16.2.09

Makanan Berkhasiat Adalah Amat Mahal!

Dalam proses aku mengawal pemakanan, aku beli makanan yang boleh membantu aku menguruskan badan dan juga menjaga kesihatan.

Salad sedia untuk di makan (ready-to-eat) di dalam mangkuk plastik yang aku tidak perlu buat apa-apa lagi, aku beli beberapa mangkuk dan makannya setiap hari. Satu mangkuk berharga lebih kurang RM6. Kawan di rumah melihat aku membeli dan makan salad tersebut bertanya,

"Engkau beli salad ye Dan?"
"A ah. Ini je cara aku nak makan sayur."
"Sedap ke Dan?"
"Ada ke salad sayur yang sedap? Semuanya tak sedap tapi aku kena makan juga."
"Hahaha..."

Kemudian aku beli Quaker Oats set ready mix yang di labelnya berkata boleh membantu orang yang dalam proses mengurangkan berat badan. RM13 sepaket. Label itu juga menambah,

"...dengan kadar pemakanan seimbang dan senaman yang berterusan."

Ya, makanan oat tersebut sudah betul. Cuma makanan yang seimbang dan senaman saja yang belum aku tunaikan.

Apa yang aku belajar sejak kebelakangan ini? Pertamanya, makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan adalah mahal dan sukar hendak diperolehi. Tambah-tambah kalau makanan siap dalam paket.  Kedua, makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan adalah tidak sedap, rasa tidak menarik dan membosankan.

Jalan paling mudah dan murah untuk menjaga kesihatan dan membantu mengurangkan berat badan adalah senaman yang betul dan pemakanan yang seimbang. Seperti yang aku cakap tadi, ianya masih belum mampu aku lakukan.

Namun ada beberapa perkara yang sudah aku lakukan walaupun tidak sempurna. Aku kurangkan makan makanan segera. My favorite. Kalau dulu di hujung minggu, balik dari OT di pejabat, aku akan singgah di McD atau KFC untuk makan petang (merangkap makan pagi dan tengahari) sambil membaca majalah. Kalau di McD, set biasa aku akan pesan adalah nugget 6 ketul dan ditambah dengan bubur ayam. Kalau di KFC, aku akan pesan nugget 6 ketul dan burger Colonel sebagai juadah.

Sekarang, aku cuma berlalu pergi dan menjeling ke arah orang yang sedang makan di restoran tersebut. Makanan aku sekarang biasanya Teppanyaki (kerana ada sayur) atau filet ikan. Kalau dulu, set makanan barat yang ada coleslaw dan salad berserta daging/ayam, aku akan cuma makan daging atau ayam. Kini, sayur-sayuran pasti akan habis dulu.

Aku juga kurang minum air soda bergas seperti Coke walaupun kadang-kadang aku akan tetap minum kerana... err, tanpa sebab. Biasanya aku akan minum air teh ais limau (Ice Lemon Tea).

Aku sedari, semua itu sebenarnya meningkatkan kos harga pemakanan aku. Aku perlu mula senaman. Senaman mudah. Sebab itu antara sebab aku ke kompleks membeli belah besar adalah kerana aku mahu berjalan. Berjalan juga adalah senaman, bukan? :-)

Ada banyak penyelesaian lain yang aku boleh lakukan sebenarnya. Namun, cara yang sedang aku lakukan ini adalah selesa dan agak mudah bagi aku. Ianya takkan mengakibatkan aku kurus mendadak yang akan menyebabkan kesan YoYo seperti orang yang lakukan diet ekstrem.

Cuma, matlamat utama aku sekarang adalah kesihatan. Kuruskan badan adalah perkara kedua. Perlahan saja pergerakan ini. Tidak mengapa. Asal selamat.

1 comment:

Ain said...

Salam Cik Idan.

Tahniah atas usaha anda. Saya nak cadangkan kalau nak turun berat badan selain banyakkan bergerak, berbasikal pun satu pilihan yang baik. Rasa-rasanya kalau berbasikal dari PICC hingga Masjid Putrajaya dan patah balik pun dah boleh memecahkan lemak.

:) Selamat maju jaya!

Post a Comment