Seperti juga kamu cuba nilai atau tafsir tunggul kayu di tepian laut ini. Kamu andaikan segalanya; dari mana asal, kenapa di situ dan mengapa akhir hidupnya begitu. Sedang tunggul kalau tidak dilihat kita, ianya mungkin terus reput menjadi khazanah bumi.
Kita sebagai manusia, seringnya hanya menafsir apa yang ada di permukaan watak dan sifat orang lain. Hati dan budinya, kita tidak mungkin tahu sepenuhnya. Jiwa dan perasaannya, kita hanya boleh andaikan, sama seperti kita luahkan cinta, luahkan marah dan luahkan kecewa. Kita andaikan cinta, marah dan kecewa itu sebegitu rupa. Kalau kita tabirkan keadaan itu dengan sedikit senyuman, pasti tiada siapa yang sedar bezanya. Melainkan ianya dikongsi bersama.
Maka si gadis berjalan berseorangan ini kamu mahu tafsirkan bagaimana? Sedang membawa hati yang kecewa? Sedang menyurusi tepian pantai mencari tenang atau sedang mencari jalan pulang?
Kalau kamu lihat wajahnya, kamu tidak nampak sepi dan sedih hidupnya. Kamu akan nampak gembira dan damai hidupnya. Manusia, sebagai makhluk, begitu berjaya mengongkongi naluri orang lain daripada memahaminya. Kita tidak mahu orang tahu kita bersedih. Kerana mungkin kita tidak mahu dibebankan dengan kata-kata nasihat atau pujuk rayu. Kita tidak mahu orang tahu kita kecewa, kerana mungkin kita tidak mahu orang cuba mendendangkan lagu ceria mengajak kita kembali bahagia.
Ada manusia begitu. Menyembunyikan wajah sebenarnya kehidupan. Dia juga begitu, mungkin. Bila bertemu, kami jadi sahabat paling ideal. Bercerita mengenai kehidupan bagai dunia tiada penghujung.
Kamu yang masih menafsir, berhenti. Aku rakamkan suasana di atas dalam keadaan si gadis begitu damai dan bahagia menyusuri tepian laut. Kami berjalan ke arah taman laut kami. Hidup lebih damai jika kita memahami rupa sebenarnya orang yang dihargai.
Ini taman laut kami. Bertepian batu, direndangi pohon dan berlantaikan pasir. Duduk berbicara tentang kehidupan, membuka topeng muka lakonan jiwa. Bercerita waktu bahagia dan sedih. Kamu sedar, sahabat sebegitu sukar dicari merata. Hanya ada seketika. Kamu perlu hargainya, selagi ada.
Fahami semua ini, kamu akan bahagia juga.
3 comments:
terima kasih
puitis.. sampai nak menitis air hidung nie.. huhuhuh
Ceh... :P
Post a Comment