Aku sambung post lepas.
Betul kata orang yang komen. Terima kasih. Ada kalanya apabila kita sudah lama bekerja dalam di satu tempat, kita jadi selesa. Kita masuk comfort zone yang menyebabkan kita tidak mahu lagi lakukan apa-apa perkara yang di luar bidang tugas kita. Itu senario biasa yang kita boleh lihat di mana-mana saja pejabat.
Malah kadang kala aku juga fikir begitu terutama dengan apa yang aku lakukan sekarang. Aku jadi selesa dengan kerja aku dan tidak mahu ke mana-mana walaupun ada ruang untuk melakukannya. Tetapi apabila difikirkan balik, aku sebenarnya masih belum selesa. Setiap masa ada perkara baru yang perlu aku pelajari atau terpaksa aku pelajari kerana orang lain tidak mahu melakukannya. Their lost.
Kemudian, kamu tidak mungkin terlalu sibuk dengan hal-hal luar menyebabkan kamu perlu berkorban kerja hakiki kamu. Kalau itu berlaku, kamu sudah tidak melakukan tugas kamu dengan betul. Melainkan tugas hal luar kamu itu mendatangkan hasil yang jauh lebih lumayan dengan kerja kamu sekarang. Bila itu berlaku, lebih baik kamu berhenti dan teruskan kerja lain itu saja.
Kamu juga akan dipandang serong oleh orang lain sekiranya kamu kerap memberi alasan untuk tidak melakukan kerja. Ianya lebih berbahaya sekiranya bos kamu sendiri yang memandang serong dengan setiap alasan tersebut. Bila disuruh sambung kerja selepas waktu pejabat kemudian kamu kata kamu perlu lakukan itu ini di luar, kamu sebenarnya merugikan diri sendiri. Penilaian prestasi kamu dan segala potensi yang ada pada kamu akan jadi sia-sia. Tiada bos yang akan sokong untuk kamu diberi anugerah, dinaikkan pangkat dan diberi pujian sekiranya kamu sentiasa beri alasan dan utamakan kerja lain dari kerja di pejabat.
Berbalik dengan tugas aku sendiri. Betul, aku sentiasa sedang mencari orang yang boleh melakukan kerja-kerja aku. Bukan kerana aku bos atau kerana aku malas. Tetapi kerana aku perlukan seseorang sebagai ganti sekiranya terjadi apa-apa pada aku seperti aku naik pangkat atau berpindah dari tempat sekarang. Itu tidak mustahil. Atau aku sakit. Lagi tidak mustahil. Jadi aku perlukan orang yang boleh buat apa yang aku buat. Bukan orang yang ada sekarang tidak mampu buat tetapi kalau bos besar sendiri tidak pedulikan hasil kerja mereka, takkan kita mahu anggap mereka boleh? Kalau bos masih datang kepada aku dan minta aku lakukan itu ini kerana kata mereka hanya aku saja yang boleh buat, dan bila aku kata orang lain boleh buat kemudian lihat wajah mereka berkerut seperti tidak yakin, takkan kita masih mahu fikir orang lain boleh buat?
Lainlah kalau bos kamu ignorant atau diri kamu sendiri yang ignorant. Itu perkara lain.
Namun ada manusia di pejabat yang amat berat untuk melepaskan tugas mereka kepada orang lain. Takut bila orang lain boleh melakukan apa yang kita buat, kita sudah tidak ada kerja lagi dan boleh ditukarkan kemana-mana selepas itu. Itu satu perkara. Mungkin juga kerana mereka fikir tugas yang mereka "pegang" sekarang ini merapatkan mereka dengan bos atau bos besar menyebabkan mereka dilihat berpengaruh. Maka lebih liatlah mereka untuk lepaskan tugas mereka itu kepada orang lain kerana takut pengaruh itu dirampas oleh orang lain. Ya, ini perkara bodoh yang sebenarnya aku amat-amat benci melihatnya dan ada terjadi di pejabat.
