18.10.10

Menanti Senja, Melihat Layang-Layang Di Angkasa di Taman Metropolitan Kepong

Aku jarang sangat menulis di hujung minggu. Hujung minggu sekarang aku lebih tumpukan masa dengan Zura. Namun ada waktu dan ketika kami buntu apa yang hendak dilakukan di hujung minggu. Dalam kereta, kami kelu mencari jawapan, apa yang hendak dilakukan seterusnya.

Ketika itu, bila jumpa suatu tempat atau tujuan yang kita tidak sangka ianya wujud, kita tiba di tempat itu dengan berasa lega dan sungguh selesa. Melihat suasana sekitarnya dan kita tahu, di sini kita mahu berada ketika itu.

Kami dalam perjalan menuju ke Kelana Jaya setelah singgah di Keramat untuk suatu urusan. Aku mengambil jalan MRR2 melalui Gombak dan Kepong kerana ianya lebih jauh dan lebih ruang masa untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Bila melepasi Batu Caves, aku teringatkan ada sebuah taman di hadapan yang selalu dipenuhi orang bermain layang-layang. Terus aku ajak Zura untuk singgah dan melihat suasananya. Tidak aku sangka begitu ramai orang di Taman Metropolitan Kepong. Sungguh ramai dan begitu banyak layang-layang yang sedang berlegar di angkasa. Paling menarik bila dapat menyaksikan wau tradisional dimainkan. Ianya lebih menarik kerana wau tradisional mengeluarkan bunyi berbanding layang-layang biasa.



Suasana lebih damai bila duduk di tepi tasik sambil makan aiskrim menunggu senja berlabuh. Kos Aiskrim = RM4. Kos minyak + tol = RM15. Duduk di tepi tasik Taman Metropolitan Kepong sambil menyaksikan senja berlabuh bersama Zura = PRICELESS.

1 comment:

Zintz said...

Mungkin kalau datang lain kali boleh bawa wau untuk dimainkan bersama :)

Post a Comment