29.4.10

Suatu Penghargaan Daripada Bos

Kelmarin apabila aku menyiapkan slaid persembahan majlis perpisahan untuk bos, aku tidak jangka kesan daripadanya begitu mendalam bagi sesetengah orang.

Petang tadi semasa aku berikan salinan animasi flash tersebut kepada bos yang diraikan kelmarin, aku lihat dia begitu teruja. Kemudian, sempat juga aku mainkan flash tersebut di komputer pembantunya. Bos turut menonton. Aku nampak lihat sebak di wajahnya. Itu kesan yang aku mahukan. Bukan dari orang lain, tetapi dari dia sendiri.

Aku teruja juga melihat sebuah lukisan yang begitu besar di dalam biliknya, hasil karya seorang kakitangan pejabat yang berjiwa seni. Lukisan alir sungai yang sungguh menawan, mengingatkan aku alir sungai yang sama di Hulu Langat yang setiap bulan kami kunjungi tahun lepas. Kemudian bos bersuara.

"Dan, lukisan kalau saya nak letak harga, lebih kurang RM10,000"
"Wah, mahalnya. Tapi memang berbaloi" aku teruja.

"CD ini pula..." Sambil menunjukkan CD yang mengandungi animasi flash yang aku berikan.
"CD ini harga lebih kurang RM20,000"
"Hah? Takkan sampai begitu sekali mahal?" aku tersentak.

"Betul. Semasa di JPA dulu kami buat benda yang sama, orang cas harga lebih kurang RM20,000."
"Mahalnya..." Jawab aku ringkas. Begitu mudah buat duit sebenarnya.

"Kau ada kemahiran buat benda ni, Idan. Guna betul-betul."
"Ya."

Sungguh senang rasa hati apabila ada orang yang menghargainya. Terutama bos sendiri.

No comments:

Post a Comment