30.11.08

Bengkel Lagi

Bukan bengkel kereta, tetapi bengkel penulisan dokumen. Aku bertindak sebagai urus setia dan juru taip (kerja-kerja teknikal) sementara bos-bos memerah otak membina ayat. Ada lebih 30 buah buku yang perlu disiapkan menjelang Februari; kami baru siap 14. Itu pun belum dibukukan atau direalisasikan sebagai buku. Nasib baik tugas aku tidak melibatkan proses reka letak dan reka cipta. Kalau tidak, boleh kering aku...

Sekarang aku di Hotel Empress, Bandar Baru Salak Tinggi. Hotel ini sebenarnya lebih bersifat hotel transit kepada penumpang-penumpang kapal terbang yang terpaksa bermalam sebelum meneruskan penerbangan. Jadi hotel ini sentiasa sibuk dengan orang terutamanya pelancong asing. Malah, kebanyakan transaksi dibuat dalam bentuk Dollar Amerika. Lebih mudah mungkin.

Namun, akibat keadaannya bersifat hotel transit, maka layanan terhadap pengunjung yang berkursus atau berseminar agak kurang mesra. Rasanya mereka fikir melayan pengunjung transit lebih lumayan dari melayan segerombolan kecil peserta bengkel. Cuma apa yang mereka tidak tahu, aku dan bos juga sedang membuat penilaian mengenai mutu perkhidmatan hotel ini. Kerana mungkin di bulan Disember nanti akan ada mesyuarat besar jabatan yang melibat lebih 250 orang peserta. Kalau hotel ini bagus, boleh sewa untuk ditempatkan 250 orang peserta.

Tetapi, nyata sekali mutu perkhidmatan hotel ini tidak sebagus mana. Malah, frontdesk agak sombong dan lebih suka melayan pelancong asing atau pengunjung transit. Cuma, makannya agak sedap dan banyak pilihan. Sentiasa ada steamboat walaupun aku tidak suka. Ianya lebih baik dari kebanyakkan hotel di Kajang dan Bangi.

Bilik hotel juga agak sederhana. Aneh juga, kita tidak boleh kawal suhu penghawa dingin. Nasib aku jenis tahan sejuk dan suka sejuk. Bilik mandi biasa saja. Ada seketul sabun mandi, itu saja. Tuala yang nipis. Aku fikir ini hotel 3 bintang tapi melihat dari segi kemudahan yang disediakan, 2 bintang saja layaknya. Paling aku tidak puas hati, tiada perkhidmatan WiFi percuma. Berbayar ada tapi kos amat-amat mahal. Sejam RM10! Apa, ingat ini tahun 2000 ke?

Entah apa kes aku bercerita pasal hotel pula ye. Mungkin kerana sepanjang bulan ini aku keluar masuk hotel saja. Kalau tak salah aku, lebih 5 buah hotel semuanya.

Aku pun sudah kepenatan kesana kemari. Bilik di rumah bersepah dengan barang yang aku bawa balik. Belum sempat untuk aku kemas. InsyaAllah dalam bulan Disember ini, perjalanan aku agak perlahan. Tapi itupun sudah terancang dari 22hb hingga ke 25hb aku akan ke Langkawi; bengkel lagi. itu belum masuk kemungkinan ada mesyuarat besar yang aku sebutkan tadi dan juga kursus team building.

Untung berjalan, tapi letih sebenarnya.

29.11.08

Kering Otak

Kamu fikir, bila aku buka mulut hendak ajak orang berbicara mengenai, contohnya:

1. Super-Collider; atau
2. Paleontologi; atau
3. Hibrid; atau
4. King Bluetooth (cari sendiri),


mereka mahu dengar?

Mereka lebih rela bergossip mengenai artis terkini atau apa yang berlaku kepada sipolan-sipolan dalam pejabat.

Cuba beritahu sekarang, kenapa aku asyik berseorangan?

Menilai Hidup Ini - Babak 10

Mesej semalam;
"Kalau awak senyum walau cuma sedikit. saya akan hadiahkan patung beruang untuk redakan hiba awak." 

Awal pagi tadi;
Senyum yang amat sangat.

Tengahari tadi;
Aku carikan patung beruang paling sesuai. Nyaris aku sendiri terbeli seekor Totoro.

Aku tulis di kad;
"Tak mampu hendak hadiahkan ********. Tak tahu hendak cari di mana. Hanya mampu patung beruang ini. Senyum."

Petang tadi;
"Abang susah-susah saja bagi. Terasa macam budak-budak pula." Sambil tersenyum amat sangat.
"Alah, itu saja yang mampu. Kurang-kurang boleh senang hati sikit."
"Terima kasih ye. Buat susah saja."
"Sama-sama. Bukan selalu..."

Betul ke cerita ni? Atau dari novel?

28.11.08

Menilai Hidup Ini - Babak 9

"Harini awak jaga sistem ke?"
"Core business saja."
"Hmm..."

Sibuk dengar taklimat dan soal jawab. Aku terpandang tag nama dia.

"Beza ye muka awak sekarang dengan yang di tag."

Dia perhatikan tag.

"Ini gambar yang sudah edit."

Ada MyKad di belakang.

"Gambar MyKad lagi menarik."

Dia tarik keluar MyKad dari sarung.

"Ini gambar lama. Masa masuk dulu."
"Cantik. Nampak matured dari sekarang."
"Habis tu, sekarang saya tak matured la ye?"
"Sekarang cantik... Lebih cantik yang real ni dari yang dalam gambar."

Senyum.

Oh, memang aku sukakan dia sejak dulu lagi. Suka dalam erti kata apa, aku malas hendak fikir. Tapi kalau ada dia di hadapan mata, masam mukanya pun, aku tetap senang melihatnya.

"Tapi awak nampak macam mengantuk je? Penat?"
"Ini?" Sambil menunjuk lebam di bawah kelopak mata. Aku sebenarnya tidak perasan. Aku lihat keseluruhan wajahnya saja.
"Memang biasa macam ni. Tak mengantuk."
"Ingatkan penat tadi."

Kembali sibuk mendengar taklimat dan soal jawab.

Siapa? Seorang yang aku suka lihat wajahnya. Itu saja.

27.11.08

Inikah Snapshot Novel Aku?

Dalam mimpi itu aku berdiri di puncak bukit, tepian lembah landai penuh rumput hijau.

Aku meninjau jauh di bawah lembah, sebuah sungai mengalir jernih, sepohon pokok rendang di tepian sungai. Aku tersenyum.

Lalu aku depakan sedikit kedua-dua tangan ini.

Aku pejamkan mata ini dan aku dongakkan sedikit kepala keatas dan membiarkannya bermandi cahaya matahari.

Aku menjadi ringan. Aku terapung sekaki dari tanah.

Angin menghembus lembut dari belakang dan membawa aku bersama turun ke lembah.

Aku menjadi sehelai daun yang sedang terbang bersama angin.

Sekali sekala, hujung jari kaki ini tersentuh rumput-rumput hijau.

Damai.

Dalam pejam, aku melihat alam yang tenang.

Sehingga tiba di tepian sungai.

Terbang aku terhenti.

Perlahan, aku kembali berpijak ke bumi.

Damai.

Bersambung...

Menilai Hidup Ini - Babak 8

"Bila lagi ni?"
"Bila apa?"
"Awak nak bagi kad kepada saya."
"Kad apa?"
"Kad undangan la..."

Kami tersenyum sinis.

Ketawa.

"Apa lah. Calon pun takde lagi."
"Takkan la kot?"
"Abang carikanlah untuk saya."

Ketawa.

"Carikan?"
"Ye lah. Carikanlah untuk saya."
"Dari saya cari, baik saya offer diri saya je!"
"Hah?"

Ketawa lebih kuat.

"Abang tu takkan la single lagi?"
"Memanglah single, and available."

Senyum.

"Yelah kan. Single lagi sebab ada ruang untuk 3 lagi."
"Ye, tapi sekarang ni masih kosong dari empat."
"Abang yang jual mahal kot?"
"Jual mahal? Sudah habis murah ni. Sudah takde harga."

Ketawa kembali.

Kadang-kadang bertemu rakan-rakan lama, perkara begitu mesti timbul. Susah benar hendak mereka percaya aku sebenarnya masih single. Pelik sangat ke? Mungkin sebab uban berserabut di kepala menyebabkan mereka fikir aku sudah berkahwin dan anak berderet di belakang.

Aku tak ambil hati. Biasalah dalam keadaan begini, kena faham dan sedar. Selagi mereka bertanya, selagi itu kita tahu mereka ambil berat terhadap kita.

Itu yang penting.

26.11.08

Menilai Hidup Ini - Babak 7

SMS
"Masih di pejabat? Saya di Alamanda."
"Hampir mahu balik. Sibuk siapkan kerja baru. Masih belum siap."
"Kata siang tadi sudah siap?"
"Ini kerja baru."

Aku memandu pulang. Senja mendung menanti hujan. Sebelah seorang sahabat sedang sarat mengandung. Aku di benak otak bermain seribu persoalan. Paling utama, mencari arah tujuan aku malam ini. Aku tidak mahu terperap di rumah.

SMS
"Esok sudah tidak nampak. Saya sudah balik. "
"Maaf siang tadi. Kerja kembali banyak. Tak sempat bersua."
"Sudah tahu mesti sibuk. Tak ada la ruang untuk saya ye..."

Aku tidak balas apa-apa selepas itu. Salah aku juga.

Kamu fikir aku sengaja melakukannya? Sebulan ini, cuma tidak lebih seminggu aku di rumah. Beberapa hari saja di pejabat. Selebihnya kesana kemari, termasuk esok nanti dan di penghujung bulan.

Alasan...

Ya, alasan.

Kamu ada perasaan. Kamu sedar ianya ada di hati. Namun satu, kamu sedari juga bahawa kamu tidak pasti samada kamu yakin dengan perasaan itu. Atau dua, kamu terlihat seorang yang lebih senang di mata dan di hati. Walau cuma untuk seketika, sudah cukup. Selepas itu kamu keliru.

