Aku rasa sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan "Speed Limiter" dan mewajibkan semua kenderaan termasuk kenderaan peribadi memasangnya. Kemalangan besar yang berlaku berhampiran Tol Simpang Ampat, Rembau tempohari membayangkan bagaimana bas ekspres dipandu laju dan gagal dikawal menyebabkan ianya terbabas dan merempuh kenderaan lain.
'Speed Limiter' elektronik ini wajib dipasang pada semua kenderaan dan ianya akan menghadkan kelajuan kenderaan secara automatik. Kalau ianya telah lama dilaksanakan di negara seperti Jepun dan negara-negara eropah, kita sepatutnya mewajibkan juga. Tiada alasan mengenai kos pelaksanaan yang tinggi kerana nyawa manusia itu jauh lebih tinggi nilainya.
Juga, kalau sebuah syarikat pengangkutan mampu membeli bas atau lori yang berharga ratusan ribu, kenapa mereka tidak boleh pasang 'speed limiter' yang berharga beberapa ribu saja (mungkin). Atau kerajaan boleh wajibkan semua kenderaan yang hendak dipasarkan di Malaysia ada 'speed limiter' yang sudah siap terbina.
Kalau setakat letak sticker had laju di belakang kenderaan, ianya tidak membawa apa-apa makna. Setiap hari aku lihat lori dan bas memecut laju di jalanraya. Tambahan pula sekarang enjin kenderaan tersebut semakin berkuasa, siap dengan kuasa turbo dan sistem suspensi angin yang unggul, pemandu semakin selesa untuk memecut tanpa berfikir panjang.
Aku juga cadangkan bahawa semua kenderaan peribadi, termasuk motosikal, dipasang 'speed limiter' untuk mengelakkan mereka berlumba di jalanraya. Malah, ada baiknya kita hadkan kelajuan kenderaan pada 110km/j selagi rakyat kita berdegil dengan had laju. Mungkin ianya terlalu perlahan tetapi ianya lebih munasabah memandangkan mentaliti kita yang masih seperti kebudak-budakan bila pegang stering atau handle kenderaan. Negara lain mungkin letak 'speed limiter' pada 180km/j - 250km/j tetapi ianya tidak sesuai di Malaysia. Kalau had limit diletakkan pada 300km/j pun, rakyat Malaysia akan cuba pecut lebih laju daripadanya.
Perlu juga ingat, langkah memasang 'speed limiter' ini adalah langkah sementara atau 'retention' sehingga rakyat kita betul-betul terlatih dan boleh mematuhi peraturan jalanraya dengan lebih baik. Kita juga perlu kaji sistem kelas memandu dan mungkin, keselamatan jalanraya boleh dijadikan subjek dalam pendidikan di sekolah.
Aku ucapkan takziah kepada mangsa kemalangan jalanraya dan semoga kita sentiasa dipeliharaNya.
Ada bahagian kedua nanti.
No comments:
Post a Comment