3.2.10

Diskriminasi Gaji

Gaji polis naik lagi. Aku sebenarnya sedikit dengki. Aku tidak akan boleh jadi seorang anggota polis kerana pertama, aku rabun warna dan kedua, aku rabun. Jadi aku cuma boleh jadi kakitangan kerajaan yang biasa. Maka, aku anggap kenaikan gaji anggota polis ini adalah diskriminasi terhadap orang seperti aku.

Sebelum kamu baca lebih, aku harap kamu faham. Ini adalah kritikan sosial bersifat sinikal.

Justifikasi kerajaan kenapa gaji dan elaun anggota polis dinaikkan adalah kerana untuk menarik minat orang menyertai polis dan juga mengurangkan rasuah (mungkin). Namun begitu, pada pendapat aku, kakitangan kerajaan lain pun sepatutnya memiliki keistimewaan yang sama. Bukan anggota polis saja yang terdedah dengan risiko rasuah, itu kamu sendiri tahu. Juga, bukan anggota polis saja yang terdedah dengan risiko jenayah, kakitangan kerajaan lain juga turut terdedah dengan perkara yang sama.

Alasan untuk menarik minat lebih ramai orang menyertai polis juga rasanya agak longgar. Sekarang, orang berebut-rebut untuk menjadi kakitangan kerajaan, apa jawatan pun. Untuk jawatan kerani 100 orang, puluhan ribu yang memohon.

Kemudian bila mereka masuk kerja, perkara permata yang mereka komen, gaji sangat rendah. Maksud aku, kalau setakat kerani bergred 17, di Kuala Lumpur atau Putrajaya, gaji mereka setakat RM1250, belum tolak KWSP (yang wajib untuk tiga tahun pertama bekerja). Kalau sewa rumah mungkin dalam RM150, tinggal lebih kurang RM900. Tolak kos pengangkutan dalam RM300, makan dan minum dalam RM300, maka tinggal RM300 untuk belanja lain-lain. Itu belum masuk bil telefon dan lain-lain perbelanjaan luar jangka (termasuk beli majalah URTV dan Mastika - bahan bacaan standard kakitangan kerajaan).

Akhirnya tinggal untuk simpanan sekadar mungkin sekitar RM50. RM50 sebulan selama setahun baru RM600. Kalau dia hendak berkahwin, terpaksa pula membuat pinjaman di bank. Ramai kakitangan kerajaan yang berhutang. Banyak yang terpaksa dibayar dan ada yang berhutang sehingga gaji bulanan tinggal RM9 sahaja.

Jangan kamu samakan kerja kerajaan dengan swasta. Ada yang akan merungut, kerja swasta gajinya lebih rendah. Kakitangan kerajaan pun bukan ada kerja sangat, bukan? Itu kamu cakap. Kalau kamu jadi kakitangan kerajaan, kamu akan sedar realitinya. Begitulah seperti Asyikin rasakan apabila mula bekerja tempohari. Balik rumah masih terpaksa memikirkan hal kerja di pejabat. Dulu semasa menjadi Pembantu Peribadi di syarikat swasta, balik rumah tanpa perlu fikir apa-apa lagi.

Realitinya, kerja kerajaan bukanlah jaminan kerja yang baik. Kamu bekerja untuk tangga gaji yang sangat nominal. Potensi untuk memperolehi lebih sangat terhad. Ada yang terpaksa bergantung dengan kerja lebih masa setiap bulan. Namun 2010 bukanlah tahun yang baik untuk kakitangan awam. Banyak kerja lebih masa dibatalkan kerana kekurangan sumber kewangan kerajaan. Aku pelik mana pergi semua duit kerajaan. Pengurusan atasan juga nasihatkan anak buah mereka agar berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat perbelanjaan kerajaan.

Tiba-tiba kerajaan umumkan kenaikan gaji anggota polis. Pasti ramai kakitangan awam lain berasa terkilan. Tetapi mereka tiada ruang untuk bersuara. Kalau bersuara, walau di blog sebegini sekalipun, pasti ada orang yang mencemuh, terutama mereka yang bekerja di syarikat swasta. Paling popular, tuduhan malas buat kerja tetapi gaji mahu naik sepanjang masa. Itu sudah jelik untuk didengar.

Aku fikir kerajaan perlu lebih serius untuk mengatasi masalah kewangan kakitangan kerajaan. Tangga gaji sedia ada sekarang amat rendah dan ini sebenarnya begitu mudah menggalakkan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan kakitangan awam. Kita bukan minta naik gaji sebanding dengan pekerja swasta. Tetapi kenaikan yang selaras dengan keadaan ekonomi semasa.

Kalau anggota polis boleh dapat banyak insentif, kakitangan kerajaan lain pun mahu. Kalau kamu suruh jadi anggota polis untuk menikmatinya, aku mahu ulang balik apa yang aku kata mula-mula tadi. Ada yang tidak layak jadi anggota polis, sekadar layak jadi kakitangan kerajaan biasa atas sebab-sebab fizikal. Kalau kamu bertegas, memang kamu jenis tidak faham apa maksud diskriminasi.

Tanya seratus orang kenapa mereka bekerja. Mungkin ada berapa orang saja yang kata mereka bekerja demi rakyat, agama, bangsa, negara dan Tuhan. Majoritinya akan berkata mereka bekerja kerana duit.

Kalau kamu mahu bekerja free, duit gaji kamu bagi aku. Aku mahu beli mountain bike.

1 comment:

Anonymous said...

Salam.. Setuju gaji polis naik tapi jangan fikir kakitangan kerajaan lain guna daun kayu untuk hidup seharian. kakitanggan lain dalam perkhidmatan awam merasakan diri mereka dianak tirikan. kami dilayan tidak sepatutnya.berikan keadilan kepada kami... contohnya penjawatan yang lain, mereka memerlukan sebagai mana staff polis juga

Post a Comment