26.11.08

Menilai Hidup Ini - Babak 6

"Kenapa dia?"
"Entah. Saya tak tahu kenapa."
"Mungkin kerana dia merupakan cabaran buat awak. Mungkin kerana awak mahu menakluki dirinya. Jauh di hati, awak mahu mengubah dia menjadi lebih baik."
"Adakah begitu sebenarnya?"
"Saya tidak tahu. Saya cuma mengandaikannya."

Lama dia berfikir. Renungan matanya begitu jauh melintasi ruang.

"Ada benarnya apa yang awak cakap tu."
"Saya rasa saya boleh ubah sikap dan perangai dia..." sambung dia lagi.

Aku renung matanya. Jelas berat sekali apa yang ada di hadapannya. Namun, mengenali dia, aku tahu dia tetap mahu melakukannya.

"Manusia sebenarnya begitu."
"Bagaimana?"
"Manusia sering ingin cuba menawan sesuatu yang paling sukar dalam hidupnya."
"Betul?"
"Selama ini saya selalu lihat, perempuan akan sering tertarik dengan lelaki yang penuh kisah hitam dan noda. Kerana dalam hati mereka, mereka fikir mereka boleh ubah sikap lelaki tersebut."
"Erm..."
"Tinggallah lelaki yang sering perempuan anggap baik keseorangan dan sentiasa mengharap. Mereka ini sebenarnya yang selalu ada di hadapan awak. Sanggup lakukan apa saja untuk awak. Tetapi akhirnya kita cuma nampak baiknya... Kasih dia tidak kesampaian."

Kami terdiam dalam suasana hingar bingar kafe.

"Saya ni perempuan, awak. Takkan saya hendak cari timba. Saya ada sifat malu."
"Kalau orang tu mahukan saya, sepatutnya dia beritahu." Tambah dia lagi.

Orang itu tiada kudrat hendak melakukannya, fikir aku.

"Akhirnya orang seperti yang awak sebut tadi saja yang sering berterus terang kepada saya."
"Ya, mereka sering berani melakukannya."

Hidup ini, sering aku alami begitu.

Sering dikatakan terlalu baik. Teramat baik. Sedang aku tidak bermaksud sedemikian. Aku bukanlah baik sebegitu. Aku banyak cacat dan celanya. Tetapi mungkin sering terselindung dengan tingkah perbuatan aku. Aku tidak tahu.

Aku tidak mahu persoalkan kenapa perempuan sering tertarik dengan lelaki ekstrem. Namun kalau melihat sifat haiwan, begitu jua keadaannya. Bukan menyamakan manusia dan haiwan, cuma sering terdapat persamaan, secara kita tidak sedari. Mungkin lelaki sebegitu sebenarnya adalah Alpha Male yang dominan. Aku cuma pengikut atau mungkin, cast away.

"Terima kasih, awak. Awak buka mata saya untuk melihat dengan lebih jelas."
"Saya cuma bantu setakat mampu."
"Saya yakin saya akan dapat mengubah cara dan gaya hidupnya..."
"Iya lah..."

Begitu sering akhirnya.

No comments:

Post a Comment