1.2.10

Kamu Keliru, Aku Lebih Lagi

Ada antara kita yang hatinya sentiasa panas atau mudah panas. Baris demi baris dalam perbualan di YM, mengadu mengenai betapa marahnya terhadap orang lain. Bila aku kata,

"Sabarlah, tidak guna marah. Ianya takkan membawa apa-apa faedah."

Jawapan daripadanya begitu mudah.

"Saya sabar. Tapi..." dan seterusnya akan tetap diceritakan kemarahan dan kebencian terhadap orang lain.

Aku pernah berkata kepada sahabat, sabar itu tiada hadnya. Kita sendiri sebenarnya membataskan tahap kesabaran kita. Itu semua permainan psikologi diri kita sendiri. Sejauh mana kita mahu benarkan diri kita diuji.

Sehari dua ini, aku ditanya bagaimana keadaan aku dan ada juga yang memujuk agar aku bersabar dengan apa yang telah berlaku. Jawapan aku mudah. Tidak ada apa yang hendak disedihkan dan tidak ada apa yang hendak dimarahkan. Hidup perlu diteruskan, sama ada kamu suka atau tidak.

Susah sangat hendak percaya, aku tidak berasa apa-apa akibat daripada apa yang telah berlaku tempohari? Kamu perlu tahu, aku sudah bersedia untuk itu semua. 10 minit sebelum itu, aku sudah tahu jawapannya. Aku cuma mahu ia dijelaskan sendiri di telinga aku.

Kemudian ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai semua itu, aku memujuk diri agar bersedih. Atau sekurang-kurangnya berasa kecewa. Aku cuba mendesak diri aku melakukan itu semua. Tetapi tidak ada apa yang berlaku. Aku berhenti rehat di McDonald's, pesan segelas besar Milo ais dan McFlurry Oreo Mudpie, aku duduk di sebuah meja, minum dan menjamah ais krim sambil membaca National Geographic.

Aku pulang ke rumah selepas itu tanpa berasa apa-apa. Tiada apa yang perlu dirasakan.

Mungkin, aku sudah sampai di satu tahap di mana, kecewa dan sedih itu sudah tidak membawa apa-apa makna. Ianya setakat kecewa dan sedih. Itu saja. Sepanjang hari tadi, aku berbangga kerana aku tidak bersuara sepatah kata kepada sesiapa pun, kecuali ketika memesan makanan. Dan aku tidak berasa sunyi.

Itu merisaukan aku. Aku berada di dalam keadaan dimana aku berasa selesa. Apa jua usaha untuk mengubah keadaan itu aku fikir ianya tidak berbaloi dan tidak bermakna. Seperti kamu merenung ke ruang kosong dan kamu nampak cuma ruang kosong, dan kamu berasa okay terhadap itu semua.

Hakikatnya, sebelum kelmarin, aku sudah amat bersedia untuk berubah. Mahu menuju ke suatu arah yang berbeza berbanding dengan apa yang sedang aku lalui sekarang. Tetapi sekarang, setelah semua yang dihajati itu tidak menjadi kenyataan, aku tidak berasa rugi atau berasa apa-apa sekalipun. Pelik. Orang lain juga berkata begitu; pelik. Tetapi itulah realitinya.

Mungkin, ini masih bukan masa aku. Aku tidak tahu bila masa itu akan tiba. Tetapi sekarang, ianya masih belum tiba. Perlukah aku terus mencari? Jauh di sudut hati, aku berkata tidak. Kamu pastinya akan berkata, teruskan mencari. Jauh di sudut hati juga berkata, hidup aku sekarang adalah 'mencukupi'. Menakutkan. Aku tidak mahu berakhir dengan tidak memiliki apa-apa pun. Aku mahu sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk dihargai. Tetapi hati ini berkata, semuanya okay. Kenapa?

Mungkin aku perlu lakukan Bungee Jumping untuk buktikan sesuatu.

2 comments:

NM. Amalina said...

wah.
ianya sangat dasyat untuk menjadi kamu, tahap kamu, keadaan kamu.

dan sy juga mengimpikan tahap itu; cukup selesa.

Ahmad Sharidan said...

Mungkin saya adalah seorang Jedi. Hehehe.

Post a Comment