Aku begitu beberapa hari ini. Sehingga tadi.

Aku sedar bahawa aku sendiri tidak mahukan semua itu. Aku sengaja mencari alasan dan atas dasar apa, aku tidak tahu.

Kemudian menjelang lewat malam sebegini, sedang aku hampir nyenyak tidur, segalanya terbayang kembali. Sampai bila?



Menilai Hidup Ini - Babak 6

"Kenapa dia?"
"Entah. Saya tak tahu kenapa."
"Mungkin kerana dia merupakan cabaran buat awak. Mungkin kerana awak mahu menakluki dirinya. Jauh di hati, awak mahu mengubah dia menjadi lebih baik."
"Adakah begitu sebenarnya?"
"Saya tidak tahu. Saya cuma mengandaikannya."

Lama dia berfikir. Renungan matanya begitu jauh melintasi ruang.

"Ada benarnya apa yang awak cakap tu."
"Saya rasa saya boleh ubah sikap dan perangai dia..." sambung dia lagi.

Aku renung matanya. Jelas berat sekali apa yang ada di hadapannya. Namun, mengenali dia, aku tahu dia tetap mahu melakukannya.

"Manusia sebenarnya begitu."
"Bagaimana?"
"Manusia sering ingin cuba menawan sesuatu yang paling sukar dalam hidupnya."
"Betul?"
"Selama ini saya selalu lihat, perempuan akan sering tertarik dengan lelaki yang penuh kisah hitam dan noda. Kerana dalam hati mereka, mereka fikir mereka boleh ubah sikap lelaki tersebut."
"Erm..."
"Tinggallah lelaki yang sering perempuan anggap baik keseorangan dan sentiasa mengharap. Mereka ini sebenarnya yang selalu ada di hadapan awak. Sanggup lakukan apa saja untuk awak. Tetapi akhirnya kita cuma nampak baiknya... Kasih dia tidak kesampaian."

Kami terdiam dalam suasana hingar bingar kafe.

"Saya ni perempuan, awak. Takkan saya hendak cari timba. Saya ada sifat malu."
"Kalau orang tu mahukan saya, sepatutnya dia beritahu." Tambah dia lagi.

Orang itu tiada kudrat hendak melakukannya, fikir aku.

"Akhirnya orang seperti yang awak sebut tadi saja yang sering berterus terang kepada saya."
"Ya, mereka sering berani melakukannya."

Hidup ini, sering aku alami begitu.

Sering dikatakan terlalu baik. Teramat baik. Sedang aku tidak bermaksud sedemikian. Aku bukanlah baik sebegitu. Aku banyak cacat dan celanya. Tetapi mungkin sering terselindung dengan tingkah perbuatan aku. Aku tidak tahu.

Aku tidak mahu persoalkan kenapa perempuan sering tertarik dengan lelaki ekstrem. Namun kalau melihat sifat haiwan, begitu jua keadaannya. Bukan menyamakan manusia dan haiwan, cuma sering terdapat persamaan, secara kita tidak sedari. Mungkin lelaki sebegitu sebenarnya adalah Alpha Male yang dominan. Aku cuma pengikut atau mungkin, cast away.

"Terima kasih, awak. Awak buka mata saya untuk melihat dengan lebih jelas."
"Saya cuma bantu setakat mampu."
"Saya yakin saya akan dapat mengubah cara dan gaya hidupnya..."
"Iya lah..."

Begitu sering akhirnya.

25.11.08

Aku Di Kuala Terengganu - Penutup

Tiba di KLIA dari Kuala Terengganu pagi tadi. Terus ke pejabat, menghantar projektor. Pejabat sudah berubah. Pekerja sedang sibuk menyiapkan bilik-bilik baru untuk pengarah dan pegawai. Biasalah. Itu lebih penting dari menyediakan sebuah kubikel kecil untuk seorang kerani baru yang sudah tiba sejak 2 minggu lalu.

Satu perkara apabila kamu kerja kerajaan, kamu kena sedar dan faham bahawa wujudnya sistem kasta. Itu pun kalau kamu mahu melihat ianya begitu. Aku sebenarnya tidak faham kenapa sesebuah organisasi perlu ditadbir oleh pegawai yang berlainan gred daripada anggota bawahannya. Tidakkah ini menimbulkan suasana berat sebelah.

Orang di pejabat mungkin tidak nampak tetapi aku sedarinya sejak beberapa ketika. Ada masanya gred pegawai ini cuba meletakkan autoriti mereka terhadap kakitangan bawahan dengan menunjukkan mereka yang berkuasa. Sudah sememangnya begitu. Mereka di gred pegawai ini sering melihat diri mereka amat berkuasa dan apabila kajian atau analisa (kononnya mereka lakukan) mengenai prestasi organisasi dijalankan, sering kita lihat salah satu punca kelemahan adalah kakitangan (yang selalu khususnya merujuk kepada kakitangan bawahan) tidak pandai bekerja, tidak rajin, bermasalah dan segala yang negatif. Jarang sekali mereka menyalahkan diri sendiri.

Malah sebenarnya tidak ada istilah "pegawai dan kakitangan". Sebaliknya sering dikumpulkan "pegawai" dalam satu kategori dan "kakitangan" dalam kategori yang lain.

Sering juga aku sedari bahawa pegawai ini merasakan diri mereka seperti dewa yang perlu sentiasa dihormati oleh orang bawahan mereka. Ironinya, kalau tidak kerana orang bawahan, mereka takkan kemana.

Aku beri contoh mudah; kalau seorang pegawai pergi bermesyuarat di hotel dan ada penginapan di hotel tersebut, mereka akan dapat sebuah bilik seorang. Ada kalanya mereka akan bawa anak beranak mereka bersama. Itu tiada sesiapa pun yang akan persoalkan (kamu berani ke?).  Namun kalau kakitangan bawahan yang melakukan perkara yang sama, kamu boleh lihat pegawai menjadi seperti singa menerkam.

Anggota kerajaan sentiasa diingatkan agar menjadi pekerja yang berdedikasi dan berintegriti. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah itu semua dimaksudkan kepada kakitangan bawahan semata-mata. Sedang pegawai kita lihat penuh denga ego dan berasakan diri mereka amat hebat hingga tidak boleh dipersoalkan oleh orang bawahan. Mereka boleh mengugut orang bawahan dengan pelbagai tindakan dengan niat menimbulkan rasa takut dan hormat.

Serius, aku fikir dasar sebegini amat buruk dan penuh cacat cela. Aku sering bayangkan utopia dimana tiada lagi istilah pegawai dan kakitangan. Cuma ada golongan karyawan yang melakukan kerja dengan penuh jujur dan berintegriti. Mereka dibayar kerana kemampuan dan keupayaan mereka, bukan pangkat dan darjat mereka. Mereka dibayar setimpal dengan kehebatan mereka melakukan kerja. Itu yang sepatutnya. Itu yang wajar berlaku.

Sudah sampai masa kita sedar, kita bekerja dalam satu organisasi yang sama dan menggerakkan organisasi tersebut. Tidak perlu lagi ada istilah pegawai dan kakitangan. Sebaliknya hanya perlu wujud "rakan sekerja". Mereka dianggap setaraf dalam semua segi dan dinilai berdasarkan kemampuan mereka. Bukan lagi kerana mereka ada segulung ijazah dan berjaya mendapat jawatan tinggi.

Memanglah hidup ini begitu, yang berjaya akan mendapat lebih. Tapi, kalau mereka ini sekadar menggunakan segulung ijazah mereka untuk mendapat jawatan pegawai kemudian tidak tahu langsung menjalankan tugas mereka, apa gunanya?

Melalui pengalaman berada dalam mesyuarat bersama ramai pengarah dan pegawai ini, aku sedar, tidak semua mereka itu hebat. Cuma nasib di awal dulu mereka berjaya dalam pendidikan sehingga mereka dapat merebut jawatan yang mereka sandang sekarang. Untunglah mereka kerana berjaya dalam pendidikan. Ada juga manusia yang sering gagal dalam pendidikan tetapi berjaya. Cuma, peluang itu jarang kita nampak di Malaysia ini yang masih pentingkan segulung ijazah sebagai bukti kehebatan manusia.

23.11.08

Aku Di Kuala Terengganu - 2

Dua saja post? Terlalu padat jadual mesyuarat hingga setiap malam habis lewat malam. Aku terlalu penat kemudiannya hendak berjalan 100 meter ke Kafe Cyber Orange (itulah namanya). Malam ini saja aktiviti bebas. Esok kembali di Putrajaya. Kalau malam di Kuala Terengganu menarik seperti Kuala Lumpur, okay juga. Tapi ini Kuala Terengganu, yang meriah, cuma untuk kaki pancing. Aku bukan seorang darinya.

Sepanjang hujung minggu aku disajikan dengan persembahan dari setiap Bos Besar Bahagian/Negeri dan Bos Besar Jabatan. Mereka menyediakan pelan perancangan strategik jabatan untuk tahun hadapan. Berapa banyak jabatan kamu melakukan perkara yang sama? Aku pasti tidak banyak. Kalau ada pun, mungkin di peringkat paling tinggi. Kalau kamu, seorang yang berpangkat rendah seperti aku dapat berpeluang menghadiri mesyuarat sebegini, walau sekadar sebagai seorang urus setia, tumpukan perhatian. Kerana mesyuarat ini menentukan hala tuju organisasi kamu. Apa yang telah berlaku dan apa yang dirancang akan berlaku. Sedikit sebanyak kamu juga boleh merancang perjalanan kerjaya kamu.

