Selepas mandi pagi tadi dan siap berpakaian ringkas, berbekalkan RM10, aku keluar rumah dan menuju ke pagar apartmen. Aku mahu beli sarapan pagi dari gerai makcik yang selalu berniaga di situ. Nasi lemak, sambal kerang, telur, ikan bilis dan kacang. Bila tiba di tepi pagar, aku dapati dia tidak berniaga hari ini.
Lalu aku berjalan jauh sikit ke kedai berhampiran. Mulanya ke kedai runcit, kononnya hendak membeli roti dan sapuan mentega. Sampai di kedai runcit, hati mula berbicara,
"Aku hendak makan roti ke pagi-pagi ni?"
Lalu aku batalkan hasrat dan berjalan lagi ke kedai mamak berhampiran. Kalau ada roti sardin atau roti telur, sedap juga. Hujan gerimis yang sedang turun pasti menambah selera makan. Tiba di kedai mamak, orang begitu ramai. Ah, malas hendak menunggu. Lalu aku jalan lebih jauh ke hadapan, menuju ke kedai makan orang melayu yang aku duga membuka kedainya untuk makanan siang hari. Seperti biasa, tutup.
Aku nampak bangunan kompleks membeli belah Jusco di hadapan. Ketika itu aku sudah di pertengahan jalan; belakang rumah aku kira-kira 300 meter dan hadapan adalah Jusco, juga lebih kurang 300 meter. RM10 di dalam poket, cukup-cukup. Apa yang aku boleh aku dapat dengan RM10 di Jusco, sebagai sarapan pagi aku?
Aku meneruskan perjalanan dalam hujan gerimis menuju ke Jusco. Akhirnya aku pulang membawa makanan dengan duit berbaki 25 sen. Apa yang aku beli?
Tiga keping (betul ke penjodoh bilangan ini?) roti; Foot Long (RM1.60), Tuna Bun (RM1.60) with Cheese dan Danish Cheese Stick (RM2.80). RM6.00 untuk roti yang baru dibakar. Ada baki RM4.00. Aku masuk ke pasaraya Jusco dan membeli ini;
Jus buah manggis Peel Fresh bersaiz 250ml. Tanpa gula tambahan. RM1.95. Dan,
Twisties berperisa tomato berharga RM1.80. Aku beli kerana aku hendak makan. Pedulikan diet.
Semua sekali, RM9.75.
Memang mahal hidup di kota ini, ya? Dengan harga begitu, ianya cukup untuk makan seorang. Zura, jom pindah balik kampung. :-)
No comments:
Post a Comment