12.1.09

Emak

Mak ajak aku pergi tengok ladang sayur-sayuran adik lelaki aku. Aku cakap aku malas. Dua kali dia ajak dan dua kali juga aku cakap tidak mahu. Tambah lagi aku cakap, setakat dengan anak pokok je, belum masa hendak tengok. Kesian mak, agaknya dia mahu keluar dengan aku.

Emak orang kampung. Kampung Ulu Kenderong, Gerik, Perak. Awal 80an, orang kampung masih menggunakan pelita di waktu malam. Tapi emak bukanlah langsung tidak tahu apa-apa. Dia belajar hingga tamat SPM. Kalau tidak dia kawin awal, mungkin sehingga hari ini emak masih bekerja di mana-mana.

Uniknya emak, dia amat meminati bola sepak, terutamanya pasukan bola sepak negeri Perak. Siang Ahad dia membebel marahkan kerajaan negeri Perak kerana masih tidak bayar gaji pemain bola sepak Perak yang masih tertangguh. Aku cuma dengar saja. Aku selalu fikir, ada baiknya kami terus menetap di kawasan perumahan lama di Gerik sana. Sekurang-kurangnya ada ramai kawan emak di situ. Rumah kami sekarang agak tersorok dan kurang jiran. Selalunya emak cuma ada ayah dan anak-anaknya yang masih tinggal di rumah. Sekali sekala cucu tunggalnya akan pulang dan rumah hingar bingar seketika. 

Antara emak dan ayah, aku lebih rapat dengan emak. Sejak dulu lagi memang begitu. Entah kenapa.

Sekarang, setiap kali aku pulang ke kampung, soalan popular yang sering keluar dari mulut emak adalah bila aku hendak berumah tangga. Sekali sekala dia cadangkan untuk mencari seorang calon kepada aku. Sering saja aku cakap, carikan saja kalau ada. Emak agak mellow sekarang berbanding dulu. Kalau dulu dia agak garang dan tidak berhenti bercakap. Sekarang agak kurang dan agak tenang. Mungkin emak agak penat.

InsyaAllah kalau aku balik lagi nanti, aku akan bawa dia meninjau ladang sayuran adik. Masa itu mungkin pokok sudah tinggi dan berbuah.

Sebelum aku berangkat balik dari Kuala Kangsar tadi, emak keluarkan satu lagi soalan popular dia kepada aku,

"Hang bila nak balik lagi ni?"

Susahnya nak jawab.

No comments:

Post a Comment