Bagaimana? Contohnya, pengisian kekosongan jawatan di pangkat yang lebih tinggi. Orang bising kepada aku kerana aku tidak memohon. Setelah menghadiri mesyuarat, aku sedar aku tidak perlu terlalu risau (bukan tidak risau langsung) mengenainya. Masih banyak jawatan kosong tersebut yang boleh aku rebut tahun hadapan, insyaAllah. Peluang masih ada dan masih besar. Jadi, tahun depan adalah tahun aku sasar untuk memohon kenaikan pangkat.

Masalahnya cuma satu; aku tidak suka mengarah orang. Aku tahu aku akan jadi terlalu tegas akibat darinya. Aku lebih selesa buat kerja sendiri. Kerja aku maksudnya. Takpelah, sudah sampai masa aku fikir arah kerjaya. Takkan hendak duduk di tempat sama sepanjang masa. Selagi ada peluang, aku akan cuba. Tapi aku pastikan yang aku benar-benar yakin aku boleh lakukannya. Kalau tidak tertanggung kerja nanti, susah pula. Betullah orang cakap, peluang naik pangkat tu ada. Tapi adakah aku bersedia? Adakah kamu juga bersedia dan mampu melakukannya jika diberi pangkat dan tanggungjawab kerja?

Aku selalu hadiri kursus Team Building jabatan. Ada pernah aku hadiri sesi yang melibatkan kakitangan yang baru naik pangkat. Aku dapati ramai antara mereka yang sebenarnya tidak layak dari segi mental untuk pegang jawatan tersebut. Bila kerja nanti, mereka akan hadapi masalah untuk agihkan tugas kepada sub-ordinat mereka. Mereka juga hadapi masalah untuk menjadi 'leader'. Tapi mereka mahu juga naik pangkat. Aku bukan tak mahu jadi seperti mereka. Aku perlu pasti samada aku bersedia untuk bekerja dalam suasana baru.

Aku mahu, bila aku naik pangkat, aku tidak perlu risau mengenai aku perlu pergi latihan, kursus atau belajar beberapa lama untuk mahir dalam bidang tugas aku. Aku mahu bila aku naik pangkat nanti, aku sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Aku sudah bersedia untuk terus menjalankan tugas mengikut suasana persekitaran dan suasana kerja yang diperlukan. Aku mahu jadi efisien.

Kamu jangan jadi terlalu melayu untuk menasihati aku agar "slow-slow", relax, masa masih banyak dan lain-lain lagi konsep pemikiran melayu. Tak berbaloi.

Melalui mesyuarat yang aku lalui ini juga, aku boleh mengenal pasti sifat-sifat dan kerakter bos-bos aku. Bagaimana? Pemerhatian. Lebih lanjut? Rahsia.

Esok balik. Penerbangan jam 10.05 pagi. Mahu jemput aku di KLIA? Terima kasih saja. :-) Aku tetap hargainya. Mungkin bas jabatan sudah menunggu nanti.

Selamat Malam.

21.11.08

Aku Di Kuala Terengganu - 1

Pagi tadi tiba di Kuala Terengganu. Dari malam nanti hingga Ahad malam ada mesyuarat. Baru semalam tiba dari Kuching, sekarang sudah di Terengganu.

Penat sungguh.

Malang pula di hotel tiada WiFi langsung. Free pun tiada. Nasib dekat dengan hotel ada CC tepi simpang jalan dekat dengan KFC. Bolehlah.

20.11.08

Aku Di Kuching - Penutup

Selesai sudah kunjungan ke Kuching. Siang tadi dari lapangan terbang Kuching, tiba di KLIA menjelang senja.  Sempat juga aku berkunjung ke beberapa tempat yang biasa orang lawati. Aku sebenarnya tidak sukakan cliche, namun biarlah ianya sekali sekala dilalui juga. 


Puas hati juga sepanjang berada di Kuching. Sesi fotografi aku di sekitar Waterfront tidak diganggu. Walaupun sehari, cukup untuk aku ambil berpuluh shot. Aku sedari bahawa aku perlu dapatkan dua benda. 1. Lensa 11 - 22mm. Aku perlu lensa wide-angle kerana aku suka mengambil shot panorama yang luas. 2. Aku perlu beli bateri spare.

Dalam keletihan ini, aku perlu siapkan diri dan peralatan untuk ke Kuala Terengganu awal pagi nanti. Jadi aku perlu tidur awal.

Selamat Malam.

Aku Di Kuching - 6

Selesai konvensyen KMK. Selesai kerja. Jadi pemerhati sepanjang konvensyen. Kesimpulan? JPN sebenarnya sudah jauh di hadapan dalam penganjuran majlis. Sudah melangkaui persepsi umum pengendalian majlis-majlis kerajaan. Sedang di konvensyen ini masih terhad menggunakan dua skrin untuk persembahan, di JPN, tiga buah skrin adalah standard. Mereka guna layar portable yang berkaki tiga, dan projektor dipancar dari hadapan, JPN sudah menggunakan layar perak dengan projektor dipancar dari belakang. Mungkin nanti, JPN akan guna layar lebar sepanjang pentas tanpa sempadan untuk memudahkan lagi tayangan slaid.

Pengendalian majlis juga amat berbeza. Majlis-majlis rasmi JPN penuh dengan protokol dan tersusun rapi. Malah perancangan begitu teliti yang dilakukan untuk memastikan tiada halangan yang timbul dan kalau ada, sentiasa ada pelan kontigensi... Bukan satu, malah kadang-kadang hingga dua tiga pelan kontigensi. Menarik juga adalah mengenai hiasan dewan majlis diadakan. Mulanya dulu aku fikir ianya membazir dan tidak relevan. Tetapi bila difikirkan balik, bau bunga asli dan warna yang digunakan mempengaruhi mood hadirin dan peserta. Ianya dapat menimbulkan suasana dan aura yang tenang. Kalau tidak penonton akan jadi "restless".

Persembahan kumpulan KMK. Secara keseluruhan, persembahan adalah sederhana dengan konsep persembahan masih dipengaruhi dengan gaya bacaan dan huraian. Paparan slaid juga adalah sederhana dan aku fikir semua kumpulan menggunaan perisian Microsoft PowerPoint sebagai tool utama untuk menghasilkan slaid persembahan. Tiada kumpulan yang menggunakan Apple Keynote, apatah lagi Macromedia Flash. Akhirnya, persembahan slaid di mata aku nampak bosan dan childish. Bukan menghina. Tapi hakikatnya memang begitu. Semasa KMK JPN tempohari, kumpulan aku menggunakan tiga buah iMac dengan perisian Apple Keynote dan dikawal dengan sebuah remote oleh seorang ahli sahaja. 

Projek. Bagi aku projek yang diketengahan dalam konvensyen KMK adalah biasa dan sebenarnya boleh diperolehi secara mudah di luar. Cuma mungkin kos yang tidak mengizinkan. Apa yang bagus, pengumpulan data dan teknik-teknik yang digunakan untuk menghasilkan projek. Itu jauh lebih bagus dari apa yang kami lakukan. Data adalah lengkap dan teratur dan teknik-teknik yang digunakan adalah banyak dan baik. Cuma, hasil akhirnya agak tawar.

Namun kalau inilah mutu KMK peringkat Kebangsaan, aku fikir ianya adalah sederhana. Ada beberapa kumpulan yang mempunyai projek yang baik. Tetapi secara keseluruhan, semua projek yang diketengahkan adalah sederhana dan secara rasional, boleh dilakukan oleh sesiapa saja sekiranya mereka ada idea mengenainya dan berusaha untuk merealisasikannya.

InsyaAllah, tahun depan aku berazam akan bertanding di peringkat Wilayah Persekutuan. Aku mahu bawa perubahan sebenarnya. Dari segi teknik dan kualiti. Cuba, nanti kita tahu macamana.

Itu saja...

19.11.08

Aku Di Kuching - 5

Dalam dewan. Sedang menyaksikan KMK. Tidak menarik. Tunggu tahun depan. Lihat bagaimana kami mengubah konsep...

18.11.08

Aku Di Kuching - 4

Koleksi fotografi sekitar Kuching petang tadi. Cahaya kurang menarik.

Aku Di Kuching - 3

Konvensyen KMK memang membosankan. Tambah lagi kalau kamu sekadar pemerhati. Dua tiga kumpulan bolehlah kamu tengok dengan penuh kusyuk. Selebihnya, kamu akan bosan. Melainkan kumpulan yang kamu benar-benar ingin tengok.

Cuma bila tengok kumpulan yang digembar-gembur hebat, tidaklah sehebat mana. Itu kesimpulan mudah. Kalau kami 'up'kan kerja kami 50%, insyaAllah kami lebih hebat. Malah pastinya, hampir semua mereka akan tergamam dengan teknik persembahan kami. Kalau setakat PowerPoint 2007, aku pandang sebelah mata saja.

Sebenarnya begitu. Kita boleh buat lebih baik kalau diberi ruang dan peluang. Mereka yang bertanding ini juga tidak sehebat mana jika hendak dibandingkan dengan kumpulan sendiri. Usaha mereka lebih. Kerja mereka lebih. Tidak mustahil kita boleh lakukan perkara yang sama.

Separuh jalan, aku keluar merayau. Baca buku di kedai buku. Baca peta, lihat jalan di Bandaraya Kuching. Petang aku mahu membuat sesi fotografi.


Sneak Peak - Kucing-kucing Comel

Selesai KMK, aku terus berjalan sepanjang Kuching Waterfront. Hingga ke Brooke Dockyard berhampiran masjid di Jalan Gambier. Sepanjang jalan aku mengambil gambar Kuching dari pelbagai sudut. Dari yang bersih, baru dan selesa hingga yang terbiar, berbau dan lama.

Nanti aku akan upload gambar ke sini.

Selamat Malam Semenanjung.

Aku Di Kuching - 2

6.45 pagi di Kuching.

"Cerahnya, macam sudah 8.00 pagi!" Seorang kawan bersuara.

Dia sepatutnya pergi ke Tawau. Baru tahu 6.00 pagi suasana bagaimana.

