1.10.10

Monolog Selepas Penat Berbasikal

Penat berbasikal petang tadi. Aku berkayuh sejauh lebih kurang 23 km dalam masa sejam bersamaan dua pusingan core island di Putrajaya. Kerana lama tidak berbasikal, habis badan terutamanya punggung berasa sakit. Tetapi masih tetap puas hati.

Aku juga sedari bahawa odometer basikal menunjukkan bahawa kayuhan aku sudah hampir mencecah 1000 km! Ada lebih kurang 1 km yang perlu aku selesaikan untuk mencecah angka 1000. Bermula daripada bulan Mac hingga sekarang, berhenti seketika di bulan Ramadhan dan awal raya, aku fikir ianya suatu pencapaian yang hebat bagi aku, secara personal.

Memang, badan masih belum kurus. Perut semakin membuncit dan lemak semakin bertambah. Tetapi kepuasan berbasikal tidak dapat dinafikan. Walaupun tidak kurus, aku rasa lebih sihat. Lebih bertenaga dan lebih mudah untuk terlena di waktu malam. Aku fikir, ianya suatu perkara yang baik, bukan?

Bila dekat dengan alam, hati jadi lebih tenang. Malah hati ini lebih tenang dalam keadaan ribut yang sedang melanda diri. Bukan masalah hubungan dengan Zura kerana ianya sedang berjalan dengan penuh mesra. Masalah kewangan sedikit menjejaskan persediaan aku untuk menghadapi hari mendatang. Aku faham, orang yang sudah lama bekerja seperti aku tidak sepatutnya ada masalah kewangan. Tetapi hakikatnya begitu dan aku kena akui. Aku kena kerja lebih keras untuk mengumpul duit dan aku masih tidak jumpa jalan yang lebih cepat. Kerja editing video bukan sentiasa datang bergolek dan ianya mengambil masa.

Moga dipermudahkan segala urusan hidup ini, inshaAllah.

Aku duduk di dalam McDonald's Equine Park dengan MacBook Pro sambil menjamah bubur ayam dan air. Aku lihat keliling dan cuba fahami suasananya. Manusia masuk ke dalam McDonald's ini untuk makan. Biar berapa ringgit pun yang ada di dalam poket mereka, mereka tetap masuk dan mahu makan. Mereka ketepikan masalah yang ada buat sementara waktu. Perut perlu diisi, bukan? Kiranya, aku, seperti juga mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang beruntung. Ada rezeki untuk terus hidup dengan baik. Tetapi kita sentiasa mengharapkan yang lebih baik.

Aku harap hari-hari yang mendatang hidup ini juga akan menjadi lebih baik dari sekarang. Kalau ianya nanti hendak dilalui bersama dengan orang yang tersayang, aku kena pastikan jalan yang dilalui itu tidak membebankan atau menyusahkan diri masing-masing kelak.

Kita boleh merancang, ketentuan hidup masih sentiasa ditanganNya.

No comments:

Post a Comment