17.2.09

Mengenali Diri

Lima hari menjelang.

Tidak mengapa. Aku tidak menghitung hari. Aku cuma terkenangkan sesuatu. Tercari-cari mana hilangnya hari-hari yang aku lalui tanpa membawa apa-apa makna. Bila tiba hari itu nanti, aku pasti akan kelu. Kemana hilangnya waktu-waktu muda sedang aku seperti masih tidak mahu berganjak dari sudut aku berdiri ini. Hati ini memberontak mendesak aku terus berada di sini. Terus mahu kekal muda, mungkin.

Kalau mengikut usia hayat, maknanya separuh daripada usia sudah aku lalui. Tanpa apa-apa makna. Tanpa apa-apa pencapaian yang boleh aku banggakan. Tanpa apa-apa kenangan indah yang boleh aku ceritakan balik di suatu masa nanti. Apa yang ada hanya sisa-sisa cerita basi kisah lalu yang separuh dari mereka yang terlibat dalam cerita itu sudah pun melupainya atau tidak lagi menghitung saat-saat itu sebagai kenangan mereka.

Benar seperti kata hati. Aku sendiri yang masih berdiri di tempat yang sama dan tidak mahu berganjak pergi. Tidak mahu berpaling dari kenangan lalu dan melihat yang baru. Kerana cerita-cerita baru aku adalah amat membosankan dengan ritual kehidupan yang sama setiap hari.

Hakikatnya, hidup ini sekarang mengikat ketat kaki seorang manusia yang sentiasa mahu bebas dari ritual. Yang setiap hari dalam hidupnya mahu mencari jalan yang lain dari yang dilalui semalam. Sekarang, aku tidak ubah seperti berada di dalam akuarium. Kemana saja aku pergi, di penghujungnya adalah kaca jernih yang tidak aku sedari wujud. Bila terhantuk di kaca itu, aku rasa sakit dan pedih. Rasa kecewa dan berputus asa. Rasa keliru. Kemudian aku berpaling dan menuju kearah lain hingga sekali lagi akan terhantuk dengan dinding kaca. Aku akan sakit, kecewa dan berputus asa lagi.

Sudut mana sekalipun aku berpaling, begitu juga akhirnya nanti kesudahan yang aku hadapi. Itu yang aku rasa.

Lalu aku duduk diam di tengah-tengah tanpa melakukan apa-apa. Diam memerhatikan yang lain bergerak bebas dan gembira. Entah kenapa mereka tidak pula terhantuk dengan dinding kaca di dalam akuarium ini. Mungkin mereka selesa dengan suasana begini. Tidak bagi aku.

Kamu tahu apa yang aku selalu terfikir?

Aku impikan terlalu tinggi. Aku mahukan sesuatu di luar batasan kemampuan aku dan aku lakukan perkara-perkara yang sentiasa menjerat aku kepada kegagalan. Aku beri alasan kepada seribu ketidak sempurnaan dalam hidup aku sebagai hiasan terhadap kelemahan diri sendiri. Supaya orang tidak nampak lemah aku. Supaya orang berkata,

"Bagus lah engkau ni Idan.."

Kamu fikir aku tidak bangga diperkata begitu? Dalam hati, sedikit-sedikit ada rasa bangga. Sedang sebenarnya, ia tidaklah sehebat kenyataan tersebut. Ianya cuma perkara biasa yang tergambar dari seorang manusia yang sering berselindung di sebalik kelemahan. Kelemahan yang amat banyak.

Ini bukanlah tulisan seorang aku yang sedang menanggung dilema dalam simpati diri sendiri. Ini muhasabah diri, mungkin. Aku tidak pernah mahu guna perkataan itu, muhasabah. Kerana ianya dilihat begitu elitis dan akademik. Biar aku guna ayat, mengenali diri. Ya, ini adalah proses mengenali diri, mungkin. Mencipta realiti keatas manusia yang selama ini sering berselindung disebalik kelemahan diri sendiri.

Kerana aku bukanlah sehebat yang kamu sangka. Kamu tidak akan dapat daripada aku seribu jawapan terhadap satu persoalan kamu. Kamu takkan juga dapat seribu kebenaran daripada setiap keikhlasan aku. Kerana selama ini aku bersusah payah hendak mencapaianya. Sedikit sebanyak bila aku perolehi sesuatu, aku akan simpan erat dalam diri kerana itu adalah kekuatan aku. Kekuatan kecil sebesar debu.

Ini mungkin berpunca dari zaman kecil aku. Kerana aku anak sulung dari 7 beradik. Balik dari sekolah adalah ada waktunya bila ke dapur, tiada lagi lauk pauk yang dimasak oleh emak. Tinggal nasi. Jadi aku makan apa yang ada. Goreng telur dan makan dengan kicap di tepi tingkap sambil membayangkan aku makan makanan termahal di restoran paling mewah. Setiap butir nasi aku akan habiskan. Kerana aku tidak mahu berasa terkilan akibat tiada berpeluang menikmati lauk pauk lain. Bukan salah emak, bukan salah ayah. Mereka sudah sediakan cukup untuk kami sekeluarga. Tidak mudah untuk sediakan juadah bagi 7 orang anak yang membesar. Kalau tidak cukup, sebenarnya kami adik beradik yang mengambil lebih dari sepatutnya.

Sehingga aku besar. Apa yang ada sedikit aku perolehi, aku nikmatinya sepenuh mungkin. Aku kejarnya sehingga dapat walau  tidaklah sebanyak mana. Sebab itu kalau kamu lihat, aku jarang sangat menawar makanan yang aku makan kepada orang walaupun mereka berada di sebelah. Bukan kerana kedekut. Ianya lebih bersifat survival. Menikmati hak aku. Tetapi aku akan beri jika orang memintanya. Aku tidak pandai menawar tetapi aku tidak kisah kalau diminta. Aku tidak pandang orang yang meminta itu negatif. Kamu boleh kata aku kedekut, tidak mengapa.

Maka ilmu yang aku perolehi, aku simpannya di dalam hati dan amat sukar hendak lepas bebas ilmu itu begitu saja, kecuali di tanya oleh orang lain. Kerana sedikit-sedikit yang ada di dalam diri ini adalah kekuatan aku. Seperti yang aku sebutkan tadi.

Ya, lima hari lagi dan aku cuba mengenali diri.

p/s: Pernah kamu lihat aku menulis perkataan - diriku, keranaku... aku rasa amat janggal dengan ringkasan "ku".

1 comment:

renny said...

Dear Idan,

You have achieved a lot and I believe its just your insecurity or inferiority making you think you have nothing to be proud of. I feel the same way at times.

Your sincerity have touched so many lives and most of them are grateful to you. You have touched my life and I will always treasure the memories, always.

So, enjoy your upcoming birthday! Make one small change at a time.

Post a Comment