Seperti biasa, Ahad malam Isnin adalah waktu paling sukar untuk aku lelapkan mata. Jam dalam badan masih bercuti. Maka di waktu ini, 1.35 tengah malam, aku masih berjaga dan belum ada tanda-tanda mengantuk. Dalam keadaan begini, internet adalah teman setia. Aku akan baca apa saja yang menarik. Setiap perkara baru yang aku temui, aku akan cari maklumat tambahan di Wikipedia, kalau ada.
Ada beberapa blog yang cuba merungkaikan teori asal usul orang Melayu dan sejarahnya dari perspektif dan sudut pandangan yang berbeza. Ada yang logik dan tidak kurang juga yang tidak masuk akal. Aku sering mahu tahu apa yang berlaku sebelum 1400an, titik popular permulaan sejarah Melayu yang sering ditulis dalam buku sejarah sekolah atau diceritakan dalam banyak medium. Aku faham kenapa begitu sedikit maklumat mengenai sejarah Melayu sebelum itu banyak berunsurkan Hindu dan Buddha serta mungkin paganisme dan itu adalah begitu taboo bagi suasana politik sekarang. Kita tidak boleh sama sekali asosiasikan orang Melayu dengan Hindu atau Buddha, apatah lagi lain-lain agama selain daripada Islam.
Mungkin atas sebab itu juga, usaha kajian sejarah di tapak sejarah seperti Gangga Negara dan Lembah Bujang kurang mendapat perhatian serius kerana ianya berkait dengan agama lain yang pernah dianuti oleh orang Melayu suatu ketika dulu. Tetapi kita tidak kisah bila majlis perkahwinan kita diserikan dengan persandingan, berinai dan lain-lain 'adat' kerana ianya telah ditafsirkan sebagai adat Melayu, bukan adat ajaran agama lain.
Aku fikir, sampai bila pun isu asal usul orang Melayu ini tidak akan habis kerana kerajaan kita lebih berminat untuk menggunakan Melayu sebagai batasan kuasa yang perlu dipatuhi oleh bangsa lain, bukan sebagai bangsa yang pernah gah dengan pelabuhan entrepot dan bahasa linguafranca di seluruh kepulauan Melayu. Kalau orang Melayu dulu boleh menerima dan asimilasi budaya lain ke dalam budaya Melayu, kenapa kita sebagai Melayu sekarang begitu tegas menghalang bangsa lain mempengaruhi kita?
Tidak berjayakah bangsa Melayu dulu? Dalam sejarah kita ditulis bagaimana kerajaan Melayu Melaka menguasai perdagangan sekitar Nusantara. Pedagang seluruh pelusuk dunia datang berdagang di Melaka dan mereka diterima dengan tangan terbuka luas. Jangan kita lupa Bendahara Tun Perak adalah seorang yang berketurunan India. Bagaimana beliau boleh begitu berkuasa di Melaka? Malah pengaruh Cina juga begitu besar dalam sejarah Melaka hingga kita menghantar utusan menemui Maharaja Cina dan Sultan Melaka menghadiahkan orang Cina sebuah bukit di Melaka.
Sejauh yang aku nampak, Melaka semasa zaman kegemilangannya adalah sebuah kerajaan multiracial yang unggul di Nusantara menyebabkan bangsa lain yang datang berdagang begitu selesa untuk melakukannya. Bangsa lain tidak diletakkan sebagai bangsa kelas kedua. Mana pergi semua idealisme itu? Siapa yang merosakkannya?
Melalut. Aku tahu. Itu sebab aku suka membaca dan cuba mengetahui lebih mendalam apa yang berlaku di sekeliling aku. Paling aku mahu tahu adalah apa yang berlaku sepanjang tahun 70an, dekad kelahiran aku.
Kamu tahu kenapa? Aku salahkan kemunduran filem Melayu. Kita lebih banyak tahu mengenai tahun 50an dan 60an kerana adanya filem Melayu yang hebat ketika itu. Namun begitu, bila tiba dekad 70an, suasana seperti zaman gelap. Aku tahu terlalu sedikit mengenai apa yang berlaku sepanjang dekad itu.
Jadi ada dua perkara yang sedang aku kaji; pertama, asal usul Melayu dan kedua, apa yang berlaku sepanjang dekad 70an.
Nasib baik ada internet. Tapi, seperti kata orang, "The more we see, the less we know" - Makin banyak yang kita nampak, makin sedikit yang kita tahu.
No comments:
Post a Comment