4.11.08

Destinasi

Beberapa hari lepas aku terpandang iklan tambang murah MAS di internet. Cuma RM63 untuk ke Pulau Langkawi. Pergi balik, RM126 tunai. Murah sangat. Aku sudah berkira-kira hendak menempah dan pergi di pertengahan Disember nanti. Atau selewat-lewatnya, Januari tahun depan.

Kemudian terdetik di hati ini, Langkawi sudah tiga kali aku kesana. Takkan dalam masa setahun dua ini akan berubah apa-apa.

Ada beberapa tempat di Semenanjung Malaysia ini yang langsung aku tidak pernah jejak, atau aku pernah pergi suatu masa dulu sewaktu aku masih kecil dan sehingga kini aku tidak pernah kembali. Aku mahu senaraikan di sini:


Rantau Abang - Pertama kali dan terakhir aku kesana seingat aku pada tahun 1983, sewaktu berusia 8 tahun. Aku ikut rombongan keluarga dan arwah Tok Wan ke Kuala Terengganu menjenguk Pak Ngah yang masa itu bekerja sebagai pegawai polis di Kuala Terengganu. Kami sempat mandi di Rantau Abang dan seingat aku, itulah antara pertama kali aku mandi laut. Aku langsung tak takut air dan tanpa pedulikan keselamatan, aku pergi ke kawasan yang dalam sehinggalah aku tidak dapat jejak pasir lagi. Sudahlah aku langsung tidak reti berenang ketika itu, ombak pula agak kuat.

Hujung bulan ini aku akan ke Kuala Terengganu, tetapi dengan menaiki kapal terbang. Jadi, tidak mungkin aku akan ke Rantau Abang ketika itu. Kena cari waktu lain.


Pantai Merdeka - Aku hampir setiap hari dengar lagu Cinta Di Pantai Merdeka nyanyian kumpulan Tropika. Tapi sebenarnya aku memang tertarik hendak ke sana sejak dulu lagi. Sejak aku belajar di MRSM Balik Pulau. Aku cuma pernah lihat Pantai Merdeka dari puncak Gunung Jerai sewaktu mendaki gunung tersebut kira-kira 5 tahun lalu. Entah betul pantai yang aku nampak itu pantai Merdeka aku bukan.


Teluk Batik/Teluk Rubiah - Padahal aku selalu ke Manjung dan baru beberapa bulan lepas aku ke Lumut (Lumut sudah aku potong dari senarai tempat yang aku mahu pergi/kembali). Aku langsung tidak pernah ke sana. Keluarga aku sendiri pun pernah sampai sana.

Aku tahu, setakat yang aku senaraikan ini, semuanya pantai. Ada beberapa tempat lagi yang aku mahu senaraikan.

  1. Pulau Pangkor - Orang Johor di pejabat ini pun pernah sampai sana. Aku orang Perak masih tercari-cari masa hendak ke sana.
  2. Fraser Hill - Aku sudah mula bosan dengan Cameron Highlands. Jadi Fraser Hill pula jadi sasaran aku untuk aku jelajah tanah tinggi. Aku tahu Fraser Hill jauh lebih bosan dari Cameron Highlands. Tapi sekurang-kurangnya aku tidak perlu pergi ke sana setiap bulan seperti aku pergi ke Cameron Highlands setiap bulan sekarang!
  3. Bukit Maxwell/Bukit Larut - Padahal ianya terletak di Taiping saja, bersebelahan dengan Kuala Kangsar. Aku sudah entah berapa kali berada di kaki bukit Larut. Naik ke atas cuma RM4 dengan Jeep yang disediakan. Paling cemburu adalah melihat gambar-gambar ayah aku sekitar tahun 60an di puncak Bukit Larut. Cuma aku tak dapat bayangkan ada lagi kabus sejuk di atas bukit tersebut seperti dalam koleksi gambar ayah aku.
  4. Mersing - Entah, aku rasa aku perlu pergi ke sana suatu hari nanti. Ada sesuatu yang menarik mungkin.
  5. Coral Beach - Arwah Kak Nor pernah menyebutnya sebagai pantai paling cantik di Pahang. Aku masih tercari-cari di mana letaknya pantai tersebut. Kamu orang Pahang tahu di mana?
  6. Taman Negara - Sebelah Pahang. Aku pernah ke sana mengikut sebelah Kelantan di Kuala Koh. Tapi sebelah Pahang aku belum pernah pergi.
  7. Jeli - Pelik? Bukan apa, kali terakhir aku kesana adalah ketika aku berusia 9 tahun. Ketika itu cuma pekan kecil di penghujung Lebuhraya Timur-Barat. Dengar cerita sekarang ianya sudah besar dan moden. Jadi aku perlu tengok. Kemudian, alang-alang kesitu, aku mahu ke Gua Gunung Reng.
  8. Kota Tampan - Ini lagi satu tempat yang padahal amat-amat dekat dengan Kuala Kangsar. Tempat arkeologi berhampiran Lenggong ini sudah dikunjungi oleh keluarga aku. Aku sendiri yang suka berjalan ini masih belum sampai. Aneh rasanya.
  9. Kuching - Aku bakal pergi di pertengahan November ini, insyaAllah.
  10. Sabah - Satu-satunya negeri yang belum aku sampai.
Kalau hendak aku senaraikan, memang banyak tempat yang aku mahu pergi; Tioman, Redang, Muar dan banyak lagi. Tapi cukuplah 10 itu dulu.

Kamu mahu ikut?

3 comments:

Anonymous said...

Nak ikut! Nak ikut! (melalui blog ni aje)

frossonice said...

:D Jom!

Anonymous said...

Bro..apa kata kamu gi umrah...temankan mak ayah ke...sekadar cadangan.....

Post a Comment