25.5.09

Menilai Diri Ini

10 minit terlelap dan aku terjaga dari tidur. 10 minit. Itu sudah tentu rekod peribadi untuk tidur paling sekejap paling pendek. Biasanya tidur sekejap aku akan berlarutan sampai pagi.

Lalu aku bangun dan menulis ini. Aku penat bicara pasal kerja. Ianya takkan selesai sehingga aku pencen nanti. Melainkan aku pergi kerja, punch card dan balik rumah, tidur. Jadi aku takkan ceritakan pasal kerja. Aku juga tidak akan ceritakan pasal fotografi kerana sudah beberapa hari aku tidak melakukannya.

Sudah lama aku tidak berbual-bual di YM dengan seseorang. Kalau dulu, sewaktu Asyikin masih suka berjaga malam, kami akan berbual hingga menjelang subuh. Kini dengan keadaan dia yang sudah berkahwin dan sarat mengandung, tidur adalah perkara yang lebih baik dilakukannya. 

Sekarang, sudah beberapa hari aku sering berbual lama dengan seorang yang baru aku kenali. Memang aku tidak reti berbual. Kaku dan sering berulang-ulang. Aku tidak tahu apa yang hendak diperkatakan atau apa yang hendak dicerita. Aku lebih selesa orang bertanya dan aku akan ceritakan hasil dari soalan mereka. Tapi kalau hendak mula bercerita sendiri, aku tak tahu.

Nasib dia juga faham bagaimana sifat aku. Mungkin kerana kerjayanya membolehkan dia mengenali pelbagai ragam manusia. Itu menyebabkan perbualan jadi tidak terputus dan kaku. Cuma aku masih belum bijak berbicara.

Aku memang pendiam. Aku lebih selesa berdiam diri dan memandu kereta berseorangan menuju destinasi entah di mana daripada berdiri dikalangan sekelompok manusia. Aku lebih selesa menunggu senja berlabuh. 

Dalam keadaan ini, banyak perkara yang aku tinggalkan atau tertinggal. Atau ditinggalkan. Bila aku berpaling untuk melihatnya kembali, barulah aku sedar apa yang telah hilang dalam hidup ini. Kalau hendak rasa menyesal pun, aku tak tahu atas sebab apa. Jadi aku biarkan saja kebanyakkan darinya berlalu pergi. C'est la vie. 

Ada waktunya aku sedar, aku sedang memiliki sesuatu dan aku tidak mahu lepaskannya. Namun aku tidak pasti sama ada tindakan aku itu betul atau mahukah keadaan biarkan aku terus menggenggamnya atau pun menerima aku. Aku benar-benar tidak tahu dan aku tidak tahu bagaimana caranya. 

Itulah saat paling mengecewakan. Terasa mahu saja aku marah pada diri sendiri tetapi untuk apa? Kerana akhirnya, ianya tetap begitu. Mungkin untuk kamu, aku boleh tambah satu lagi sifat aku; aku mudah biarkan sesuatu perkara berlalu, biar betapa berharga pun ianya.

Ya, kamu boleh cakap itu. Aku takutkan kegagalan. Jadi aku biarkan saja segalanya berlalu agar aku tidak terasa gagal. Aku cuba menjadi neutral dalam erti kata sebenar. Tanpa rasa dan tawar. Aku biarkan saja manis-manis dalam hidup ini berlalu pergi. Aku cuma duduk di satu sudut dan memerhatikannya.

Kalau kamu tiba di tahap aku ini, kamu pasti akan meronta kebosanan.


2 comments:

normaya said...

memang kat tahap tu dah pun...sabar je la...

Ahmad Sharidan said...

:-)

Post a Comment