14.2.10

Hati Yang Gelap

Hati manusia ini seperti sesuatu yang gelap. Semakin tidak kamu peduli, semakin terpinggir ia. Maka akhirnya ia menjadi takut untuk menghadapi realiti.

Lebih kerap hati dikecewakan, maka lebih gelaplah suasananya.

Kamu tidak mahu ada hati sebegitu. Ianya seperti berada di dalam vorteks; semakin lama ianya semakin menelan kamu lebih dalam. Hingga akhirnya, apa yang menerangi hati kamu adalah semata-mata khayalan. Khalayan masa lalu di waktu ianya bahagia. Kamu sentiasa mahu pergi ke tempat itu. Sentiasa dambakan suasana bahagia dulu.

Dulu.

Sewaktu kamu tidak terasa kompleksnya hidup dengan segala kerunsingan dan racauan. Ketika itu kamu hanya tahu satu perkara; hidup adalah indah. Hingga tiba saat kamu rebah.

Ada yang bangun semula dan kembali berdiri.
Ada yang bangun semula dan kembali merangkak.
Ada yang bangun semula dan kembali duduk.
Ada yang bangun semula dan kembali rebah.

Kemudian rebah lagi. Rebah lagi dan seterusnya hingga kamu tidak tahu bila kali terakhir kamu dapat melihat dunia di sudut yang lebih tinggi. Kerana dalam keadaan rebah itu, ianya menjadi normal, menjadi biasa untuk kamu.

Bermula saat itu, untuk bangun kembali adalah terlalu sukar. Kamu perlu bebalkan diri dan pelajari semula apa yang sudah kamu lupa, dan ianya amat perit untuk kamu terima. Orang lain tunjukkan itu dan ini supaya boleh kamu kembali sekurang-kurangnya berdiri. Kamu tahu ianya sukar. Terlalu sukar kerana kamu tidak faham realitinya bagaimana.

Hanya ada dua pilihan.

Sama ada kamu terus biarkan diri rebah dan menyembah bumi, berhenti berharap. Atau, kamu bangun.

Sedar, tiada apa selepas itu. Sekadar bangun.

Hati manusia ini sesungguhnya adalah suatu tempat yang amat gelap. Bila tiba masanya, kamu menjadi terlalu selesa di situ. Tiada siapa yang nampak kamu berteleku, memohon kudrat untuk kembali berdiri.

Akhirnya kamu terpinggir kerananya.

1 comment:

Cik D said...

biar rebah dan terduduk sekalipun asalkan tidak gelap hati terhadap nikmat Allah =)

Post a Comment