Ada kerja penting yang perlu aku siapkan menjelang petang ini. Tetapi aku masih belum mulakan lagi. Sumber idea dan kreativiti sedikit buntu. Aku yakin aku boleh siapkan dalam masa yang sekejap saja. Namun begitu, dek kerana mood untuk menghasilkannya masih belum tiba, aku menulis di sini dulu.
Semalam di studio aku nampak jalan yang luas untuk aku maju setapak lagi dalam kerjaya sambilan aku. Banyak ruang yang boleh aku teroka untuk mencari pendapatan dengan syarat aku rajin dan penuh kreatif. Ada sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan. Aktiviti santai perlu dikurangkan (sekarang pun sudah semakin kurang).
Masa terdekat ini akan jadi amat sibuk. Jadi, mungkin akan kurang aku menulis di sini buat sementara waktu.
Jujurnya, kadang-kadang aku rasa sedikit kecewa dengan diri sendiri. Perkara yang telah berlaku dulu adalah kesilapan aku sendiri. Hidup tidak dirancang dan tidak diatur dengan baik dan bila tiba dalam keadaan begini, aku hanya mampu terduduk dan menggeleng kepala. Rugi sebenarnya hidup dirasakan selama ini.
Namun begitu, apa guna menyesal. Hidup perlu diteruskan dan perlu dilalui dengan lebih tabah. Perlu lebih bijak menilai mana yang baik, mana yang buruk kerana selepas ini hidup aku bukan hanya sendirian (seperti yang aku "banggakan" selama ini). Untuk itu, aku perlu berusaha lebih gigih agar kemudian nanti tidak menyusahkan sesiapa saja.
Syukur juga ada kerjaya yang bagus. Aku perlu beritahu kamu bahawa aku sudah dinaikkan pangkat di pejabat. Walaupun buat masa ini aku masih memangku jawatan tersebut, harapnya dalam masa terdekat aku dapat disahkan ke jawatan tetap. Syukur kepada Tuhan. Rasanya emak dan ayah di kampung pasti berasa sedikit bangga. Hadiah buat mereka setelah lama mereka membebel mengenai 'kesilapan' aku di masa lalu.
Aku juga akan bertunang tidak lama lagi, InshaAllah. Harapnya ia berlangsung dengan baik. Aku tersenyum mengenangkan waktu-waktu di mana aku sering luahkan rasa sunyi di sini dan kamu membacanya. Ianya sudah empat bulan pudar, rasa sunyi itu. Sekarang aku di saat paling gembira bersama Zura.
Apa lagi ya? Harapnya masa-masa mendatang, hidup ini sentiasa direstui olehNya dan dipermudahkan segala urusan. Cerita gembira ini aku kongsikan bersama kamu agar kamu juga turut gembira. Biar walau sedetik dalam hidup kita ini bahagia itu dirasai dan dinikmati.
1 comment:
Tahniah dan tumpang gembira :) Semoga perjalanan hidup diberkati dan dipermudahkan olehNya.
Post a Comment