Aku cuba pujuk Zura balik ke Alor Star dengan AirAsia atau Firefly. Aku rasanya ianya lebih selamat daripada menggunakan bas ekspres. Lagipun, tiket AirAsia cuma RM85 sehala dan Firefly pula cuma RM75 sehala. Lebih RM30 daripada menaiki bas tetapi tiba dalam masa cuma sejam.
Dia tidak mahu. Aku faham kenapa. Fear of Flying. Aku dulu pernah alami perkara yang sama ketika mula-mula menaiki kapal terbang. Risau dengan apa yang akan berlaku kerana kita tidak berpijak di bumi yang nyata. Kita terbang di angkasa dan secara literal, sangat tinggi di angkasa. Kalau orang yang takutkan ketinggian, itu satu masalah besar.
Boleh saja aku beli dua tiket dan terbang bersamanya, kemudian patah balik seorang diri. Maksud aku, penerbangan adalah alternatif yang lebih mudah. Lebih menjimatkan (walaupun tidak jimat wang ringgit) dalam banyak perkara. Lebih selamat, itu pasti. Aku fikir, syarikat penerbangan di Malaysia perlu lebih agresif untuk memasarkan perniagaan mereka. Mereka perlu menawarkan lebih banyak penerbangan dengan harga yang lebih murah. Mobiliti pantas adalah penyelesaian kepada banyak masalah.
Setakat yang aku lihat di laman web AirAsia dan Firefly, mereka cuma menyediakan dua penerbangan sehari ke Alor Star. Bagi aku itu masih belum mencukupi. Perlu ada sekurang-kurangnya empat penerbangan sehari dengan kos harga yang lebih murah. Kerajaan perlu beli lebih banyak insentif kepada syarikat penerbangan tambang murah. Jangan asyik fikir sentimen menjaga anak emas mereka, MAS. Keterbukaan adalah penting untuk menjana ekonomi yang lebih baik.
Beberapa tahun dulu, jarang dengar orang di pejabat pergi melancong (lebih berupa membeli belah) di Bandung, Indonesia. Tetapi dalam masa setahun ini saja, berpuluh, mungkin beratus staf di pejabat yang terbang ke Bandung, Indonesia untuk melancong. Kita tidak boleh bayangkan perkara yang sama 10 tahun lalu. Mobiliti adalah penting dan sama penting juga bila ianya ditagkan dengan kos yang berpatutan. Semua orang akan menggunakannya.
Aku akan terus pujuk Zura. Kalau dia mahu. Aku tidak boleh paksa kalau dia tidak suka. :-)
No comments:
Post a Comment