Aku mahu tulis sesuatu di sini namun tiada apa yang menarik hendak diperkatakan. Lalu aku selongkar gambar lama yang aku scan beberapa tahun lalu. Kualiti scan agak teruk. Namun cukup untuk aku lihat dan simpan.
Sebenarnya aku tidak kenal siapa di dalam gambar ini sehinggalah diberitahu ayah bahawa ini adalah arwah moyang aku, Awang Kechil. Beliau meninggal di Laut Merah semasa mengerjakan haji. Aku pernah tanya dan ayah pernah beritahu moyang aku ke Mekah sekitar awal 1960an, mungkin 1962.
Ada satu permintaan yang ayah minta dari aku iaitu mencari dokumen moyang aku di JPN. Sehingga sekarang aku masih belum dapat tunaikan. Tapi akan aku usahakan nanti, insyaAllah. JPN menyimpan rekod penduduk di Malaysia sejak ratusan tahun.
Gambar bawah adalah gambar yang sangat menarik dan sentiasa membuat aku teruja. Ini adalah gambar arwah datuk aku sebelah ayah sewaktu beliau menjadi anggota bomba. Beliau yang duduk di kiri sekali. Aku tidak pasti di mana gambar ini di ambil. Mungkin di Taiping. Kalau di Kuala Kangsar, bangunan di belakang memang sudah tiada lagi. Semasa kecil, aku pernah melihat dan memegang pedang yang beliau miliki. Mungkin itu pedang istiadat. Tirus dan berkarat. Aku tidak pasti mana pergi pedang tersebut sekarang.
Gambar bawah adalah gambar yang sangat menarik dan sentiasa membuat aku teruja. Ini adalah gambar arwah datuk aku sebelah ayah sewaktu beliau menjadi anggota bomba. Beliau yang duduk di kiri sekali. Aku tidak pasti di mana gambar ini di ambil. Mungkin di Taiping. Kalau di Kuala Kangsar, bangunan di belakang memang sudah tiada lagi. Semasa kecil, aku pernah melihat dan memegang pedang yang beliau miliki. Mungkin itu pedang istiadat. Tirus dan berkarat. Aku tidak pasti mana pergi pedang tersebut sekarang.
Gambar bawah adalah gambar keluarga ayah. Duduk di tengah ialah arwah datuk dan nenek. Keluarga ayah dan emak memang ramai adik beradik. Sebelas orang sebelah ayah dan sembilan sebelah emak. Daripada jumlah itu (yang aku kenal), tiga orang sebelah ayah sudah meninggal dunia manakala sebelah masih, semua adik beradik masih hidup.
Gambar bawah adalah gambar yang sudah lama ada dalam koleksi gambar aku. Gambar keluarga aku semasa di Kuala Terengganu sekitar tahun 1983. Itulah pertama kali aku ke sana dengan sebuah kereta Nissan 120y Wagon berwarna biru dengan plat pendaftaran AAS 825. Atau WAS 825? Entah. Tapi ianya hampir begitu. Keluarga aku bukanlah hidup dalam keadaan mewah. Hidup kami cukup dan bahagia. Kamu lihat aku bersandar di sisi Ayah. Aku sendiri kadang-kadang hiba melihat gambar ini. Dulu aku begitu rapat dengan keluarga. Rapat dengan ayah dan emak. Sekarang, jauh sekali.
Jauh bukan kerana bersengketa tetapi seperti dalam drama swasta yang kamu biasa tonton, aku sibuk dengan kerja sana sini dan amat jarang pulang ke kampung. Emak bila menelefon, sentiasa akan bertanya bila aku akan balik dan selalu aku cuba memberi jawapan terbaik bahawa aku akan pulang secepat mungkin. Namun setiap hujung minggu, pasti ada kerja luar yang terpaksa aku lakukan.
Ya betul, alasan. Ya betul, kalau ada usaha, mesti boleh. Ya betul juga, kalau aku mahu, aku boleh saja balik. Ambil cuti dan lain-lain. Kamu tidak perlu nasihati aku mengenai itu. Kamu tidak fikir dengan aku meluahkan ini aku sebenarnya sentiasa rasa bersalah?
Gambar bawah ini kadang-kadang boleh membuat aku mengalir air mata. Kamu lihat budak kecil itu. Naif dan amat-amat baik. Kamu boleh lihat gerak badan dalam gambar ini dan kamu akan faham. Sekarang, budak kecil ini sudah jauh dari dia yang berdiri di tepi tiang antena televisyen itu.
Satu sebab aku suka mengambil gambar sepohon pokok adalah kerana gambar ini. Kamu lihat pohon pokok di belakang. Cantik, bukan? Klasik dan kalaulah boleh, aku mahu sentiasa berada disitu pada waktu itu dan biarkan masa terhenti selama-lamanya.
Namun setiap kali aku kemana jua, walau aku jumpa pohon pokok sebegitu, atau aku temui suasana damai seperti dalam gambar di atas, aku tidak duduk diam dan menikmatinya. Aku tidak temui ketenangan seperti yang aku mahu. Aku bosan melihat orang lalu lalang dan bunyi-bunyi bising di sekitar.
Mungkin aku mencari di tempat yang salah. Mungkin juga kerana aku sudah lupa asal usul aku. Pastinya aku lupa keluarga aku sendiri.
Kamu fikir saban hari hati ini tidak merintih sedih dan resah? Kamu salah.
5 comments:
Saudara, amat menarik catatan saudara. Memang sesuatu yang nostalgia.
siapa yang berada di belakang kamera sewaktu gambar terakhir itu diambil?
Ayah. :-)
Dulu masa Abah suruh berdiri dan senyum, saya selalu berkerut dan masam. Saja tunjuk protes sebab bosan.
Mujurlah.. kalau tidak tak ada gambar kenangan zaman dulu-dulu.
Walaupun pakai t-shirt superman, berseluar pendek dan berkaki ayam tapi saya rasa itulah gambar saya yang paling cantik.
Sebab itu gambar hasil kreativiti Abah, kedua.. seolahnya masa terhenti di situ.
Masa yang terindah.
bro sibuk mana pun blk la kampung, sementara masih ada yang tersayang..
Post a Comment