4.4.10

Menanti Senja

Petang tadi aku duduk di atas basikal sambil menunggu matahari berlabuh. Hari yang damai, suasana juga damai. Alam dilimpahi cahaya yang sangat cerah. Sudah beberapa ketika petang di Putrajaya dibasahi hujan. Di penghujung minggu seperti ini, Tuhan turunkan rahmat cuaca yang sangat indah sebegini untuk semua manusia menghargainya.


Tempat ini biasa menjadi tumpuan orang ramai menunggu berlabuhnya matahari senja. Ianya berhampiran dengan Jambatan Seri Saujana (seperti gambar di bawah).


Masalah di sini adalah tempat meletak kenderaan. Seperti yang kita tahu, orang Malaysia sangat malas hendak berjalan jauh. Kalau boleh mereka mahu letak kenderaan mereka di tepi kaki sepanjang masa. Jadi ada masanya di tepian jalan menghala ke Jambatan Seri Saujana, kenderaan diletakkan di tepi jalan tanpa mempedulikan bahaya. Seperti yang aku pernah kata dulu, Perbadanan Putrajaya patut menutup sebahagian jalan di tepi jalan pada hujung minggu untuk memudahkan orang ramai.


Tempat ini juga menghadap ke Kompleks Sukan Air Putrajaya di Presint 5. Jadi dataran landai yang luas ini menjadi lokasi menarik untuk menonton dari jauh sukan air yang sedang berlangsung. Kalau pokok di sekitar tempat ini sudah membesar, aku pasti ianya akan jauh lebih menarik.


Matahari kian berlabuh.


Jam sudah melewati 7.00 petang. Cahaya senja sudah mula kelihatan.


Seperti biasa, sekiranya kamu biasa melihat cahaya senja, sebelum matahari betul-betul berlabuh, cahaya yang terpancar amat terik (bukan panas) atau dalam istilah Inggeris yang lebih sesuai, brilliant!


Akhirnya, cahaya matahari semakin suram dan langit semakin gelap. Ketika ini suasana begitu sureal dan amat mendamaikan.

Kalau kamu belum pernah menikmati senja berlabuh, cubalah lakukannya. Kamu pasti kagum dan kamu pasti bersyukur dengan rahmat yang kamu sentiasa perolehi.

No comments:

Post a Comment