6.4.10

Resipe Gembira (Aku)

"Moga hidup kamu sentiasa bahagia" kata mereka.

Hidup aku sekarang sentiasa bahagia.

"Aku nampak kau happy je sekarang, Dan?" tanya mereka.

Hidup aku sekarang sentiasa gembira.

Anekdot kehidupan ini sekarang; selagi boleh, aku mahu pastikan hari-hari yang dilalui adalah hari yang tenang, damai dan menggembirakan hati. Tidak perlu ada runsing dan sedih, tidak perlu perit memikirkan apa yang akan berlaku esok. Hari ini, di mana aku berpijak, aku pastikan setiap detiknya diisi dengan hati yang sabar dan ceria.

Kamu tidak boleh beli kebahagiaan, atau milikinya dengan mendesak orang lain mengikuti cara kamu. Kamu boleh tunjukkan mereka bagaimana kamu melakukannya. Kamu juga tidak boleh minta orang lain turut bahagia. Kamu boleh pujuk mereka, beri mereka kekuatan. Selebih daripada itu, kamu harap mereka nampak apa yang kamu nampak.

Hidup adalah lebih daripada sekadar mendendami atau membenci orang lain. Hidup ini juga lebih daripada sekadar memikirkan hiba dan kecewa yang dialami. Ianya sentiasa ada, hiba dan kecewa itu tetapi tidak sentiasa perlu kita letak ia mendahului yang lain.

Jangan peduli kata-kata orang lain di belakang kamu. Aku sering laluinya sendiri; di pejabat dan di tempat lain. Kalau aku dekat dengan seseorang, mula ada suara di belakang berkata dan mengejek. Aku tahu tetapi aku biarkan saja perilaku itu kerana tidak ada untungnya berkonfrontasi dengan manusia sebegitu. Biarkan ia sehingga suatu masa, mereka bosan. Apa yang patut kamu fikir, bertuahnya kamu hidup di dunia ini dapat mengetahui ragam manusia yang berbagai-bagai. Dapat melaluinya dan merasakan pahit manisnya.

Senyum. Hidup ini lebih gembira apabila kita menghargainya.

No comments:

Post a Comment