Teringat dulu semasa di Miri. Zura kata tunggu jam 6.30 pagi. Hendak ke Bekenu, melihat pasar pagi. Katanya 6.30 pagi sudah agak lewat. Aku terpinga-pinga. 6.30 pagi agak lewat? Itulah pertama kali aku di Borneo.

Siang kemudian baru sedar 6.30 sudah secerah 8.00 pagi. Patutlah.

Sekarang sudah biasa dengan suasana Borneo, aku rasa lebih selesa. Senang melihat cerah lebih awal. :-)

Selamat Pagi Semenanjung.

17.11.08

Sekali Sekala

Senyum.

Kalau sekali sekala membaca tulisan aku di sini, kamu fikir aku bersedih atau kecewa atau putus asa atau apa saja yang negatif.

Ada benar, ada yang tidak. Benar aku rasa semua itu. Tidak benar aku selalu alaminya. Tidak selalu. Sekali sekala. Waktu sunyi. Biasanyalah.

Jangan peduli sangat.

Aku Di Kuching - 1

Tanya receptionist comel di hotel,

"Ada WiFi sini?"
"Ada, kena bayar di kaunter RM15 untuk sejam. Kalau sehari, RM34. Encik boleh apply di kaunter."
"Okay..."

Gila apa sejam RM15? Apa kes pula sehari cuma RM34? Aku sudah buntu. Sampai di bilik, aku buka laptop. Mencari-cari mana tahu ada WiFi free yang aku boleh jumpa. Belum sempat habis cari, kawan-kawan ajak makan. Tangguh lagi.

Setiba kembali di hotel, aku cuba lagi. Buntu. Tiada yang percuma walaupun ada satu un-secured connection. Hanya dapat local connection. Memang takde yang free agaknya.

Lima minit kemudian aku baru teringat sesuatu. Aku connect juga ke un-secured connection. Sudah connect, terus aku buka browser. Walla! Ada akses percuma yang perlu daftar. Projek di Sarawak oleh sebuah syarikat. Bukan aku baca mana-mana. Aku cuma teringat semasa di Residence Uniten tempohari, cara yang sama aku perlu guna untuk akses internet berbayar. Cuma di sini, percuma. Okaylah tu. Boleh aku menulis baris-baris ini. :-)

Aku baca balik post-post lama di blog ini dan juga baca komen yang aku terima. Aku rasa aku suda kenal beberapa orang yang memberi komen atas avatar TANPA NAMA. Kalau dulu mereka ada nama, sekarang ada yang tidak lagi menulis nama mereka. Jadi, aku rasa aku kenal seorang dua yang menggunakan TANPA NAMA. Termasuk AYP. Biarkanlah ye. Aku diamkan saja. Supaya mereka lebih selesa membaca post-post aku seterusnya tanpa risau. Jangan risau.

Kuching agak mengeliruskan. Entah, menjelang senja, semua seperti hampir mati. Kedai-kedai sudah pun tutup. Tidak mengapa. Esok siang, hari yang cerah, aku akan berjalan-jalan dan mengambil gambar.

Ya betul Aliah, rasanya sudah ada dua orang yang menggelar aku Mr Teddy. Baru aku tersedar. Tidak mengapa. Aku suka. Terima kasih. Cuma aku tidak berbulu macam teddy bear. :-D

Sebentar tadi aku pergi makan dengan kawan-kawan. Baru aku sedari sesuatu. Susah hendak berjalan dengan kawan-kawan. Ada saja kepala yang terlalu besar. Patutlah aku lebih suka berjalan sendirian. Sesi fotografi aku juga tidak terganggu kerana mereka. Bukan mereka mengganggu, cuma aku tidak fikir aku selesa kalau mereka ada di sekeliling aku. Bagaimana aku hendak lalui esok? Aku mahu sendirian. Bukan menyendiri. Aku mahu buat sesi fotografi sendirian.

Err... Aku semakin merepek. Star Movie sedang siarkan Envy. Jumpa esok.

Selamat malam Semenanjung...

Damai

Semoga damai hati ini sepanjang masa.

Masih Dengan Roda

Dulu aku suka filem Notting Hill. Biar apa pun orang nak kata, aku tetap suka.

Sekarang aku suka The Holiday. Biar apa pun orang nak kata, aku tetap suka.

Tidak perlu aku bersinopsis. Kamu tonton sendiri.

Sebenarnya mungkin ada beberapa watak dalam kedua-dua filem itu yang aku boleh 'identify' seperti hampir sama dengan apa yang aku alami atau hampir sama seperti diri aku sendiri. Miles contohnya, mempersoalkan kenapa beliau sering jatuh hati kepada orang yang salah. Orang yang dia sendiri yakin, entah apa yang mereka nampak terhadap dirinya.

Begitu juga aku. Kadang-kadang, terfikir. Apa yang orang lain nampak pada aku, terutamanya orang yang aku suka? Sebab itu selalu saja aku biarkan mereka berlalu. Sedar-sedar, aku seperti terlepas keretapi. Kuat mana pun wisel keretapi memanggil, roda sudah bergerak, dan aku tak mampu hendak mengejar lagi. Aku biarkan kerana aku tidak mahu akhirnya aku sedar, mereka tidak nampak apa-apa pada aku.

Mungkinlah, kerana aku takutkan 'rejection'. Hah! Rasanya memang ya pun. Tidak perlu nafikan lagi. Memang takut 'rejection'. Sebab sudah terlalu banyak sehingga aku jadi seperti fobia. Hendak dikata fobia, mungkin terlalu ekstrem bunyinya. Tiada perkataan yang sesuai.

Jadi selalunya, aku biarkan saja peluang-peluang aku berlalu. Sehingga pernah kena marah, sehingga pernah kembali ditanya,

"Kenapa tidak bersuara dulu?"

Aku bila berlaku begitu, akan tergamam. Bukan kerana ditanya. Tetapi kerana aku seperti tersedar dari mimpi.

"Ah, aku tak tahu pun kau juga suka aku..." Begitu selalunya terlintas di hati.

Kemudian kamu melihat mereka bahagia. Sigh...

Ketika itu, hendak saja kamu lari jauh dan duduk di suatu sudut tanpa sesiapa dapat melihat. Kemudian kamu menangis dan bersedih. Mungkin geram dan marah terhadap diri sendiri. Kalau terlambat itu cuma masa, ketika itu sebenarnya dirasakan kamu sudah mati. Tidak ada motif untuk kamu terus bernafas. Atau makan, atau tidur... Atau apa saja.

Lama kemudian, barulah kamu kembali bangun. Sedar, hidup ini jauh lebih besar dari itu semua.

Dan kamu lakukan perkara yang sama. Kembali.

Berulang-ulang hinggalah kamu jadi seperti aku. Tidak lagi berani mempunyai perasaan. Kerana mental kamu pasti berkata,

"Kelak akan kembali seperti dulu..."

Maka, bagaimana lagi harus kamu lakukan agar hidup kamu lebih bahagia?

16.11.08

Roda Yang Berpusing (Termasuk di Kapal Terbang)

Esok ke Kuching, Sarawak. Hadiah menjadi johan KMK kategori teknikal. Dapat pula melihat konvensyen KMK peringkat kebangsaan di Crowne Plaza, Kuching. Rezeki. Penerbangan jam 4 petang dari KLIA dan sampai di Kuching menjelang senja. Ya, senja. Siapa pandai sangat book tiket waktu petang ni.

Malangnya pergi tengah-tengah bulan. Jadi memang duit kurang. Aku hendak saja cakap takde, tapi rasa macam tipu pula. Cuma kena berjimat lebih. Sebab balik nanti dari sana aku akan terus ke Kuala Terengganu. Jadi urus setia mesyuarat pula. Secara total nanti, lapan hari di tempat orang. Kalau ikutkan, aku akan terus berada di Kuala Terengganu hingga penghujung bulan kerana ada bengkel AKPM. Nasib baik bengkel di tunda dan diadakan di Sepang saja. Dekat sikit. Jimat kos.

Memanglah aku tak keluar duit banyak. Semua free termasuk hotel. Tapi, kadang-kadang kalau sudah berada di tempat orang, ada saja yang hendak dibeli.

Aku teringat tahun lepas hingga ke pertengahan tahun ini, aku sering saja 'terdampar' di pejabat sedang kawan-kawan pejabat lain sibuk kerja outstation di seluruh Malaysia. Dalam hati memang mengeluh dan cemburu. Untung mereka dapat berjalan sana sini. Aku juga yang terperap depan iMac. Sekarang aku rasa seperti tidak cukup ruang pula untuk berehat. Ada saja tempat yang perlu aku pergi dan ada saja benda yang perlu dilakukan. Aku lihat pula kawan-kawan pejabat yang suatu masa dulu sering kesana kemari. Mereka pula yang terperap di pejabat. Kasihan pun ada. Tambah lagi kalau dengar mereka mengeluh kata mereka cuma layak terperap di pejabat.

Aku dulu mengeluh begitu. Sekarang, giliran orang lain. Macam roda yang berpusing, ya?

15.11.08

Kuch Kuch Hota Hai

Sebentar tadi sempat aku menonton filem Outsourced. Tidak perlu aku cerita sinopsisnya. Cuma, dalam satu babak, ada adegan di mana watak utama diminta menari tarian ala filem Hindustan, Kuch Kuch Hota Hai.

Segan pun tak guna, tapi sebenarnya aku memang suka filem itu. Mungkin Kuch Kuch Hota Hai satu-satunya filem hindustan yang aku suka, dan aku salahkan Bob kerananya. 10 tahun lalu semasa aku dan Bob tinggal di Kelana Jaya, Bob telah berkenalan dengan seorang gadis Johor yang sedang belajar di Medan, Indonesia. Dek kerana begitu kasihkan gadis tersebut, Bob sanggup lakukan apa saja demi memenangi hati si gadis. Termasuk menonton filem-filem hindustan kegemaran si gadis. Sedang selama itu aku kenal Bob adalah peminat muzik rap dan alternatif serta meminati filem-filem aksi. Jarang sekali aku lihat beliau menonton filem cinta, apatah lagi filem hindustan. Suatu hari sedang aku berehat di bilik, Bob tiba setelah keluar dengan si gadis. Ada beg plastik berisi VCD (masa itu DVD belum popular).

