Satu perkara apabila kamu kerja kerajaan, kamu kena sedar dan faham bahawa wujudnya sistem kasta. Itu pun kalau kamu mahu melihat ianya begitu. Aku sebenarnya tidak faham kenapa sesebuah organisasi perlu ditadbir oleh pegawai yang berlainan gred daripada anggota bawahannya. Tidakkah ini menimbulkan suasana berat sebelah.
Orang di pejabat mungkin tidak nampak tetapi aku sedarinya sejak beberapa ketika. Ada masanya gred pegawai ini cuba meletakkan autoriti mereka terhadap kakitangan bawahan dengan menunjukkan mereka yang berkuasa. Sudah sememangnya begitu. Mereka di gred pegawai ini sering melihat diri mereka amat berkuasa dan apabila kajian atau analisa (kononnya mereka lakukan) mengenai prestasi organisasi dijalankan, sering kita lihat salah satu punca kelemahan adalah kakitangan (yang selalu khususnya merujuk kepada kakitangan bawahan) tidak pandai bekerja, tidak rajin, bermasalah dan segala yang negatif. Jarang sekali mereka menyalahkan diri sendiri.
Malah sebenarnya tidak ada istilah "pegawai dan kakitangan". Sebaliknya sering dikumpulkan "pegawai" dalam satu kategori dan "kakitangan" dalam kategori yang lain.
Sering juga aku sedari bahawa pegawai ini merasakan diri mereka seperti dewa yang perlu sentiasa dihormati oleh orang bawahan mereka. Ironinya, kalau tidak kerana orang bawahan, mereka takkan kemana.
Aku beri contoh mudah; kalau seorang pegawai pergi bermesyuarat di hotel dan ada penginapan di hotel tersebut, mereka akan dapat sebuah bilik seorang. Ada kalanya mereka akan bawa anak beranak mereka bersama. Itu tiada sesiapa pun yang akan persoalkan (kamu berani ke?). Namun kalau kakitangan bawahan yang melakukan perkara yang sama, kamu boleh lihat pegawai menjadi seperti singa menerkam.
Anggota kerajaan sentiasa diingatkan agar menjadi pekerja yang berdedikasi dan berintegriti. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah itu semua dimaksudkan kepada kakitangan bawahan semata-mata. Sedang pegawai kita lihat penuh denga ego dan berasakan diri mereka amat hebat hingga tidak boleh dipersoalkan oleh orang bawahan. Mereka boleh mengugut orang bawahan dengan pelbagai tindakan dengan niat menimbulkan rasa takut dan hormat.
Serius, aku fikir dasar sebegini amat buruk dan penuh cacat cela. Aku sering bayangkan utopia dimana tiada lagi istilah pegawai dan kakitangan. Cuma ada golongan karyawan yang melakukan kerja dengan penuh jujur dan berintegriti. Mereka dibayar kerana kemampuan dan keupayaan mereka, bukan pangkat dan darjat mereka. Mereka dibayar setimpal dengan kehebatan mereka melakukan kerja. Itu yang sepatutnya. Itu yang wajar berlaku.
Sudah sampai masa kita sedar, kita bekerja dalam satu organisasi yang sama dan menggerakkan organisasi tersebut. Tidak perlu lagi ada istilah pegawai dan kakitangan. Sebaliknya hanya perlu wujud "rakan sekerja". Mereka dianggap setaraf dalam semua segi dan dinilai berdasarkan kemampuan mereka. Bukan lagi kerana mereka ada segulung ijazah dan berjaya mendapat jawatan tinggi.
Memanglah hidup ini begitu, yang berjaya akan mendapat lebih. Tapi, kalau mereka ini sekadar menggunakan segulung ijazah mereka untuk mendapat jawatan pegawai kemudian tidak tahu langsung menjalankan tugas mereka, apa gunanya?
Melalui pengalaman berada dalam mesyuarat bersama ramai pengarah dan pegawai ini, aku sedar, tidak semua mereka itu hebat. Cuma nasib di awal dulu mereka berjaya dalam pendidikan sehingga mereka dapat merebut jawatan yang mereka sandang sekarang. Untunglah mereka kerana berjaya dalam pendidikan. Ada juga manusia yang sering gagal dalam pendidikan tetapi berjaya. Cuma, peluang itu jarang kita nampak di Malaysia ini yang masih pentingkan segulung ijazah sebagai bukti kehebatan manusia.
2 comments:
Bagus Bro..jadi apabila kamu di atas nanti...kamu lebih faham orang bawahan....yang paling penting..sama2 saling hormat menghormati....jauhi sombong diri..sentiasa amanah
bak kater wonder pet...ape yg penting? kerjasama...
Post a Comment