Lama juga tidak menulis pasal berbasikal. Apa tidaknya, aku hampir dua minggu tidak berbasikal. Minggu sebelumnya kerana ada Pesta Floria di tepi tasik yang mengganggu laluan berbasikal aku. Konon. Padahal, ada jalan lain yang boleh aku guna. Minggu lepas aku sibuk menemani si dia dengan kerjanya dan aktiviti lain (kamu mahu tahu semuanya ke?).
Petang tadi aku berbasikal untuk kali kembali di hari kerja. Malam sebelumnya, aku cuma tidur dua jam. Jadi badan agak lemah untuk mengayuh secara ekstrem. Jadi aku berlagak santai, sekadar 20 - 25 km/j di sepanjang laluan. Aku tidak mendaki bukit kerana aku tahu setelah dua minggu 'berehat', pasti badan akan marah bila aku paksa bekerja keras.
Badan aku juga masih gemuk. Maknanya lebih tiga bulan aku berbasikal, hasilnya secara rupa bentuk fizikal masih belum nampak. Tetapi aku tahu 'fitness level' aku adalah jauh lebih tinggi berbanding tiga bulan lalu.
Cuma kamu tengok perut aku, masih sama. Perlu ada cara lain untuk aku kempiskan kembali. Sit-up mungkin. Tengok betis aku, masih besar. Kemudian si dia berkata dia dengar nafas aku seperti orang tercungap-cungap. Dia fikir aku letih. Tidak sebenarnya. Cuma nafas aku sedikit berat.
Lagi satu, baju yang aku pakai dalam gambar di atas itu, masa beli aku fikir ianya berwarna kuning. Rupa-rupanya hijau. Sabar sajalah. Sudah rabun warna, kena terima keadaan. Hehehe.
Ada orang bertanya sama ada mereka boleh sertai aku berbasikal. Amat dialu-alukan. Kalau cuaca baik, biasanya aku akan bermula pada jam lebih kurang 5.45 petang di tepi tasik berhampiran Masjid Besi dan Tugu Milenium kerana ianya berhampiran dengan pejabat. Setakat yang aku nampak (kalau aku tidak salah teka warna), cuma basikal aku saja yang berwarna kelabu. Orang lain biasanya akan pilih warna putih atau hitam atau warna lain yang lebih cool. Aku tidak. Aku dengan basikal Giant ATX660 berwarna kelabu, helmet IronMag berwarna kelabu, seluar sukan 3/4 dan jersey sukan yang aku sering salah teka warnanya. Oh, kasut Crocs. Tegur aku, inshaAllah aku akan sahut kerana aku sudah tidak menggunakan iPod Shuffle aku ketika berbasikal. Jadi aku boleh dengar suara orang menjerit ke arah aku.
Siapa mahu beli Apple iPod Shuffle 2GB berwarna err.. gold/oren/hijau (tidak pasti mana satu) aku? RM100 saja. Hahaha. Apahal semua benda aku hendak jual? Tengok SINI. Post aku sebelum ini tulis ianya berwarna hijau. Okay, Apple iPod Shuffle 2GB berwarna hijau. Fikir-fikir balik, tak jadi jual. Sayang dan masih boleh guna kemudian nanti.
Esok berbasikal lagi, inshaAllah.
2 comments:
oh bahaya ni. tahap warna rabun anda semakin kritikal. tidak boleh memandu la mcm ni. kalau tak merah anda jalan, hijau anda berhenti. hohoho
Tak tahu pula rabun warna boleh semakin hari semakin parah. Rasanya tidak. :-)
Warna traffic light memang kenal, lagipun susunan sudah standard, jadi tidak perlu risau. Hehehe. Lainlah kalau tiba-tiba berubah.
Post a Comment