"Cerita apa Bob?"
"Hah? Hindustan..."

Aku tergamam. Seperti tidak percaya dengan apa yang Bob jawab.

"Biar betul. Sejak bila kau tengok hindustan?"
"Sejak aku kawan dengan Ima." Jawabnya ringkas sambil sibuk menanggalkan baju dan mencapai tuala, kemudian duduk di atas kerusi.

"Kau tahu Dan, aku  memang terpaksa buat. Dah Ima memang suka filem hindustan, jadi aku kena suka juga."

Aku ketawa. Aku ingat Bob bergurau atau sudah hilang akal.

"Takkan sampai macamtu sekali, Bob."
"Tak Dan, memang kena. Kalau kau dah sayang orang tu, kau akan buat juga."

Bob hidupkan komputer di atas meja. Plastik membungkus VCD dikoyak dan sekeping CD dimasukkan ke dalam pemain CD di komputer. Aku terpinga-pinga bila melihat cover VCD. Memang cerita hindustan. Ada beberapa tajuk tetapi Bob sedang memainkan filem bertajuk Kuch Kuch Hota Hai.

"Ima kata filem ni best. Aku kena tengok."
"Ye ke? Siapa berlakon?" Macam la aku kenal...
"Shah Rukh Khan, Kajol dan Salman Khan"
"Aku tak kenal..." Memang aku tak kenal.

Seingat aku kali terakhir aku menonton filem hindustan sebelum hari itu sepuluh tahun lalu adalah ketika di MRSM Balik Pulau. Suatu petang hujung minggu dengan beberapa orang budak lelaki di Dataran Selera. Pelakonnya tidak lain tidak bukan adalah Shah Rukh Khan, semasa itu beliau memegang watak jahat sedang diburu polis.

"Cerita pasal apa ni Bob?"
"Aku pun tak tahu. Ni aku nak tengok ni. Lepas ni boleh aku borak dengan Ima pasal filem ni."
"Takkan la pasal Ima suka cerita hindustan, kau pun kena tengok juga? Bukan Ima nak kira sangat kau suka ke tak filem hindustan."

Bob memang sedang kusyuk menonton filem Kuch Kuch Hota Hai yang sedang tersiar di skrin LCD 15 inci atas meja.

"Bukan macamtu Dan. Aku nak Ima tahu aku suka dia dan sanggup buat apa saja untuk dia. Kau sendiri tahu aku tak pernah suka tengok filem hindustan. Aku bukan tengok saja-saja. Aku tengok sebab bila Ima cerita pada aku mengenai filem-filem hindustan, aku takde la melopong je. Sikit-sikit aku tahu jadilah. Boleh aku tunjuk aku tahu."

Panjang lebar Bob jelaskan kepada aku tujuan sebenar beliau menonton filem hindustan. Bob kembali kusyuk menonton. Aku dengan sikap keras hati aku ketika itu, berpaling dari skrin LCD dan mencapai bantal. Tidur.

Esoknya ketika Bob pergi kerja dan aku yang masa itu masih menganggur keseorangan di bilik. Hendak keluar, duit tidak ada. Terpinga-pinga aku merenung siling, tak tahu apa yang hendak dibuat.

Aku bergerak ke meja komputer. Ada beberapa CD dan kotak VCD filem hindustan di meja. Aku belek satu persatu. Aku biarkan. Aku buka komputer dan terus bermain games. Sedang asyik bermain games, VCD di meja seperti memanggil-manggil aku. Sekali sekala aku jeling VCD di atas meja. Tak boleh jadi.

Aku capai sekeping CD. Masukkan kedalam pemain CD komputer. Filem Kuch Kuch Hota Hai. Entah kenapa selama lebih 3 jam aku terpaku menonton filem tersebut. Dalam hati,

"Menarik sungguh cerita ni..."

Sejak itu sehingga kini, aku meminati filem Kuch Kuch Hota Hai. Bob tidak pernah tahu.

14.11.08

Mengenai Roti Canai dan Komen-komen



Aku pernah cerita mengenai gerai roti canai di Cameron Highlands yang menjadi kegemaran aku. Aku bukanlah peminat atau suka makan roti canai. Dulu mungkin, sekarang tidak. Malah, amat-amat jarang aku makan roti canai. Kecuali kalau di Cameron Highlands. Gambar atas adalah gerai dan kedai yang menjual roti canai yang aku maksudkan, terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands. Terletak sebaris dengan stesen teksi dan berhadapan dengan Starbuck, Cameron Highlands. Ya pelik, di Cameron Highlands pun ada Starbuck.

Roti canai tersebut tidaklah sesedap mana. Biasa saja. Namun, bila petang setelah seharian menjalankan tugas, roti canai dan teh/kopi/nescafe pasti menjadi sedap. Makan dan minum sambil duduk di meja dan kerusi batu semeter dari tepi jalan dalam suasana Tanah Rata yang semakin sejuk menjelang senja, ecstasy.

Cuma kamu tidak perlu cuba laksa Penang di situ. Aku boleh sahkan ianya tidak sedap. Kuahnya agak cair dan kurang isi. Masa mula-mula aku makan dulu aku sudah kata tidak sedap. Namun ada seorang rakan pejabat kata aku tidak pandai rasa laksa dan juga katanya mungkin hari ini kurang sedap. Namun, tempohari aku cuba lagi untuk membuang sangsi aku. Memang sah tidak sedap. Malah, bos besar sendiri kata tidak sedap. Rakan pejabat tadi masih kata, 

"Mungkin harini rasa kurang sedap..."

Aku tidak pasti samada dia ada saham di gerai tersebut, tapi memang tidak sedap. Aku orang Kuala Kangsar yang sudah terbiasa makan laksa Kuala Kangsar, jadi aku boleh bezakan mana laksa sedap, mana tidak.

Setakat ini di Lembah Klang aku masih belum jumpa laksa yang sedap, kecuali di Laksa Shack.

Sudah mengenai makan.

Terima kasih atas komen kamu semua di dalam post aku "Menilai Hidup Ini - Babak 5". Aku amat-amat menghargainya. Mulanya aku mahu biarkan saja orang lain menghurai maksud "sempurna" yang aku sebutkan dalam post tersebut. 

Fikir-fikir balik, baiklah aku sendiri huraikan apa maksud aku. Sempurna dalam apa yang aku maksudkan bukanlah sempurna seperti maksud perkataan itu sendiri. Kerana tiada perkataan yang sesuai aku boleh guna (akibat kurang membaca kamus), aku guna juga perkataan sempurna dalam erti kata, sudah cukup baik untuk aku. Atau sudah cukup baik buat orang lain. Kalau hendak aku guna perkataan "cukup baik", kurang menarik bunyinya.

Jadi ayat aku yang berbunyi

"Kalaulah aku sempurna sepertinya..."

bagi aku sebenarnya bermaksud,

"Kalaulah aku ini sudah cukup baik buat dirinya seperti dia sudah cukup baik untuk aku..."

begitu lebih kurang.

Tapi yang lebih pendek itu penuh dengan emosi, bukan? Ayat panjang itu seperti terlalu memaksa. Ianya lebih kurang sama teknik seperti ayat dalam bahasa Inggeris,

"I will always love you", dan di balas
"And I, you"

Memang pelik kalau sekali kita dengar. Tapi lebih kurang begitu kaedahnya. Seperti kita mengulang apa yang orang lain beritahu kita secara malas. Tapi penuh emosi. Mungkin salah tafsiran aku.

Seterusnya. Kalau hendak aku menulis sebuah novel pun, aku tidak mungkin mampu menulis mengenai cinta. Kerana kali terakhir aku alaminya adalah 10 tahun yang lalu. Aku tidak lupa tapi aku tak fikir aku mampu menulis mengenainya.

Aku berangan-angan ingin menulis seperti jalan cerita Babel, Lost In Translation atau Forrest Gump. Mengenai kehidupan. Cuma aku masih tercari dari mana hendak aku mula.

Laptop sudah ada, insyaAllah aku akan mulakan dalam masa yang terdekat.

13.11.08

Menulis Novel

Biasa sebelum aku menulis seperti post sebelum ini, aku akan pastikan aku temui sebuah lagu yang sesuai dalam iTunes, kemudian aku akan ulang lagu tersebut berkali-kali hinggalah selesai aku menulis. Lagu memberi aku mood untuk menulis. Serta insan seperti beliau yang memberi aku inspirasi untuk menulis sebegitu.

Hari ini aku cuba perolehi sumber inspirasi dari jalan yang lain. Tidak temui. Agak buntu sekarang walaupun lagu Like Only A Woman Can nyanyian Brian McFadden sudah beberapa kali diulang. Maksudnya lagu tersebut bukanlah lagu yang boleh menimbulkan mood aku. Juga, mereka yang aku telefon siang tadi tidak dapat menimbulkan inspirasi untuk aku menulis.

"Seperti membaca novel..."

Antara komen yang aku terima dalam post sebelum ini. Pernah terdetik untuk aku menulis novel. Cuma masalahnya, novel Melayu paling aku suka baca dan entah di mana kini untuk aku cari kembali novel tersebut bertajuk "Rahsia Diari Ayah". Novel kanak-kanak yang aku pertama kali baca sekitar pertengahan 80an dulu. Sudah lama. Menceritakan seorang budak lelaki berusia 12 tahun menjadi seorang penyiasat, menyiasat mengenai ayahnya yang tidak pernah ditemui.

