25.2.10

Hati Ini Berbatas

"Maaf. Bukan santunku terbungkam. Hanya hatiku berbatas..."

Lebih kurang maksud aku kepadanya sekarang. Walau tidak dijelas secara nyata, harap dia faham. Aku perlu lakukan untuk memudar apa jua rasa di hati. Jadi kalau dia terasa seperti tidak dipedulikan, ianya kerana sengaja aku lakukan.

Agar reda segala resah menanti jawapan darinya.
Agar luluh segala harapan yang pernah ada terhadap dirinya.

Bukan berputus asa. Cuma rasa perlu. Perlu dilakukan sekarang agar masa mendatang hidup ini lebih tenang daripada sentiasa mendesak diri untuk menyukai seseorang yang tidak pernah kembali menghargai. Anggapan aku begitu. Dia tidak pernah mahu menghargai. Jadi perlu apa lagi aku bebalkan diri untuk tunggu mengharap?

Lagipun, aku bahagia sekarang. Tenang. Hidup lebih damai dengan orang sekeliling yang sangat memahami dan mengambil berat (kamu tahu siapa kamu). Sekurang-kurangnya itu. Aku tidak perlukan dia meluahkan jiwanya. Sekadar sedikit menghargai, sudah cukup. Tetapi aku tidak pernah terima dari dia perkara itu.

Jadi ketahuilah, aku sudah berhenti daripada menunggu. Aku sudah bangun dan berlalu pergi. Aku mahu mencari daerah lain yang lebih menyenangkan aku. Aku temuinya walaupun bukan dalam keadaan yang ideal. Aku juga tidak perlu apa-apa lagi daripada dia. Cukup apa yang dia pernah berikan (jika ada). Aku tetap simpan semua itu sebagai kenangan. Tetapi sekadar itu, kenangan.

Dia juga tidak perlu mencari aku lagi ketika perlu. Berat rasa hati untuk menunaikannya. Kerana aku tidak mahu terjerumus kembali dalam ruang 'mengharap'. Dia pasti ada orang lain yang lebih sudi dan lebih ikhlas. Pergi saja di sana.

Aku pasti dia sedar perubahan ini. Sehari demi sehari pasti akan membuat dia tertanya-tanya. Itupun kalau dia mahu membiarkan diri untuk mempedulikan aku. Aku mahu dia tahu, apa jua cara untuk dia bermesra selepas ini, hanya sejuk beku yang diterimanya nanti. Bukan tiada simpati. Aku desak diri sendiri untuk berbuat begitu. Desak. Ianya adalah paksaan. Harap dia faham kenyataan itu. Harap dia sedar, kerana tidak pedulinya itu, ada hati yang terluka.

Aku juga mahu agar dia tidak datang memohon kemaafan. Aku sudah lama memaafkannya. Lama sebelum terdetik di hati kalau ada salah darinya.

Baris-baris kata ini ditulis bukan dalam keadaan aku kecewa, berduka atau marah. Aku menulis ini dalam keadaan amat tenang, amat damai dan selesa. Selesa dengan apa yang sedang aku lalui. Tetapi kerana aku dapat rasakan sesuatu yang terdetik di hatinya, maka aku letakkan nota ini di sini. Kalau dia tidak baca, ada kawannya yang ada membaca. Kalau dia tidak tahu, mungkin ada kawannya yang akan memberitahu. Kalau mereka diamkan saja, fahami ini; aku tidak kisah.

Sebesar debu pun harapan yang ada, aku mahu ianya terbang pergi. Terbang jauh melewati pelangi mimpinya. Aku sudah berjalan pergi, jauh.

8 comments:

Cik Eija said...

Kalau dah nekad, teruskan dan jgn berpatah balik. Sebagai kwn, sy ada kalau tiba2 awak memerlukan.

Anonymous said...

tabahlah menghadapi liku2 kehidupan seperti yang awak pernah kata(LIFE IS BEAUTIFUL)

Ahmad Sharidan said...

Terima kasih. Tapi, baca dulu sampai habis. :D Saya sedang amat senang hati.

aku_ayu said...

bunyi kecewa je..

Ahmad Sharidan said...

Aiyo.. Takde la. Takde sebab.

Cik D said...

walaupun pataha hati marilah kita berkasih sayang sebagai manusia =)

AeroL 5ivE said...

rasa mcm pernah alami seperti apa yang saudara alami sekarang ini...mmg kecewa tul bila ada sikap sebegini

nAd!t0zA said...

sadis n tragis...

Post a Comment