3.2.09

Untuk Saat Ini

Sepatutnya, lama tadi aku sudah tidur. Esok siang hingga malam ada aktiviti yang amat-amat membosankan. Bengkel. Bengkel yang bakal menyibukkan aku dari sekarang hingga sekurang-kurangnya September nanti, kalau tidak lebih lagi.

Tetapi dek penangan menonton rakaman semula perlawanan Liverpool vs Chelsea (hanya ingin menonton kembali jaringan Torres) dan entah kenapa, terus melekat hadapan peti TV menyaksikan telatah P.Ramlee dan A.R Tompel dalam Ahmad Albab. Aku tidak pernah bosan menonton filem-filem P.Ramlee. Begitu juga melihat jaringan hebat Torres.

Dan sekarang, bila jam hampir 2 pagi, aku masih menulis baris-baris ini.

Aku perlu menulis (sekurang-kurangnya buat beberapa ketika ini) kerana ada yang mahu membaca di kala bosan (mungkin). Namun seperti yang aku katakan, Februari ini tidak akan sekerap Januari. Mungkin idea semakin buntu. Atau terlalu memikirkan mengenai kerja dan apa yang belum dilakukan lagi.

Sehingga lewat petang di hari cuti siang tadi aku masih berada di pejabat menyiapkan beberapa kerja. Ada yang masih tertangguh namun ianya bukan berpunca dari kelewatan aku. Maklumat masih belum diperolehi dan aku akan sibuk sepanjang hari siang nanti. Entah bila boleh aku siapkan kerja.

Kemudian aku terfikir, kenapa aku yang terlebih sibuk sedang orang yang membuat kerja yang sama dengan apa yang aku lakukan langsung tidak hirau mengenainya. Aku perlu contohi mereka. Tidak pedulikan kerja di waktu cuti. Cuti adalah cuti dan wajarnya aku abaikan hal-hal kerja. Begitu? Kalaulah senang begitu.

Senang kalau tidak terlalu memikirkan mengenai banyak perkara. Tetapi itu bukan aku kalau tidak bermain dalam otak ini sejuta persoalan. Sebab itu rambut-rambut di kepala semakin memutih. Tua sebelum usia.

Sudahlah, kamu boleh buat kerja lain. Selamat Malam.

1 comment:

Wan08 said...

Anda tidak bersendirian. Ramai diluar sana termasuk juga yang membuat ulasan ini adalah diantara yang sentiasa memberi nilai tambah pada tugas yang diamanahkan. Selalulah kita ingat, ganjaran itu tidak semesti dapat di mayapada ini. Tugas yang dijalankan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh mendapat imbalan di hari akhir kelak.

Post a Comment