Aku amat-amat jarang baca novel. Terlalu jarang. Boleh kira dengan jari berapa buah novel, baik dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris yang pernah aku baca. Jadi, bagaimana hendak aku mulakan menulis sebuah novel sedang aku sendiri tidak pernah faham strukturnya bagaimana. Mungkin, aku boleh cantumkan beberapa buah post aku di blog ini hingga menjadi susunan seperti novel. Menarik juga. Tetapi apa lagi yang hendak diceritakan dari situ? Kerana itu sebenarnya realiti, mana aku bijak untuk menimbulkan fantasi darinya. Lainlah kalau dari asal ianya sekadar fantasi. Bolehlah aku olah menjadi mimpi.

Baiklah, kita boleh membuat andaian sekali lagi. Katakanlah, aku mahu juga menulis novel dan ianya berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling aku; apa yang ada di sekitar aku adalah sumber inspirasi untuk aku menulis. Maka mungkin aku boleh menulis mengenai:

  1. AYP - bagaimana Ahmad, seorang penulis blog, sering menerima komen-komen terhadap setiap penulisan daripada seorang yang cuma dikenali dengan akronim AYP atau yang pernah disebut awal komen beliau dulu, Aku Yang Pemalu. Semakin hari Ahmad semakin mendesak untuk mengetahui siapakah sebenarnya AYP yang dalam bait-bait komennya, sentiasa meninggalkan kata-kata manis dan indah yang begitu menyenangkan hati Ahmad. Maka bermulalah sebuah pencarian (bayangkan suasana ala filem You've Got Mail, cuma watak lelaki saja kali ini yang clueless) menghurai rahsia disebalik akronim AYP. Hingga akhirnya Ahmad sedari, AYP sentiasa berada dekat dengan beliau. Cuma sering Ahmad melihat jauh dipenghujung garisan sedang yang ada disebelah tidak disedari. :-)
  2. (Berdasarkan post Menilai Hidup Ini - dari babak 1 - 5) - Seterusnya si Lelaki cuba mencari kurdat meluahkan juga apa yang terbuku di benak hati agar akhirnya dapat si Gadis ketahui isi hati si Lelaki. Namun, kerana menyedari si Gadis adalah seorang manusia yang suka menghadapi cabaran dan juga kerana si Gadis mengakui bahawa merubah keburukan Teman Lelaki beliau sekarang adalah cabaran buatnya, maka si Lelaki sedar, beliau tidak berdaya memberi cabaran sebegitu. Kerana sehari-hari hidup si Lelaki cuma dalam keadaan biasa dan sentiasa terbatas dengan sikapnya yang neutral. Aku sebenar keliru kalau hendak menulis mengenai ini semua. Kamu juga pasti akan keliru, walau hanya sekadar membaca sinopsis ini. Jadi, cukup begitu sinopsisnya.
  3. Kak Nor - Aku mahu menulis mengenai beliau. Setiap detik aku mengingati beliau, pasti air mata akan mengalir. Kerana setiap kali aku terkenangkan beliau aku sentiasa terbayangkan saat kami berdua duduk di sebuah hentian bas di tengah kesibukan Kuala Lumpur dan berbicara seperti dunia ini kosong tanpa nyawa lain. Kerana janji beliau sekiranya sihat kelak, beliau mahu berbual bicara dengan aku sepanjang masa, seperti kami pernah lakukan sebelum beliau sakit. Aku mahu menceritakan kepada dunia kebaikan seorang manusia yang mengajar aku supaya sentiasa menghargai orang lain. Agar sentiasa berfikir jauh dan melihat dari sudut yang berbeza.
  4. Kisah Pengembaraan Angkasa Lepas ala Star Wars. Hahaha...
  5. Kisah Aku? Entah apa yang hendak kamu baca kalau aku menulis mengenai diri aku. Mungkin aku boleh sediakan 12 bab, setiap bab akan bermua dari aku buka mata, bangun dari tidur. Pergi kerja. Balik Kerja. Tidur. Babak dua begitu, babak tiga begitu hingga babak 12. Terselit antara babak-babak itu adalah cerita seperti kelmarin, bertemu seseorang atau cerita destinasi jauh yang sekali sekala aku kesana. Tamat....
Kamu tentukan. 


12.11.08

Menilai Hidup Ini - Babak 5

Aku berbual-bual dengan seorang kenalan lama di kafetaria tengahari tadi. Lebih dua jam kami duduk dan berceritakan mengenai kehidupan. Asalnya beliau dahulu seorang pembekal yang ingin membekalkan peralatan pejabat di tempat aku. Namun akibat mesra, akhirnya kami kawan yang baik.

Selalu kalau bertemu dengan beliau, pasti lihat riak wajahnya yang riang dan senyuman yang pasti akan menggoda ramai lelaki. Namun tengahari tadi ketika terlihat wajahnya, tiada senyuman dan wajahnya muram. Aku syaki sesuatu yang telah berlaku.

Biasanya juga antara aku dan dia, takkan ada sesaat masa berlalu tanpa berkata-kata. Pasti akan dipenuhi dengan cerita-cerita menarik yang seperti tidak sabar masing-masing hendak beritahu. Tapi tadi beliau diam, banyak diam di awal bicara. Fikirannya seperti melayang memikirkan hal yang lain. Soalan pertama yang keluar bila aku memulakan bicara,

"Awak sihat? Sudah okay ke?"

Aku bertanya kerana tidak berapa lama dulu beliau baru keluar dari hospital. Jadi logiknya aku akan tanya soalan itu. Namun mungkin beliau mengesyaki aku sedar perubahan pada dirinya. Memanglah sedar kalau sebelum ini aku nampak beliau sangat ceria, siang tadi beliau agak muram dan seperti kecewa.

Pujuk beberapa kali (tanpa aku cakap terus terang), akhirnya beliau menceritakan masalah yang dihadapi. Seperti yang aku sangka, berkaitan dengan teman lelakinya. Sebenarnya aku tidak tahu beliau sudah ada teman lelaki kerana selama ini beliau menceritakan mengenai bekas teman lelaki yang sudah 2 tahun terputus.

Aku mendengar keluhan beliau mengenai sikap dan tindakan teman lelakinya. Aku cuba fahami sifat teman lelakinya melalui kata-kata beliau. Sedikit-sedikit aku dapat tafsir jenis macamana lelaki tersebut. Kesimpulan aku berikan kepada beliau,

"Awak berhak untuk dapat yang lebih baik."

Kemudian aku tambah,

"Tapi itu untuk awak yang tentukan..."

Aku bukan bermaksud aku. Aku merujuk kepada sesiapa saja yang aku fikir jauh lebih bagus dari teman lelakinya sekarang.  Aku tidak mahu menghasut atau memutuskan apa-apa untuk beliau kerana suatu masa dulu beliau pernah berkata kepada seorang kakak (kamu boleh rujuk balik post aku yang lama) yang dia mahu saja sukakan aku kalau tidak selama ini beliau sangka aku sudah berkahwin. Aku ketawa ketika itu.

Aku tidak perlu jadi terlalu mengharap keajaiban. Aku berikan jawapan yang neutral supaya beliau tidak melihat aku sebagai mengambil kesempatan terhadap keadaan beliau. Ya, aku tahu kamu akan tanya aku. 

Okay, evaluasi dan hipotikal; Beliau sebenarnya cukup sempurna. Aku amat suka dengan senyuman beliau dan siang tadi aku beritahu beliau, aku mahu lihat kembali senyuman tersebut. Peribadinya dan tutur kata, ia mengingatkan aku terhadap Yuslina, ex-girlfriend aku. Lembut dan sentiasa ceria. Kalau kamu lihat beliau sedih, kamu akan turut terasa kesedihan itu. Begitu keadaannya.

Juga aku sukakan keadaan beliau yang berdikari dan pandai membawa diri tanpa perlu kamu bersusah payah untuk terlalu menjaga. Kerana kamu percaya, berapa jauh sekalipun beliau melangkah, beliau akan pasti menoleh kebelakang dan memberitahu beliau akan tetap kembali (kiasan la ni... kalau tak faham juga, jangan baca blog aku).

Cantik? Ya. Cantik seperti bidadari? Tidak sehingga begitu. Cantik secukupnya. Beliau kata tadi beliau mahu kurangkan 5kg lagi berat badannya. Aku kata keadaan sekarang sudah cukup menarik dan sesuai. Beliau mencebik... Aku pujuk dan kata, "bolehlah kalau mahu kurangkan 5kg lagi, rasanya pasti akan lebih cantik". Beliau senyum. Aku sebenarnya senang begitu. Aku tidak selesa dengan perempuan yang terlalu mendesak untuk dipujuk hingga kamu mati akal tidak tahu apa lagi cara hendak memujuk dia, kamu akhirnya putus asa. Dengan beliau, cukup sekadar ayat sebegitu, hati beliau sudah kembali gembira. Bukan maksudnya mudah. Aku fikir, beliau lebih menghargai penghargaan seseorang dari cuba mendesak diberikan penghargaan.

Hakikatnya, secara jujur aku katakan, aku tidak yakin aku boleh. Maksud aku, orang sebegitu, seperti kamu mengejar Angelina Jolie. Atau Cleopatra. Atau Juliet. Mereka hanya untuk orang-orang yang sehebat dan se-gah nama mereka. Begitulah juga beliau. Pada mata aku, beliau berada diatas sana. Tinggi sangat untuk aku panjat dan berdiri sama tinggi dengan beliau atau pujuk beliau turun untuk duduk sama rendah dengan aku.

Jadi sepanjang 2 jam aku duduk memerhatikan rambut, mata, pipi, dagu dan bibirnya berkata-kata dan bercerita sambil di dalam hati berkata, 

"Kalaulah aku sempurna sepertinya, mahu saja aku kata aku sukakan dia ketika itu..."

Ya, aku ada katakan aku sukakan beliau, terselit dalam bual bicara sepanjang waktu itu. Sepantas kilat ianya berlalu. Aku pasti pipinya jadi merah kerana malu (malu sukalah) kerana mendengar kata-kata seperti itu (seperti yang beliau selalu akui setiap kali ada lelaki berkata begitu kepada beliau), tapi aku tidak mampu melihatnya. Aku rabun warna.

