23.11.08

Aku Di Kuala Terengganu - 2

Dua saja post? Terlalu padat jadual mesyuarat hingga setiap malam habis lewat malam. Aku terlalu penat kemudiannya hendak berjalan 100 meter ke Kafe Cyber Orange (itulah namanya). Malam ini saja aktiviti bebas. Esok kembali di Putrajaya. Kalau malam di Kuala Terengganu menarik seperti Kuala Lumpur, okay juga. Tapi ini Kuala Terengganu, yang meriah, cuma untuk kaki pancing. Aku bukan seorang darinya.

Sepanjang hujung minggu aku disajikan dengan persembahan dari setiap Bos Besar Bahagian/Negeri dan Bos Besar Jabatan. Mereka menyediakan pelan perancangan strategik jabatan untuk tahun hadapan. Berapa banyak jabatan kamu melakukan perkara yang sama? Aku pasti tidak banyak. Kalau ada pun, mungkin di peringkat paling tinggi. Kalau kamu, seorang yang berpangkat rendah seperti aku dapat berpeluang menghadiri mesyuarat sebegini, walau sekadar sebagai seorang urus setia, tumpukan perhatian. Kerana mesyuarat ini menentukan hala tuju organisasi kamu. Apa yang telah berlaku dan apa yang dirancang akan berlaku. Sedikit sebanyak kamu juga boleh merancang perjalanan kerjaya kamu.

Bagaimana? Contohnya, pengisian kekosongan jawatan di pangkat yang lebih tinggi. Orang bising kepada aku kerana aku tidak memohon. Setelah menghadiri mesyuarat, aku sedar aku tidak perlu terlalu risau (bukan tidak risau langsung) mengenainya. Masih banyak jawatan kosong tersebut yang boleh aku rebut tahun hadapan, insyaAllah. Peluang masih ada dan masih besar. Jadi, tahun depan adalah tahun aku sasar untuk memohon kenaikan pangkat.

Masalahnya cuma satu; aku tidak suka mengarah orang. Aku tahu aku akan jadi terlalu tegas akibat darinya. Aku lebih selesa buat kerja sendiri. Kerja aku maksudnya. Takpelah, sudah sampai masa aku fikir arah kerjaya. Takkan hendak duduk di tempat sama sepanjang masa. Selagi ada peluang, aku akan cuba. Tapi aku pastikan yang aku benar-benar yakin aku boleh lakukannya. Kalau tidak tertanggung kerja nanti, susah pula. Betullah orang cakap, peluang naik pangkat tu ada. Tapi adakah aku bersedia? Adakah kamu juga bersedia dan mampu melakukannya jika diberi pangkat dan tanggungjawab kerja?

Aku selalu hadiri kursus Team Building jabatan. Ada pernah aku hadiri sesi yang melibatkan kakitangan yang baru naik pangkat. Aku dapati ramai antara mereka yang sebenarnya tidak layak dari segi mental untuk pegang jawatan tersebut. Bila kerja nanti, mereka akan hadapi masalah untuk agihkan tugas kepada sub-ordinat mereka. Mereka juga hadapi masalah untuk menjadi 'leader'. Tapi mereka mahu juga naik pangkat. Aku bukan tak mahu jadi seperti mereka. Aku perlu pasti samada aku bersedia untuk bekerja dalam suasana baru.

Aku mahu, bila aku naik pangkat, aku tidak perlu risau mengenai aku perlu pergi latihan, kursus atau belajar beberapa lama untuk mahir dalam bidang tugas aku. Aku mahu bila aku naik pangkat nanti, aku sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Aku sudah bersedia untuk terus menjalankan tugas mengikut suasana persekitaran dan suasana kerja yang diperlukan. Aku mahu jadi efisien.

Kamu jangan jadi terlalu melayu untuk menasihati aku agar "slow-slow", relax, masa masih banyak dan lain-lain lagi konsep pemikiran melayu. Tak berbaloi.

Melalui mesyuarat yang aku lalui ini juga, aku boleh mengenal pasti sifat-sifat dan kerakter bos-bos aku. Bagaimana? Pemerhatian. Lebih lanjut? Rahsia.

Esok balik. Penerbangan jam 10.05 pagi. Mahu jemput aku di KLIA? Terima kasih saja. :-) Aku tetap hargainya. Mungkin bas jabatan sudah menunggu nanti.

Selamat Malam.

1 comment:

kaplabot said...

mari kite naik pangkat ...

Post a Comment