Semoga dipanjangkan umur dan dirumahkan rezeki. Saya tak pernah tau umur awak, kan. Tidak mengapa. Janji awak akan sentiasa gembira. Awak akan sentiasa damai dan sentiasa dalam perlindungan Allah. Senyum selalu.
====
Tidak, dia tidak pernah baca blog ini. Aku tak fikir dia pernah tahu ada blog ini. Aku pernah kirim URL blog ini melalui SMS. Mungkin dia pernah berkunjung, aku tidak tahu. Tetapi kalau pernah, aku sebenarnya mengulangi setiap perbualan aku dengannya.
Tidak perlu juga aku beritahu siapa dia, kecuali seorang dua yang sudah mengenali dia. Aku mahu sembunyikan dari kamu semua. Walau tidak sepenuhnya. Maafkan aku kerana melakukannya.
Tiada apa-apa antara kami berdua. Masih terlalu jauh untuk memikirkan perkara itu.
Suatu ketika dahulu, semasa awal perkenalan, aku fikir aku seperti perlu mendaki tembok yang amat tinggi. Mana mungkin aku boleh meluahkan hati ini kepada orang yang sepertinya. Kamu lihat dia di luar sana dan kamu lihat aku dan kamu akan berkata, tidak mungkin. Begitu juga yang aku rasa dan fikirkan.
Sehinggalah aku diberitahu dia sebaliknya. Sehinggalah dia membuka sedikit ruang dan aku melihatnya. Begitu rupanya suatu rasa yang telah aku lupa sejak sekian lama. Kalau 10 tahun lalu ianya hilang, kebelakangan ini aku seperti menemuinya semula. Aku tersenyum sendirian. Ya, harapan yang amat tinggi, lebih dari yang aku mampu. Tetapi tidak mustahil, bukan? Kerana dia sendiri sekurang-kurangnya memberi sedikit harapan. Tidak mengapa. Aku tidak terlalu mengharap. Cukuplah sekadar tahu, aku diberi sedikit ruang. Cukup.
Selebih dari itu, terpulang kepada keadaan. Namun tidak juga aku biarkan saja keadaan berlalu. Setiap detik aku akan usahakan sesuatu hingga berjaya, hendaknya. Sekurang-kurangnya aku berusaha dan tidak tunggu ianya berlalu lagi. Kerana itu yang aku lakukan dulu. Dan mereka berlalu pergi begitu saja. Sekarang aku sudah mulakan sesuatu, aku perlu habiskan. Apa jua keputusannya nanti, aku terima. Tidak lagi aku akan duduk menyesali tindakan aku yang tidak melakukan apa-apa langsung.
Realitinya, hidup ini sebenarnya tidak menarik langsung. Aku berjalan dan disekeliling aku manusia ada pasangan hidupnya dan mereka gembira. Ada yang bergaduh dan bermasam muka. Namun sekurang-kurangnya mereka masih ada seseorang untuk bergaduh dan bermasam muka. Aku menunggu tiba waktu itu nanti. Entah bila, tetapi aku tunggu.
Aku tidak mahu berjalan-jalan seorangan di mana-mana selamanya. Aku tidak mahu menonton wayang seorangan selamanya. Aku tidak mahu makan di Mcd, Carl's Jr., menunggu matahari pagi timbul dan melihat senja berlabuh dan tidur seorangan selamanya. :-)
Aku sepatutnya sedih namun aku tersenyum semasa menulis ini. Mungkin, keadaan aku ini sebenarnya tidak seteruk mana. Ada yang mahu bersama aku dan betul kata mereka, aku terlalu memilih. Cuma kalau kamu benar-benar melihat dia, kamu akan faham mengapa.
Aku suka melihat senyuman dan dia penuh dengan senyuman. Aku suka melihat damai dan dia begitu mendamaikan. Aku suka melihat ceria dan dia adalah gembira dan bahagia. Aku suka melihat keindahan dan dia itu indah. Aku tahu kamu tersenyum. :-)
Ahh, alangkah baik kalau dia membaca ini semua. Kerana cara ini paling mudah untuk aku luahkan segalanya. Aku yang tidak pandai berkata-kata dengan suara, hanya jari jemari ini yang begitu mudah untuk melakarkan isi hati ini. Sebenarnya, memang hendak sangat aku tunjukkan ini semua kepadanya. Lebih mudah bagi aku. Kalau di hadapannya, mata aku cuma di bibirnya yang sentiasa berkata-kata dan aku sendiri kelu. Kamu tahu rasanya, ketika berhadapan dengan seorang itu yang kamu begitu... suka. Sejuk, kelu dan dungu.
Hidup ini sebenarnya indah.
4 comments:
Hmm so sweet! Kalau dia baca, mesti dia terharu.
Idan, semoga awak berjaya. Semoga awak gembira.
-ayp
lau ler sy orgnyer..pasti sy akan tersentuh hati membaca tulisan bisu awk ni..sy turut tersenyum..ade kalanyer sy merasakan awk juga terlalu lama berseorangan seperti sy.
lau ler sy orgnyer..pasti sy akan tersentuh hati membaca tulisan bisu awk ni..sy turut tersenyum..ade kalanyer sy merasakan awk juga terlalu lama berseorangan seperti sy.
:) Terima kasih. Hakikatnya orang yang ditulis di sini sudah berkahwin. Jadi, tidak mengapalah.
Saya tak pernah nampak awak di sini.
Post a Comment