Petang tadi aku melihat beliau pergi dan entah bila lagi akan aku temui. 

Hipotikal sahaja, bukan betul pun! :-D

11.11.08

Fotografi Di Cameron Highlands - Set 1

Sepanjang kursus tempohari, aku mempelajari dan mencuba beberapa teknik fotografi. Maklumnya aku masih kurang mahir dan akibat daripada rabun warna, kualiti gambar yang pada aku adalah baik, dilihat oleh orang lain lebih pakar sebagai kurang sempurna. Tidak mengapalah. Aku terus akan cuba perbaiki teknik aku.

Aku masih tercari-cari modal untuk membeli lensa yang lebih baik. Ada dua buah lensa yang menjadi sasaran aku; Lensa 50mm yang berharga kira-kira RM350 dan lensa 28-105mm yang berharga kira-kira RM1000. Buat masa ini, aku cuma menggunakan lensa asas 18-55mm yang disertakan bersama semasa membeli Canon 400D.

Shot sebenar gambar di atas adalah sekumpulan peserta kursus yang sedang membuat senaman pagi. Aku tidak meniarap atas rumput, sebaliknya meletakkan kamera dan set kepada fokus automatik di atas rumput (berlapik sebab basah). Hasilnya, aku dapat mengambil shot rumput yang masih ada titisan air berlatar belakang sekumpulan peserta kursus yang sedang senaman.

Aku sentiasa suka mengambil gambar kesibukan pekan kecil Tanah Rata. Aku rasa Tanah Rata adalah antara pekan yang paling cantik di Malaysia. Cantik bukan kerana hiasan atau kebersihan. Tapi lebih kepada latar dan suasananya. Dalam sibuk, ada tenang. Itu yang aku rasakan.

Gambar atas dirakam oleh Bos Besar JPN. Memang beliau juga seorang peminat fotografi dan memiliki sebuah Nikon D40 yang sering dibandingkan dengan Canon 400D aku. Beliau juga banyak mengajar aku teknik-teknik fotografi terutama bagaimana mahu mengambil shot berhadapan dengan cahaya.

Satu lagi gambar yang dirakam oleh Bos Besar JPN. Berkali-kali mencuba dengan banyak setting kerana cahaya yang kerap berubah. Akhirnya dapat shot ini yang pada fikiran aku cukup segar dan 'hidup'.

Ini juga shot yang dirakam oleh Bos Besar JPN. Beliau cuba mencari kontras dengan warna sekeliling. Aku tidak faham kerana aku tidak nampak apa bezanya (rabun warna!). Tapi memang jelas berbeza warna.

Ini shot yang aku cuba sendiri dan setting manual sepenuhnya. Sedikit over-exposed tetapi masih nampak garisan-garisan di kelopak bunga. Mungkin selepas ini kalau aku pergi ke Cameron Highlands lagi, aku akan cuba mengambil seberapa banyak shot bunga-bunga di sana. Tempohari sepanjang petang sentiasa hujan, menyebabkan aku tidak berpeluang melakukannya. Tapi akibat hujan juga, komposisi menjadi lebih menarik terutama kalau dapat mengambil gambar titisan hujan pada bunga.

Satu lagi teknik yang diajar oleh Bos Besar; close-up. Close-up apa saja objek sehingga tidak nampak apa sebenar objek tersebut. Seperti batang kayu di atas. Menarik bukan? Nampak garisan dan lekukan yang natural.

Aku mahu mengaku ini shot yang aku ambil. Tapi sekali lagi, ini shot oleh Bos Besar. Bagi aku, shot ini cukup hidup dan cahaya yang menembusi helaian kelopak bunga kertas (yang memang nipis) membuatkan shot ini lebih menarik.

Close-up ala aku. Aku suka komposisi yang penuh dan padat kerana bagi aku, aku tidak perlu fikir bagaiamana hendak mengisi ruang kosong yang ada disekeliling. Aku belum mahir. Mungkin selepas ini aku boleh mengambil shot dengan komposisi yang lebih terbuka.


Batang kayu pokok pine cukup menarik untuk mengelirukan orang yang melihat gambar ini. Sekali lihat, seperti gambaran tekstur bukit-bukau berbatu yang diambil dari udara.

Bagi aku, paling senang dan juga paling sukar adalah untuk mengambil gambar hitam putih. Paling senang kerana aku tidak perlu memikirkan komposisi warna. Paling sukar kerana aku perlu fikir, apa hasilnya shot yang aku ambil kerana hitam putih walau hanya dua warna, masih ada 'shades' yang menimbulkan mood gambar. Seperti gambar di atas, fokus utama adalah tiang lampu. Maka hasilnya, tiang lampu nampak lebih jelas.


Ini suasana hujan dalam hitam putih. Agak tidak berjaya gambar ini kerana tidak nampak langsung titisan hujan. Tapi tidak mengapa, hasil shot keseluruhan nampak tenang.

Aku masih belajar dan terlalu banyak yang perlu dipelajari. Satu kekurangan aku adalah masa. 

8.11.08

Petang Hujan Di Cameron Highlands

Dua per tiga perjalanan kursus selesai. Esok hari terakhir. Kurang penat tapi hujan menganggu kursus. Pun begitu, tadi petang kami bermain hujan. Hujan di Cameron; sejuk. Susah menaip di telefon bimbit. Hotel tiada wifi. Nasib Marrybrown berhampiran ada. Kalau hujan reda, aku akan kesana untuk guna wifi.

6.11.08

Cameron Highlands Lagi

Bergerak ke Cameron Highlands. Tugas urus setia kursus selama lima hari. Sekian lama tidak melakukannya. Aku tidak fikir aku ada kudrat untuk mendaki gunung... Isk.

4.11.08

Mengenai Pencarian Dalam Hidup

Maaf, aku terpaksa ulas komen ini di dalam post bertajuk "Destinasi".

tanpa nama berkata...
"Bro..apa kata kamu gi umrah...temankan mak ayah ke...sekadar cadangan....."


Pertama, aku ulang balik apa yang aku tulis di permulaan post,

Beberapa hari lepas aku terpandang iklan tambang murah MAS di internet. Cuma RM63 untuk ke Pulau Langkawi. Pergi balik, RM126 tunai. Murah sangat...

Setakat ini, itu kemampuan aku. Destinasi yang dekat dan mudah dikunjungi saja. Kalau boleh aku ingin berkereta ke destinasi yang aku senaraikan. Umrah memakan kos yang agak banyak, dan ianya masih di luar kemampuan aku buat masa sekarang.

Tetapi, terima kasih atas cadangan yang menarik itu. Bakal aku fikirkan caranya nanti.

Cuma tidak lepas dari aku memikirkan sesuatu yang sering aku fikir tetapi sukar hendak aku huraikan kenapa. Pertama, bila kamu membaca apa yang aku tulis ini, baca dengan fikiran yang terbuka. Kedua, ianya tidak bermaksud aku membelakangi Islam.

Orang Melayu terutamanya, selalu lebih melihat diri mereka lebih Islamik berbanding bangsa lain. Kalau tidak, mana mungkin kita sanggup memberi nama sekolah dan universiti kita dengan nama yang ada perkataan Islam seperti Kolej Islam, Universiti Islam atau Pusat Islam. 

Maka apabila fikir hendak bercuti atau melancong, ramai yang sangka cadangan membuat Umrah adalah paling baik kerana ianya mencerminkan keperibadian Islam. Jadi, ramai artis secara terbuka memberitahu seluruh media massa mengenai urusan Umrah mereka. Siap ada gambar. Memang baik melakukan Umrah. Tapi kalau kamu boleh simpan sebanyak itu duit untuk melakukan Umrah, apa kata kamu bersabar sikit dan kumpul hingga mampu menunaikan Haji saja. Kalau hendak juga menunaikan Umrah selepas itu, boleh lakukan.

Cuma, bagi aku, kalau aku ada duit lebih selepas menunaikan Haji, duit itu wajar aku bantu orang lain yang susah sebelum aku fikir hendak pergi menunaikan Umrah. Kalau sudah habis semua ikhtiar baik yang boleh kita lakukan, mungkin, kita boleh pergi Umrah.

Sebab itu aku mulakan dengan menyebut kos yang perlu untuk ke Langkawi. Bukan aku tidak boleh naik bas ke Langkawi. Tapi kos lebih kurang sama saja dengan tiket MAS, lebih baik aku naik kapal terbang. 

Berbalik kepada perkara pokok. Aku fikir, dalam memikirkan obsesi orang Melayu mengenai Umrah, ianya adalah over-rated dan tidak lebih dari perbuatan untuk menunjukkan kita lebih Islam dari orang lain di sekeliling kita. Kalau pun hendak menunaikan Umrah juga, tidak perlu diberitahu kepada sesiapa melainkan saudara terdekat. 

Cadangan Tanpa Nama supaya aku buat umrah bersama ibu bapa itu cadangan yang amat-amat baik. Cuma, biar buat masa ini aku memikirkan cara yang terbaik untuk aku hantar ibu bapa aku menunaikan Haji terlebih dahulu, kerana mereka belum pernah menunaikannya. InsyaAllah.

Bagi aku, secara personal, kemana saja kita pergi itu sendiri adalah ibadah. Melihat kebesaran Allah di tempat tersebut. Apabila aku surf internet untuk mencari gambar Rantau Abang, aku temui banyak rujukan Rantau Abang dengan penyu belimbing. Aku sendiri tidak pernah lihat dekat seekor penyu. Mana tahu kalau ada peluang bila aku ada di Rantau Abang aku boleh terserempak dengan penyu. :-) Itu juga kebesaran Allah, bukan?

Matlamat dan tujuan kita sebenarnya penting. Kalau kita pergi kesesuatu tempat untuk berhibur dan bersuka ria, itu yang kita dapat. Kalau kita pergi kesesuatu tempat untuk menghargai alam dan sifatnya, itu yang kita dapat. Pilihan itu di tangan kita.

