Sebenarnya aku masih sibuk. Mungkin sehingga pertengahan Jun nanti. Kemudian ada ruang untuk bernafas sekejap sebelum kembali sibuk dengan program tahunan yang lain. Tadi, hampir jam 10 malam baru keluar dari pejabat. Itu pun kerana aku keseorangan dalam ruang pejabat yang besar dan ianya membosankan. Takut? Tidak. Bunyi bising projek pembinaan di sebelah bangunan tidak menyebabkan suasana menjadi sunyi. Melainkan kalau tiba-tiba udara bertukar menjadi sejuk dan bunyi di luar tingkap tidak kedengaran. Heh.
Orang Putrajaya tahu cerita-cerita di sini.
Serius, motivasi aku untuk bekerja amat kurang sekarang. Begitu juga untuk berfotografi. Balik di kampung tempohari, hanya beberapa ketika saja aku rakam dengan lensa kamera. Jam Besar yang aku janjikan kepada IRA pun tidak aku rakam. Jangan marah, ya.
Sudah beberapa ketika juga aku hadir lewat di pejabat dengan pelbagai alasan. Kali terakhir aku lakukan sebegini adalah beberapa tahun lalu ketika aku terumbang-ambing di tempat bertugas lama. Kali ini bukan kerana tempat bertugas. Ianya lebih disebabkan suasana kerja sekarang. Agak terasing dan masih aku cuba untuk serasikan diri.
Aku masih komited. Itu pasti. Hasil kerja aku masih tetap sama. Malah, kalau hendak difikirkan, usaha aku ada sedikit lebih dari yang biasa. Cuma, suasananya. Mungkin kerana sahabat baik aku, Aliah sudah berpindah ke Johor Bahru. Mungkin kerana Bos Besar sudah bertukar dan tiada lagi aku seorang "Tok Guru" yang sering mengajar falsafah hidup/kerja dan teknik-teknik fotografi. Atau mungkin aku perlukan "rehat" yang secukupnya. Rehat dalam erti kata lain, bercuti di tempat peranginan, mungkin.
Aku sudah menyuarakan hasrat ini kepada beberapa orang. Ada yang mencadangkan Langkawi sebagai destinasi cuti. Ada yang mencadangkan Sabah.
Kamu tahu apa yang aku ingin lakukan?
Aku mahu bercuti lama, sediakan wang yang cukup, sediakan sebuah kenderaan yang dalam keadaan baik (bukan Kancil aku), sebuah kamera dengan lensa yang cukup, sebuah laptop untuk menyimpan koleksi gambar yang aku bakal rakam dan lalu aku pergi bercuti. Merakamkan ruang-ruang bisu yang indah melalui lensa kamera di daerah yang tidak pernah aku pergi. Aku mahu jelajah tepian pantai seluruh Semenanjung. Itu hasrat aku. Rakamkan waktu senja bila matahari berlabuh dan waktu fajar menyinsing dari sebalik horizon.
Tapi itu impian unggul yang mungkin amat sukar hendak dilaksana. Komitmen kerja pasti akan membataskan semua itu.
Tidak mengapa. Buat masa ini, biar aku mimpikannya dulu.
Sementara itu, esok aku masih perlu ke pejabat (dalam rona hati yang masih pudar semangatnya) dan menyiapkan kerja-kerja.
3 comments:
yup, kdg2 suasana kerja buat kita rasa serba tak kena.mcm nak lompat2 pun ada. heh
cuti2 tu mmg idea yg baik dan bunyinya mcm best jer.ambik cuti je. kalau fikir sgt pasal kerja mmg tak abis2...
Berat sangat badan ni nak melompat. Golek-golek tu bolehlah. Hehe.
Cuti rasa macam takde je ni.
How about a weekend road trip? Saya cadangkan pegi ke gua/tasik macam Tasik Bera, Tasik Chini, Taman Negara atau Gua Tempurung.
Pastu ambil gambar banyak-banyak tau :)
Post a Comment