Aku pernah cerita mengenai gerai roti canai di Cameron Highlands yang menjadi kegemaran aku. Aku bukanlah peminat atau suka makan roti canai. Dulu mungkin, sekarang tidak. Malah, amat-amat jarang aku makan roti canai. Kecuali kalau di Cameron Highlands. Gambar atas adalah gerai dan kedai yang menjual roti canai yang aku maksudkan, terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands. Terletak sebaris dengan stesen teksi dan berhadapan dengan Starbuck, Cameron Highlands. Ya pelik, di Cameron Highlands pun ada Starbuck.
Roti canai tersebut tidaklah sesedap mana. Biasa saja. Namun, bila petang setelah seharian menjalankan tugas, roti canai dan teh/kopi/nescafe pasti menjadi sedap. Makan dan minum sambil duduk di meja dan kerusi batu semeter dari tepi jalan dalam suasana Tanah Rata yang semakin sejuk menjelang senja, ecstasy.
Cuma kamu tidak perlu cuba laksa Penang di situ. Aku boleh sahkan ianya tidak sedap. Kuahnya agak cair dan kurang isi. Masa mula-mula aku makan dulu aku sudah kata tidak sedap. Namun ada seorang rakan pejabat kata aku tidak pandai rasa laksa dan juga katanya mungkin hari ini kurang sedap. Namun, tempohari aku cuba lagi untuk membuang sangsi aku. Memang sah tidak sedap. Malah, bos besar sendiri kata tidak sedap. Rakan pejabat tadi masih kata,
"Mungkin harini rasa kurang sedap..."
Aku tidak pasti samada dia ada saham di gerai tersebut, tapi memang tidak sedap. Aku orang Kuala Kangsar yang sudah terbiasa makan laksa Kuala Kangsar, jadi aku boleh bezakan mana laksa sedap, mana tidak.
Setakat ini di Lembah Klang aku masih belum jumpa laksa yang sedap, kecuali di Laksa Shack.
Sudah mengenai makan.
Terima kasih atas komen kamu semua di dalam post aku "Menilai Hidup Ini - Babak 5". Aku amat-amat menghargainya. Mulanya aku mahu biarkan saja orang lain menghurai maksud "sempurna" yang aku sebutkan dalam post tersebut.
Fikir-fikir balik, baiklah aku sendiri huraikan apa maksud aku. Sempurna dalam apa yang aku maksudkan bukanlah sempurna seperti maksud perkataan itu sendiri. Kerana tiada perkataan yang sesuai aku boleh guna (akibat kurang membaca kamus), aku guna juga perkataan sempurna dalam erti kata, sudah cukup baik untuk aku. Atau sudah cukup baik buat orang lain. Kalau hendak aku guna perkataan "cukup baik", kurang menarik bunyinya.
Jadi ayat aku yang berbunyi
"Kalaulah aku sempurna sepertinya..."
bagi aku sebenarnya bermaksud,
"Kalaulah aku ini sudah cukup baik buat dirinya seperti dia sudah cukup baik untuk aku..."
begitu lebih kurang.
Tapi yang lebih pendek itu penuh dengan emosi, bukan? Ayat panjang itu seperti terlalu memaksa. Ianya lebih kurang sama teknik seperti ayat dalam bahasa Inggeris,
"I will always love you", dan di balas
"And I, you"
Memang pelik kalau sekali kita dengar. Tapi lebih kurang begitu kaedahnya. Seperti kita mengulang apa yang orang lain beritahu kita secara malas. Tapi penuh emosi. Mungkin salah tafsiran aku.
Seterusnya. Kalau hendak aku menulis sebuah novel pun, aku tidak mungkin mampu menulis mengenai cinta. Kerana kali terakhir aku alaminya adalah 10 tahun yang lalu. Aku tidak lupa tapi aku tak fikir aku mampu menulis mengenainya.
Aku berangan-angan ingin menulis seperti jalan cerita Babel, Lost In Translation atau Forrest Gump. Mengenai kehidupan. Cuma aku masih tercari dari mana hendak aku mula.
Laptop sudah ada, insyaAllah aku akan mulakan dalam masa yang terdekat.
2 comments:
Apa kata kamu buat karya dokumentari juga...dengan gambar..terangkat beb...tapi kena cari sponsor dulu....
ya betul.. mmg di Lembah Klang masih belum jumpa laksa yang sedap.. bila balik kg, laksa yg mak masak jgk yg paling sedap.
p/s: belum pernah lg rasa laksa kuala. tp mmg biasa dengar org kata laksa kuala sedap banget..
Post a Comment