Sudah selalu aku komen dengan rakan-rakan pejabat kerana sebenarnya apa yang mereka ini buat adalah menyusahkan orang lain. Seperti yang aku kata, ada waktunya bila kita tidak sangka, orang boleh ditimpa sakit atau terpaksa melakukan tugas yang tidak dapat dielakkan, maka "kerja yang dipegang" mereka itu terpaksa dilepaskan kepada orang lain buat sementara waktu. Kalau diberitahu awal, tidak mengapa. Kalau kita tahu prosedur dan turutan kerja juga tidak mengapa. Namun akibat diberi tugas saat-saat akhir, kita sendiri jadi kelam kabut dan ianya memenatkan. Pernah berlaku. Itu pasti.
Jam hampir 5 pagi ini dan sebenarnya ada kerja yang perlu aku selesaikan. iMac sedang menunggu. Jadi aku simpulkan tiga perkara.
Pertama, tetapkan keutamaan kerja. Kerja apa yang hendak kamu utamakan semasa waktu pejabat dan sekitar masa terdekat sebelum dan selepas waktu pejabat. Kalau kamu lebih utamakan kerja luar, lebih baik kamu berhenti dan buat saja kerja luar. Kalau kamu mahu berjaya dan dihormati kerana kesanggupan kerja kamu, korbankan sikit masa santai kamu untuk buat kerja-kerja pejabat seperti yang diarahkan atau kadang-kadang diminta tolong. Kamu akan dinilai dengan lebih baik selepas itu.
Kedua, kalau kamu lakukan perkara baru yang tidak pernah kamu lakukan sebelum ini, belajar dulu sedaya mampu kamu. Kemudian baru tanya sekiranya tidak tahu. Kalau masih belum juga boleh melakukannya, luahkan kepada bos kamu. Jangan kamu kata boleh di awal-awal kemudian tinggalkan kerja tersebut kepada orang lain tanpa beri apa-apa alasan. Jangan kamu terus tanya orang bagaimana hendak melakukannya sedang kamu belum pun lagi buka fail, buka komputer atau lihat proses kerja di fail meja dan manual prosedur kerja. Aku cukup pantang orang yang bertanya aku sesuatu sebelum mereka cuba untuk membuatnya sendiri dulu. Bengap sangat ke? Ada seorang cikgu sejarah semasa di maktab dulu. Masuk saja kelas, pop quiz on the spot. Tanya soalan dari bab yang kami belum belajar. Kami cakaplah yang kami belum belajar dan sepatutnya belajar hari ini. Dia jawab apa? Dia cakap, sepatutnya sebelum masuk kelas, kamu baca dulu buku mengenai bab yang kamu akan belajar. Itu proses yang sepatutnya. Bukan tunggu cikgu suap kamu dengan ilmu. Seek knowledge!
Ketiga dan terakhir, tanggungjawab kerja. Jangan kedekut, itu yang wajib kamu sedari. Kamu perlu ada pengganti biar betapa rendah jawatan kamu. Kamu perlu ada orang yang boleh lakukan kerja kamu sekiranya kamu tidak boleh melakukannya atas sebab sebab kesihatan atau yang tidak dapat dielakkan, seperti menghadiri peperiksaan contohnya. Apa yang kamu takut sangat? Orang rampas kerja kamu? Orang rampas pengaruh kamu? Orang rampas kawan baik kamu? Ini pejabat, bukan sekolah. Kamu perlu ada pelan penggantian kamu sendiri. Cari orang yang kamu fikir boleh buat kerja kamu dan ajar mereka kiranya perlu. Minta tolong atau bantu bos kamu untuk kenal pasti orang ini. Kemudian bila kamu tidak boleh buat kerja kamu (atas perkara yang tidak boleh dielakkan), tidaklah kamu menyusahkan orang lain dengan kerja-kerja last minute.
Ya, aku cabar kamu. Berani berubah. Jangan fikir kamu duduk di atas kerusi itu kamu akan duduk sampai mati. Err.. sampai pencen. Usaha untuk perbaiki diri sendiri dan usaha juga untuk menjadi lebih baik.
Okay, aku sambung kerja. Jam 5 pagi aku kena buat kerja pejabat. Isk. Hehehe... Gila.
Oh lupa. Mulai esok hingga Ahad, seperti biasa, aku akan outstation. Team Building lagi. Jadi, tidak ada post terbaru hingga hujung minggu. Takpe, banyak lagi blog lain kamu boleh baca.
:-)