Sambungan mengenai pandangan aku terhadap Keselamatan Jalanraya. Rujuk post aku sebelum ini DISINI.
Untuk sebuah negara yang kecil seperti Malaysia, jumlah kenderaan di jalanraya adalah terlalu tinggi menyebabkan peratus kemungkinan kemalangan juga tinggi. Tambahan pula, sistem pengangkutan awam kita yang masih berintensifkan penggunaan bas menyebabkan kita memerlukan banyak bas untuk mengangkut pengguna ke sana sini. Hanya baru sekarang kita sibuk membina rangkaian sistem keretapi laju (separa laju sebenarnya) antara bandar-bandar utama di pantai barat. Aku rasa ianya sudah 20 tahun terlewat.
Kita terlalu menumpukan kepada kereta atau kenderaan di jalanraya kerana faktor "kenderaan nasional" iaitu Proton dan Perodua serta mungkin lori Hicom dan motosikal Modenas. Maka jalanraya lebih dititikberatkan kerana ianya berkait rapat dengan skel ekonomi industri kenderaan di Malaysia. Pengangkutan awam lain seperti keretapi dan pengangkutan udara kurang diberi tumpuan sebelum ini kerana ianya tidak membawa pulangan ekonomi yang lebih luas. Itu prasangka sesetengah orang.
Kita tidak perlu lihat jauh. Melalui dasar pandang ke timur kita suatu masa dulu, kita melihat Jepun sebagai contoh. Kita meniru Jepun dalam memajukan ekonomi negara tetapi satu perkara penting yang kita gagal tiru adalah sistem pengangkutan mereka yang cekap dan efisien. Paling penting, ianya jauh lebih selamat daripada menggunakan kenderaan di jalanraya.
Risiko kenderaan di jalanraya adalah manusia sendiri. Faktor manusia sebenarnya penyebab majoriti kemalangan di jalanraya. Manusia diberi 'kuasa' untuk mengawal pergerakan kenderaan dan kita tahu tahap 'sedar' dan 'tumpuan' manusia berbeza-beza. Sebab itu CEO Google pernah berkata bahawa membenarkan manusia mengendalikan kenderaan di jalanraya adalah perkara yang tidak bagus pernah dilakukan. Malah Google dalam usahanya 'membebaskan' kenderaan daripada kawalan manusia telah menjalankan projek Google Streetview di mana mereka menggunakan kereta yang dipandu secara autonomos, tanpa interaksi dengan manusia. Aku setuju dengan usaha ini. Salah satu cara mengurangkan kemalangan di jalanraya adalah dengan 'membebaskan' kenderaan daripada kawalan manusia. Kenderaan di jalanraya pada masa akan datang sepatutnya bersifat autonomos dan manusia akan dibawa dari satu destinasi ke destinasi lain tanpa perlu manusia melakukannya sendiri.
Itu usaha di masa akan datang. Bagaimana usaha dalam masa terdekat?
Ada dua perkara yang kita boleh lakukan tetapi kos masih tetap tinggi.
Pertama, perluaskan pengangkutan awam melalui rel atau keretapi. Kita sudah lihat 'track record' pengangkutan rel di serata dunia bahawa ianya jauh lebih efisien dan selamat berbanding kenderaan di jalanraya. Malah, keretapi boleh membawa lebih ramai orang dalam satu masa dengan kos yang lebih jimat dan mesra alam sekitar. Kerajaan perlu memberi penekanan kepada pengangkutan rel dengan membina secara besar-besaran sistem rel ke seluruh negara, termasuk di pantai timur dan Borneo. Ransangan ekonomi yang dibawa oleh sistem rel ini adalah meluas dan lebih menguntungkan. Kesesakan yang berlaku di Lembah Klang juga dapat dikurangkan dengan meluaskan lokasi 'perumahan' melalui pengangkutan rel yang efisien.
Ini sepatutnya dimasukkan sebagai projek utama dalam membawa Malaysia menuju ke arah negara maju. Infrastruktur pengangkutan yang cekap dan efisien adalah amat penting dalam meransang perkembangan ekonomi.
Kedua, perluaskan pengangkutan udara. Penyedia pengangkutan udara tambang murah seperti AirAsia dan FireFly sepatutnya diberikan lebih kebebasan untuk memperluaskan perkhidmatan mereka di seluruh Malaysia. Kita sedia maklum bahawa pengangkutan udara adalah antara sistem pengangkutan paling selamat berbanding sistem lain.
Syarikat penerbangan perlu diberi insentif yang lebih baik bagi menjamin mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih murah dan menyeluruh kepada seluruh rakyat. Kadar cukai di lapangan terbang perlu diturunkan ke paras paling minima. Aku tidak fikir pengendali lapangan terbang akan rugi kerananya. Kadar cukai lapangan terbang yang lebih rendah boleh diterjemahkan kepada kadar harga tiket penerbangan yang lebih rendah menyebabkan lebih ramai orang menggunakan mod pengangkutan udara untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Kutipan cukai per orang yang dikenakan juga akan meningkat melaluinya. Aku fikir MAS boleh bergerak sebagai syarikat penerbangan destinasi antarabangsa dan membiarkan AirAsia dan FireFly bersaing merebut pasaran tempatan.
Kedua-dua mod pengangkutan ini, sistem rel dan pengangkutan udara adalah alternatif yang boleh membantu mengurangkan kenderaan di jalanraya. Kalau ianya diberi penekanan yang serius, inshaAllah sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan kemalangan di jalanraya dan seterusnya mampu menjana ekonomi yang lebih baik di Malaysia. Kos untuk memulakan mungkin amat tinggi tetapi pulangan jangka panjang juga pasti tinggi.
Cuma ingat, kalau di Jepun, takrif 'lewat' itu adalah bila pengangkutan awam tiba lebih 59 saat daripada jadual sebenar. Kita janganlah pula takrifkan lewat itu adalah lebih 59 minit daripada jadual sebenar. Itu menyebabkan orang tidak tahan sabar dan memecut laju untuk tiba ke destinasi. Itu faktor-faktor yang boleh menyebabkan berlakukanya kemalangan.
Aku bukan mahir sangat dengan pengangkutan awam. Mungkin pandangan aku ini salah. Mungkin juga ada konsep yang lebih baik. Kalau ada, sila kongsi bersama.
No comments:
Post a Comment