Maaf ye, hidup ini lebih luas dari apa yang kita sering fikirkan.

Destinasi

Beberapa hari lepas aku terpandang iklan tambang murah MAS di internet. Cuma RM63 untuk ke Pulau Langkawi. Pergi balik, RM126 tunai. Murah sangat. Aku sudah berkira-kira hendak menempah dan pergi di pertengahan Disember nanti. Atau selewat-lewatnya, Januari tahun depan.

Kemudian terdetik di hati ini, Langkawi sudah tiga kali aku kesana. Takkan dalam masa setahun dua ini akan berubah apa-apa.

Ada beberapa tempat di Semenanjung Malaysia ini yang langsung aku tidak pernah jejak, atau aku pernah pergi suatu masa dulu sewaktu aku masih kecil dan sehingga kini aku tidak pernah kembali. Aku mahu senaraikan di sini:


Rantau Abang - Pertama kali dan terakhir aku kesana seingat aku pada tahun 1983, sewaktu berusia 8 tahun. Aku ikut rombongan keluarga dan arwah Tok Wan ke Kuala Terengganu menjenguk Pak Ngah yang masa itu bekerja sebagai pegawai polis di Kuala Terengganu. Kami sempat mandi di Rantau Abang dan seingat aku, itulah antara pertama kali aku mandi laut. Aku langsung tak takut air dan tanpa pedulikan keselamatan, aku pergi ke kawasan yang dalam sehinggalah aku tidak dapat jejak pasir lagi. Sudahlah aku langsung tidak reti berenang ketika itu, ombak pula agak kuat.

Hujung bulan ini aku akan ke Kuala Terengganu, tetapi dengan menaiki kapal terbang. Jadi, tidak mungkin aku akan ke Rantau Abang ketika itu. Kena cari waktu lain.


Pantai Merdeka - Aku hampir setiap hari dengar lagu Cinta Di Pantai Merdeka nyanyian kumpulan Tropika. Tapi sebenarnya aku memang tertarik hendak ke sana sejak dulu lagi. Sejak aku belajar di MRSM Balik Pulau. Aku cuma pernah lihat Pantai Merdeka dari puncak Gunung Jerai sewaktu mendaki gunung tersebut kira-kira 5 tahun lalu. Entah betul pantai yang aku nampak itu pantai Merdeka aku bukan.


Teluk Batik/Teluk Rubiah - Padahal aku selalu ke Manjung dan baru beberapa bulan lepas aku ke Lumut (Lumut sudah aku potong dari senarai tempat yang aku mahu pergi/kembali). Aku langsung tidak pernah ke sana. Keluarga aku sendiri pun pernah sampai sana.

Aku tahu, setakat yang aku senaraikan ini, semuanya pantai. Ada beberapa tempat lagi yang aku mahu senaraikan.

  1. Pulau Pangkor - Orang Johor di pejabat ini pun pernah sampai sana. Aku orang Perak masih tercari-cari masa hendak ke sana.
  2. Fraser Hill - Aku sudah mula bosan dengan Cameron Highlands. Jadi Fraser Hill pula jadi sasaran aku untuk aku jelajah tanah tinggi. Aku tahu Fraser Hill jauh lebih bosan dari Cameron Highlands. Tapi sekurang-kurangnya aku tidak perlu pergi ke sana setiap bulan seperti aku pergi ke Cameron Highlands setiap bulan sekarang!
  3. Bukit Maxwell/Bukit Larut - Padahal ianya terletak di Taiping saja, bersebelahan dengan Kuala Kangsar. Aku sudah entah berapa kali berada di kaki bukit Larut. Naik ke atas cuma RM4 dengan Jeep yang disediakan. Paling cemburu adalah melihat gambar-gambar ayah aku sekitar tahun 60an di puncak Bukit Larut. Cuma aku tak dapat bayangkan ada lagi kabus sejuk di atas bukit tersebut seperti dalam koleksi gambar ayah aku.
  4. Mersing - Entah, aku rasa aku perlu pergi ke sana suatu hari nanti. Ada sesuatu yang menarik mungkin.
  5. Coral Beach - Arwah Kak Nor pernah menyebutnya sebagai pantai paling cantik di Pahang. Aku masih tercari-cari di mana letaknya pantai tersebut. Kamu orang Pahang tahu di mana?
  6. Taman Negara - Sebelah Pahang. Aku pernah ke sana mengikut sebelah Kelantan di Kuala Koh. Tapi sebelah Pahang aku belum pernah pergi.
  7. Jeli - Pelik? Bukan apa, kali terakhir aku kesana adalah ketika aku berusia 9 tahun. Ketika itu cuma pekan kecil di penghujung Lebuhraya Timur-Barat. Dengar cerita sekarang ianya sudah besar dan moden. Jadi aku perlu tengok. Kemudian, alang-alang kesitu, aku mahu ke Gua Gunung Reng.
  8. Kota Tampan - Ini lagi satu tempat yang padahal amat-amat dekat dengan Kuala Kangsar. Tempat arkeologi berhampiran Lenggong ini sudah dikunjungi oleh keluarga aku. Aku sendiri yang suka berjalan ini masih belum sampai. Aneh rasanya.
  9. Kuching - Aku bakal pergi di pertengahan November ini, insyaAllah.
  10. Sabah - Satu-satunya negeri yang belum aku sampai.
Kalau hendak aku senaraikan, memang banyak tempat yang aku mahu pergi; Tioman, Redang, Muar dan banyak lagi. Tapi cukuplah 10 itu dulu.

Kamu mahu ikut?

Baju Melayu Oren



Empat tahun aku tidak beli/buat baju melayu baru untuk Hari Raya, minggu lepas aku beli sepasang warna oren. Puncanya, tema program adalah warna oren. Aku ke Jusco mencari-cari pakaian yang sesuai. Mulanya berhajat untuk membeli sehelai baju batik berwarna oren saja. Lebih mudah. Sedang asyik berjalan-jalan mencari, aku terpandang deretan baju melayu yang sedang dijual murah dengan diskaun 50%.

Aku panggil pekerja di situ dan bertanyakan soalan yang biasa aku tanya; warna apa baju tersebut. Warna yang aku pegang itu rupanya warna kuning, agak gelap. Aku ingatkan warna oren. Ketika hendak aku beredar dari situ, dia kata yang sebelah warnanya oren. Terdiam aku. Mati-mati aku ingat warna merah.

"Sure warna oren?"
"Pasti."
"Terima kasih. Saya rabun warna."

Dia cuma mampu tersenyum. Aku lebih tersenyum kerana aku jumpa set baju melayu warna oren dengan harga RM49.90, selepas diskaun 50%. Tambahan pula aku ada kupon diskaun Jusco sebanyak RM20 (walau sebenarnya aku ada kupon RM60), jadi aku guna kupon itu untuk murahkan lagi kos aku. Kos akhir yang aku perlu bayar, cuma RM29.90 untuk sepasang baju melayu berwarna oren. Murah. Aku kemudiannya mencari songkok dan samping yang kedua-duanya entah berapa tahun aku tidak pernah ada dan pakai. Memang tiada di Jusco. Agak kecewa tetapi tidak mengapa, aku boleh jadikan kain pelikat sebagai samping. Songkok tidak perlu.

Aku kemudiannya ke kedai gunting rambut, kononnya hendak menggunting rambut yang semakin panjang dan serabai. Tukang gunting sedang berehat. Jadi aku berjalan-jalan di sekitar kedai yang berhampiran. Mulanya mencari ubat di farmasi berhampiran. Kemudian aku tersedar ada sebuah kedai menjual pakaian dan peralatan melayu/Islam. Ada samping dan songkok. Rezeki aku. Aku dapatkan songkok dan samping dengan harga RM40 semuanya. Lengkap set baju melayu aku dengan harga cuma RM70 saja. Puas hati.

Malam majlis itu, dengan penuh bergaya aku mengenakan set baju melayu untuk pertama kalinya sejak sekian lama. Aku juga sudah lupa cara hendak memakai samping. Biarlah, asal jadi. 

Ralatnya, hampir sepanjang majlis, aku berada di belakang tabir bertugas sebagai penjaga slaid untuk citation. Namun, sempat juga aku berjalan-jalan di luar dan bertegur sapa dengan ramai orang. Sempat juga orang menjemput aku bergambar dengan mereka.

Selepas ini, entah bila pula aku akan beli baju melayu baru. Tidak mungkin dalam masa terdekat, melainkan aku berkahwin. Juga tidak mungkin dalam masa terdekat, kerana aku masih mencari. Hahaha.

2.11.08

Tukar Template

Aku sedang dalam proses mengubah template blog ini. Maaf atas kekeliruan kamu.

Beberapa Jam Kemudian

Selesai proses awal mengubah template blog ini. Apa yang berubah? Tidak banyak sangat. Tetapi sebenarnya aku sudah tukar kod-kod html kepada xml menggunakan template yang diperolehi dari internet. Aku ubah sedikit penampilan agar sesuai dengan web aku. Banner itu masih dalam proses 'designing' - (apa ye perkataan sesuai dalam Bahasa Malaysia?), jadi aku letakkan gambar sementara waktu.

Paling jelas adalah penggunaan font. Aku menggunakan font "Candara" yang ada tersedia dalam Microsoft Windows Vista sebagai font asas. Akan timbul masalah kalau ada komputer yang tidak mempunyai font tersebut, tapi aku sudah sediakan list font lain yang sesuai. Cuma bagi aku, font "Candara" ini lebih lembut dan cantik.

Akan ada beberapa proses lagi sebelum aku anggap template blog ini stabil. Aku mungkin akan tukar semuanya jika aku dapati ianya tidak menarik dua tiga hari kemudian. Jadi, maaf sekali lagi atas kekeliruan kamu.

Sudah lama blog ini tidak ditukar penampilan...