12.4.10

Mendengarmu II

Kadang-kadang kamu temui orang yang hidupnya dalam keadaan berputus asa. Kamu cuba bagaimana cara sekalipun, dia tetap kembali ke ruang kecewa dan deritanya. Apa yang boleh kamu buat lagi?

Kamu beri dia ruang. Biarkan dirinya dalam ruang itu untuk sementara waktu. Jangan kamu datang dan berkata kepadanya,

"Sabar ya"

atau

"Harap kamu bersabar dengan dugaan yang mendatang"

atau

"bawalah bersabar"

atau

"Awak, sabar itu separuh daripada iman"

Tidak perlu ucapkan itu kepadanya kerana mungkin orang pertama yang menasihatinya sudah memulakan ayat itu sebagai cara memujuk.

Kamu temani dia bersedih. Masih ingat lagi dengan kata-kata,

'Susah sama susah, senang sama senang'?

Nah, ini masa untuk kamu bersusah-susah dengannya. Temani waktu susahnya. Ratapi hibanya. Biar dia bercerita waktu sedihnya dan berikan 'bahu' kamu untuk dia bersandar, menangis.

Jangan lupa juga untuk ceriakan hatinya. Berikan baris-baris kata-kata semangat. Hiburkan hatinya sekali sekala dengan jenaka kamu. Itu yang sepatutnya kamu lakukan. Kamu lupakan seketika sedih dan nestapa kamu. Simpan untuk kemudian nanti. Buat masa ini, beri ruang untuk mereka bersedih dan kembali ceria.

Itu sebaik-baik sifat seorang sahabat, bukan? Entahlah. Kalau kamu jujur melakukannya, kamu akan berasa puas dan tenang selepas itu. Kamu akan berasa, hidup ini lebih indah begitu.

====

Bila aku menulis sebegini (seperti di atas), aku rasakan ianya seperti 'plastik'. Tiada jiwa di dalam baris-baris ayat yang ditulis. Apa yang aku mahu nyatakan sebenarnya? Tetapi perlakuan itu sendiri jauh lebih menarik dan lebih berbaloi daripada memberi deskripsi sebegini.

Ya, aku sedang lakukannya sekarang. Mendengar hiba seseorang kemudian cuba memberi gembira dan ceria kepadanya, sedaya mampu aku. Amat sukar, itu aku akui. Tetapi sekurang-kurangnya aku tahu dia sedikit ceria daripada sebelumnya.

Biarlah. Aku tidak suka lagi bercerita hal yang suram.

1 comment:

ilah said...

Bukan semua org bijak@boleh menyelami hati seseorang dan memainkan peranan..

Post a Comment