4.5.09

Buat Kerjalah!

Malam baru tiba dari kampung. Jalan agak sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu kembali ke Ibu Kota. Kalau awal dulu kerajaan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam; bina perkhidmatan kereta api laju contohnya, tidaklah teruk sangat sesak jalanraya.

Mungkin untungnya tidak nampak segera atau untungnya bila ada kereta api laju ini tidak menyeluruh. Tol boleh untung banyak pihak, mungkin. Penjual kereta, peniaga stesen minyak, pemilik lebuhraya, pemotong rumput, penjual makanan dan minuman di kawasan rehat dan rawat, pemandu bas, pengusaha bas (haram atau halal), JPJ, Polis dan banyak lagi. 

Kalau ada perkhidmatan kereta api laju, mungkin banyak kerja-kerja tersebut tidak dapat dilakukan menyebabkan ramai orang tiada kerja, mungkin. 

Juga, kalau diberi pilihan kepada ramai orang, mereka akan lebih rela naik kereta api laju ala TGV atau Shinkasen berbanding memandu dalam keadaan sesak di jalanraya. Walaupun landasan kereta api elektrik sudah siap dari KL ke Ipoh, namun dengarnya kelajuan kereta api sekadar 160km/j. Jadi perjalanan dari KL ke Ipoh mungkin mengambil masa hampir 3 jam. Apalah sangat 3 jam tu kan? Tapi kalau orang yang biasa naik bas dari KL ke Ipoh, mereka tahu bas boleh sampai dalam masa kurang 3 jam! Jadi, apa hal pulak kereta api yang ada jalan sendiri lebih slow?

Tapi, kalau melihat keadaan sekarang ni, rasanya lambat lagilah kita hendak menikmati perkhidmatan awam yang lebih efisien dan maju. Kalau sekadar hendak melepas batuk di tangga atau sekadar hendak tunjuk kita pun buat, bolehlah. 

For once, aku harap kerajaan yang ada sekarang lebih serius menangani masalah pengangkutan awam. Masalah dengan ahli politik kita adalah terlalu banyak bercakap dan berjanji tetapi amat-amat kurang menunaikan janji atau bekerja. Mereka boleh janjikan dunia kepada kita, tapi bila tiba masa, mereka lebih senang berada di padang golf atau mengekori PM ke sana dan ke mari tanpa arah tujuan. Ada tujuan, cuma satu; membodek.

Juga, kalaulah boleh mereka berhenti bina lebuhraya dan mula bina landasan keretapi elektrik untuk menghubungkan orang dengan destinasi, itu lebih bagus. Lebuhraya tidak langsung menyelesaikan masalah. Menimbulkan masalah kemudian hari nanti, adalah. Tambah-tambah kadar tol. Tapi rasanya orang amat jarang komplen kalau harga tiket kereta api naik. Orang masih tetap akan guna. 

Ya, aku adalah antara orang yang memperjuangkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien dan baik. Walaupun aku menggunakan kereta untuk ke pejabat setiap hari, alasannya adalah kerana tiada cara yang mudah bila menggunakan perkhidmatan awam dari rumah ke pejabat. Aku perlu naik dua buah bas untuk sampai ke pejabat sedangkan perjalanannya cuma lebih kurang 20KM. Malah, aku terpaksa keliling dunia dan menunggu bas seawal 6.30 pagi untuk sampai ke pejabat 2 minit sebelum jam 8.00 pagi. Sejam setengah aku bazir masa dengan menunggu dan menaiki bas. Itu adalah pembaziran. Kalau ada bas terus dari kawasan kejiranan aku ke Putrajaya, aku tanpa berlengah akan menggunakannya.

Buat masa sekarang, aku rasa ahli politik kita lebih suka berkira-kira berapa juta perlu dihabiskan untuk pilihanraya kecil seterusnya. Bebal.

2 comments:

IRA said...

setuju. boleh selalu shopping di kl. heee

frossonice said...

Atau minum makan-makan di Ipoh. Hahaha...

Makan apa sajalah.

Post a Comment