18.4.10

Siang Tadi Aku Berlawan Dengan Nafsu; Aku Kalah

Siang tadi punya cerita.

Awal pagi aku bergerak ke pejabat untuk menghadiri kursus. Aku berhenti di stesen minyak untuk membeli sarapan pagi; sanwich tuna dan telur bersama setin air teh boh madu (nanti aku ceritakan kenapa aku minum air ini). Dua benda itu sudah berjumlah 460 kalori, lebih kurang. Cukup untuk sepanjang pagi, kononnya.

Sewaktu rehat pagi, aku menjamah dua biji kuih. Aku pasti dua biji kuih itu pun sudah beratus kalori. Rehat tengahari dengan niat aku tidak akan makan, seperti hari semalam. Tetapi apabila melihat menu yang menarik; kari ayam dengan kentang dan daging (aku rasa rendang tok. entah), aku makan sepinggan. Sudah pasti beribu kalori aku suap ke dalam badan.

Selepas habis kursus petang tadi, ada jamuan. Aku menjamah dua tiga ketul (aku rasa lima ketul) kuih. Tidak perlu aku beritahu berapa kalori. Banyak.

Naik ke pejabat untuk menukar kasut dan di dalam fikiran aku mahu terus balik rehat. Ketika itu juga hati berkata, aku perlu berbasikal. Hari ini aku makan dengan banyak. Aku bergegas ke kereta, tukar pakaian sukan, naik semula ke pejabat, buka kunci basikal, simpan kamera dan wallet di dalam beg, pakai topi kaledar, turun ke jalan.

Aku berbasikal.

Kamu tahu betapa seksanya berbasikal dengan perut yang penuh makanan? Amat. Sekilometer aku berkayuh, aku sudah tercungap-cungap. Aku gagahkan juga kerana aku mahu kalau berbasikal, aku akan bakar sekurang-kurangnya 200 kalori (sepatutnya 300 ke atas). Aku berjaya lakukannya. Tetapi aku tahu ianya tidak membantu mengurangkan penangan makanan siang tadi.

Tapi cukup aku tahu bahawa aku sekurang-kurangnya melakukan sesuatu untuk menjaga kesihatan aku. Itu yang penting. Berbasikal ini amat baik untuk jantung dan boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. En. Malek, ex-staff pejabat aku, selepas dia bersara dia cuma duduk di rumah dan berehat. Bila tiba pemeriksaan doktor, kandungan gula dalam badan dia meningkat jadi 15. Sangat tinggi untuk warga emas. Lalu anak-anaknya menghadiahkan sebuah basikal.

En. Malek menggunakan basikal ini dan berkayuh setiap malam selama sejam di sekeliling kawasan perumahan, di samping melakukan senaman. Sebulan kemudian, kandungan gula dalam darahnya berkurang kepada 7, kalau tidak salah. Itu buktinya. Tidak perlu makan apa-apa pil kimia. Cuma senaman.

Jadi aku sedang lakukan perkara yang sama. Senaman dengan berbasikal. Ianya sudah menjadi hobi aku dan aku obses dengannya. Setiap hari bila tiba petang, fikiran aku sudah set bahawa aku perlu berbasikal. Sebab itu bila aku nampak awan mendung, aku sedikit kecewa. Jangan salah faham, bukan aku salahkan keadaan. Aku kecewa kerana tidak boleh berbasikal. Itu saja.

Petang tadi aku berjaya berkayuh lebih kurang 15km. Cukuplah untuk membuang lebih kurang 200 kalori.

Senja tadi aku ke Jusco berhampiran rumah. Aku mahu beli sabun mandi dan buah epal. Kamu tahu, aku bukanlah manusia yang kuat menahan nafsunya. Aku berhenti di sebuah kedai dan makan beef teppanyaki.

Membazir saja buang 200 kalori. Hahaha.

No comments:

Post a Comment