Sekiranya suka, terus membaca. Sekiranya tidak, berhenti dan cari laman web atau blog lain yang lebih sesuai dengan jiwa kamu.
Aku ada juga membaca beberapa blog milik orang di sini. Ramai. Ada yang sudah lama menulis, sejak beberapa tahun lalu. Ada yang masih baru menulis, beberapa hari atau cuma posting yang pertama. Aku harap mereka yang baru menulis, teruskan menulis karya kamu. Walau pendek cuma sebaris atau satu perkataan, ianya sudah cukup dan kamu patut bangga dengannya. Jangan risau kalau tidak ada orang yang membacanya. Jangan risau kalau cuma ada seorang saja yang membacanya sehari atau seminggu. Paling penting, blog ini adalah tempat kamu sendiri menulis apa saja yang kamu fikir dan mahu.
Setakat ini aku masih belum jumpa blog orang pejabat yang seaktif blog ini. Ada blog yang lebih ramai pengunjung tetapi tidak banyak posting. Mungkin kenalan mereka lebih ramai.
Atau sebenarnya lebih ramai orang pejabat ini lebih sukakan Friendster, Facebook dan MySpace. Malah ada groupies pun. Biarkanlah. Aku pernah berkata, aku tidak lagi berminat dengan Friendster, Facebook dan MySpace. Aku sudah lama tidak update data aku di sana dan aku masuk kerana ingin melihat. Sekali sekala berinteraksi dengan orang yang aku kenali.
Selebihnya, aku habiskan masa dengan blog ini. Aku lebih senang menulis dan bercerita, mungkin. Aku sudah habiskan masa yang sangat lama di sini. Lebih sembilan tahun aku menulis blog. Sembilan tahun. Buat masa ini, aku tidak fikir aku mahu berhenti. Aku akan terus menulis selagi mahu.
Aku akan cuba kurangkan menulis mengenai hal pejabat terutamanya mengenai orang lain. Aku malas hendak bersoal jawab dengan orang lain. Kalau aku menulis juga mengenai hal pejabat, biarlah sekadar di permukaannya saja.
No comments:
Post a Comment