30.4.10

Politik Lain, Kerjaya Lain. Harap Kamu Pandai Bezakan Juga

Ada orang pernah bertanya kepada aku,

"Idan, kenapa kau tak sokong BN?"
"Kenapa perlu aku sokong BN?"
"Kau kan kerja kerajaan. Kau patut sokong BN. Baru betul."
"Tidak. Kerja kerajaan tidak ada kena mengena dengan menyokong mana-mana parti politik."

Itu jawapan aku. Lagipun, aku bukan anti BN. Aku cuma tidak menyokong idealisme politik mereka.

Bagaimana pula dengan Gagasan 1Malaysia?

Aku sebagai penjawat awam menyokong dan mendokong penuh gagasan 1Malaysia. alah, aku design logo 1Malaysia jabatan aku, yang sekarang tersemat di kolar baju ramai kakitangan. Aku mahu minta royalti 10 sen setiap orang yang memakainya setiap hari selama 365 hari. Hehehe. Cerita lain.

Apa saja agenda kerajaan (kalau aku, kerajaan persekutuan), aku akan laksanakan kerana itu tanggungjawab aku sebagai penjawat awam. Kerana kamu perlu tahu, kerajaan bertindak atau berfungsi untuk semua rakyat Malaysia, tidak kira apa fahaman politik mereka. Duit yang digunakan untuk menjalankan fungsi-fungsi kerajaan adalah duit rakyat, bukan duit mana-mana parti politik. Kerajaan buat sekolah untuk semua orang boleh hantar anak-anak mereka ke sekolah. Begitu juga hospital, MyKad dan banyak lagi. Kerajaan tidak wajib tanya apa fahaman politik individu sebelum sesiapa pun boleh terima perkhidmatan kerajaan.

Idealnya, kerajaan berfungsi untuk semua rakyat Malaysia.

Maka bagi aku, tidak wujud apa yang dinamakan seperti "Kerajaan Barisan Nasional" atau "Kerajaan PAS Kelantan". Apa yang wujud cuma "Kerajaan Malaysia" atau Kerajaan Kelantan". Itu contoh mudah. Sebab itu aku tidak bersetuju jika papan tanda projek milik kerajaan ada juga memaparkan logo parti politik. Kalau parti politik itu keluarkan duit untuk membiayai projek tersebut, itu tidak mengapa. Tetapi yang digunakan adalah duit rakyat yang kita sendiri tidak tahu apa pegangan politik mereka.

Aku juga tidak bersetuju jika Gagasan 1Malaysia diusung sana sini bawah panji-panji parti politik. Aku tidak mahu ianya dijaja sebagai matlamat politik. Sebaliknya ianya perlu diangkat sebagai agenda Nasional, dibawah panji-panji Jata Negara dan Bendera Malaysia. Kalau semasa berkempen politik di waktu pilihan raya, pihak yang BN mahu gunakan Gagasan 1Malaysia ditunjuk kepada rakyat sebagai hasil pencapaian mereka, itu tidak mengapa. Mereka boleh ambil "kredit" sebagai pencetus dan pembawa agenda yang positif sebegitu. Tetapi untuk gunakan Gagasan 1Malaysia sebagai bahan berpolitik atau gula-gula politik, aku tidak bersetuju. Kamu perlu ingat, duit untuk melaksanakan 1Malaysia adalah duit semua rakyat Malaysia.

Jadi BN tidak boleh guna anggota kerajaan untuk menggerakkan jentera politik. Begitu juga dengan mana-mana parti yang berkuasa. Jentera kerajaan adalah untuk rakyat keseluruhan.

Lalu, apa pegangan politik aku? Sekarang aku bersifat Non-Partisan; tidak menyebelahi mana-mana pihak. Aku tidak nampak apa faedahnya menyokong mana-mana parti politik di Malaysia kerana agenda perjuangan mereka terlalu sempit.

Aku bukan sentiasa bersifat Non-Partisan. Sebelum 1998, aku adalah penyokong BN. Role model aku adalah Tun Dr. Mahathir yang masih aku sanjungi hingga kini (dari segi leadership beliau). Dari 1998 hingga lebih kurang 2003, aku adalah orang yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim. Aku tidak pernah pergi reformasi. Aku cuma pernah terperangkap sewaktu orang sedang bereformasi.

Aku berhenti menjadi orang yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim setelah aku lihat agenda beliau tidak lebih untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi aku masih sanjungi beliau sebagai seorang orator yang hebat. Selepas 2003, aku sudah semakin jelak dengan politik. Politik yang ada ketika itu dan semakin parah sekarang tidak lebih daripada politik kucar kacir dan bersifat dendam kesumat.

Aku sebagai penjawat awam, tidak boleh letakkan agenda politik parti sebagai asas bekerja. Aku letakkan rakyat sebagai asas bekerja. Aku berkhidmat untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan, tidak kira siapa mereka.

Aku harap kamu faham haluan politik dan kerjaya aku bagaimana. Ianya berbeza dan tidak akan mungkin sama. Tidak wajar disamakan oleh sesiapa pun. Kita bukan komunis atau fasis atau diktator. Fungsi kerajaan adalah untuk rakyat. Itu adalah demokrasi.

No comments:

Post a Comment