Siang tadi semasa berkayuh, aku terdengar bunyi yang kurang menyenangkan pada basikal. Aku masih belum pasti bunyi apa, aku masih mencari punca. Kalau dulu sewaktu aku miliki sebuah basikal lumba, segala kerosakan aku baiki sendiri. Sekarang, aku akan lebih senang hantar ke kedai saja. Biar mereka yang mahir melakukannya.
Di bawah jambatan Seri Saujana
Namun, aku fikir ianya mungkin masalah kecil. Mungkin ada part yang sudah lama diminyakkan. Kalau kamu lihat posisi pelana duduk di dalam gambar di atas, nampak biasa. Sebenarnya untuk orang yang lebih kurang tinggi aku, ianya agak tinggi. Kamu terpaksa berjengket apabila basikal berhenti. Namun kedudukannya masih rendah. Aku akan naikkan lagi seat hingga tahap maksima kaki aku boleh menyentuh pedal basikal.
Di tepi padang bola sepak di Presint 5.
Aku amat berpuas hati dengan basikal ini. Walaupun ada kekurangan, tetapi aku tidak ada masalah menggunakannya setakat ini. Kayuhan lancar dan sistem gear sentiasa dalam keadaan baik. Untuk basikal awal orang yang serius mahu berbasikal, aku boleh cadangkan basikal ini. Harga yang kurang daripada RM1500 aku fikir sudah cukup okay untuk permulaan. Tidak perlu basikal yang mahal. Basikal ini cukup ringan dan selesa. Cuma saranan aku, beli seat (pelana duduk) yang lebih besar dan selesa sekiranya kamu baru hendak bermula berbasikal. Cari yang seat yang ada gel, kalau boleh. kamu akan lebih selesa. Harga agak mahal tetapi berbaloi.
Juga, kamu tidak perlukan basikal yang mempunyai absorber depan belakang. Basikal asas tanpa absorber pun sudah cukup. Tetapi kalau tulang belakang kamu kurang elok, lebih baik ambil yang ada absorber. Tidak perlu brek cakera. Brek getah biasa sudah cukup. Paling penting, mesti pakai helmet. Tiada alasan. Itu untuk keselamatan. Member aku menunggang motosikal tanpa helmet dengan kelajuan 20km/j dan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk bahu jalan. Terpaksa bedah dan buang tulang tengkorak yang pecah. Memang 20km/j tidak laju. Aku sendiri mengayuh basikal dengan purata kelajuan 25km/j. Risiko tetap ada.
Pakaian berbasikal aku yang standard. Juga pakaian bermain badminton.
Pakaian ikut keselesaan tetapi kalau boleh cari baju yang cerah supaya orang boleh nampak. Satu kelebihan bila berbasikal di Putrajaya, sepanjang jalan angin yang bertiup sungguh selesa. Tidak panas dan berasap. Jadi kalau kamu berpeluh, peluh kamu akan cepat kering. Namun begitu, pakaian untuk berbasikal yang rasmi adalah mahal. Ratusan ringgit. Jadi aku cadangkan kamu cuma beli jersi bola sepak (pelbagai warna) dan seluar trek 3/4. Kamu boleh dapat murah di mana-mana kedai sukan. Aku pakai seluar trek 3/4 kerana sedikit faktor keselamatan. Aku tidak mahu seluar trek tersangkut di rantai basikal. Aku pakai Crocs untuk hiking kerana ianya melitupi keseluruhan kaki. Aku tahu ianya mahal. Kamu boleh pakai apa saja kasut asal selesa dan melindungi kaki.
Jangan lupa botol air. Kalau kamu beli botol air di kedai basikal atau pasaraya, harganya mungkin dalam lingkungan RM20, mungkin lebih murah. Isi air apa yang kamu suka. Kamu perlukan air sewaktu berbasikal. Itu penting. Kalau macam aku, aku cuma letak air mineral botol plastik 500ml dan ianya sudah mencukupi.
Selebihnya, enjoy berbasikal. Itu paling penting.
No comments:
Post a Comment