26.4.10

Sibuk Di Larut Malam

2.45 Pagi. Aku masih berjaga di penghujung minggu dan esok hari Isnin, hari kembali bekerja.

Aku berjaga kerana ada kerja pejabat yang perlu disiapkan. Jumaat tempohari ianya diberi sebagai tugasan, secara ad-hoc. Seperti biasa, itulah yang berlaku. Sukar untuk menolak permintaan (arahan?) sebegini. Jadi aku lakukan juga dalam masa sehari, sekadar mampu. Maklum saja hari Sabtu lepas aku ada program lain (juga berkaitan dengan tempat kerja), maka aku cuma ada hari Ahad untuk melakukannya. Mengumpul data sepanjang siang dan malam hingga sebentar tadi, aku sudah siapkan 50%.

Aku perlu siapkan slideshow berbentuk Flash sempena majlis perpisahan seorang bos di pejabat. Ianya akan diadakan pada pagi Selasa. Esok ada rehearsal. Harapnya ia dilakukan di sebelah petang. Jadi pagi esok bolehlah aku siapkan baki slide tersebut. Kerja terkejut, hasilnya tidak seberapa. Aku cuba, sekadar mampu. Itu yang aku beritahu awal-awal kepada mereka.

Tambah tepu otak apabila muzik latar yang dipilih begitu janggal untuk sebuah slideshow. Aku terpaksa sesuaikan mood slideshow dengan lagu yang dicadangkan. Cukup sukar. Lebih baik aku saja yang pilih lagu yang bersesuaian agar mudah kerja menghasilkan slideshow. Tetapi bila sudah ditentukan, ruang kreativiti agak terbatas.

Tidak mengapa, aku akan cuba lakukan sebaik mungkin. Esok aku akan sambung kerja. Aku perlu hasilkannya kerana bos ini begitu baik dengan aku selama ini. Jadi slideshow ini walaupun ada cacatnya nanti adalah dedikasi aku terakhir buatnya.

Esok siang aku akan pastikan kerja ini siap.

No comments:

Post a Comment