenarnya sungguh kejam. Malah kalau kamu lihat kandang arnab yang ada di situ, kamu pasti sebak. Bau busuk dan kandang yang amat kecil menjadi tempat tinggal ratusan arnab.

Aku diberi sebungkus makanan untuk diberikan kepada arnab. Aku simpan. Entah. Mungkin sepatutnya aku berikan saja kepada arnab-arnab tersebut. Atau kepada monyet.

Aku teruskan perjalanan. Dari Broga ke Lenggeng, Negeri Sembilan. Dari situ membelok ke Kampung Rawa hingga tiba di Mantin. Kemudian aku teruskan lagi memandu hingga tiba di Nilai. Dari situ aku masuk ke lebuhraya dan pulang ke rumah (selepas singgah di The Mines).

Jauh perjalanan. Puas hati. Cuma masih terasa sebak melihat haiwan diperlakukan sebegitu rupa.

Oh ya, semasa di The Mines, aku singgah di sebuah kedai haiwan peliharaan. Melihat aksi Hamster, ikan dan kura-kura. Aku terfikir hendak membeli sebuah akuarium kecil untuk diletakkan di pejabat.

Sekejap saja lupa mengenai keadaan haiwan-haiwan di Rabbit Fun Land tadi.

2 comments:

kOpiEhiTam said...

uishh... jauhnyer perjalanan. hehehe..

Byzura Razali said...

saya pun penah pegi kat sini...banyak sgt arnab..i thought jual murah...tapi mak ai..gile tekan harge...

Post a Comment